Monday, 8 February 2016

Ikan paus dijumpai terdampar di Pontian

Ikan paus ditarik bot nelayan ke laut dalam selepas terdampar di Pantai Rambah. – Foto Sinar Harian

PONTIAN - Seekor ikan paus seberat 3 tan dijumpai penduduk  terdampar di Pantai Rambah di sini, kira-kira jam 2.00 petang tadi. 

Penemuan ikan paus itu  menarik perhatian setempat kerana disifatkan cukup unik kerana mamalia ‎itu hidup di kawasan beriklim sejuk dan tidak terdapat di kawasan perairan negara ini.
Gerakan menyelamatkan ikan paus tersebut dilakukan oleh penduduk dan anggota penyelamat terdiri daripada Bomba dan JPAM.

Ketua Operasi Khidmat Khas, Balai Bomba Pontian Baru, Jumaat Sailan berkata, bot nelayan tempatan digunakan bagi menarik ikan paus yang berada hanya kira-kira 50 meter daripada kawasan tebing Pantai Rambah.

"Ikan paus itu masih lagi hidup. Justeru gerakan menyelamatkan mamalia itu dilakukan dengan bantuan penduduk dan nelayan tempatan. ‎
"Kami cuba membawa ikan paus itu ke laut dalam, kerana ka‎wasan di tepi pantai Rambah agak cetek.
"Ekor ikan paus telah diikat dengan tali, yang kemudiannya ditarik oleh nelayan tempatan ke laut dalam kira-kira 50 meter," katanya.

Jelasnya, sebaik berjaya ditarik ke kawasan laut dalam kira-kira jam 3.30 petang, ikan terbabit dilepaskan.
"Gerakan menyelamatkan ikan paus sebegini, kali pertama dilakukan di kawasan pantai di daerah Pontian.
"Kerjasama yang begitu baik penduduk dan nelayan kepada pasukan penyelamat memudahkan kerja-kerja menyelamat dilakukan,"katanya.

Sementara itu, nelayan yang ditemui Ariss Karim, 54 memberitahu ikan paus itu telah dilihat berlegar-legar  di tengah laut berdekatan Pantai Rambah  sejak awal pagi. ‎
Namun, dia tidak menyangka ikan berkenaan adalah ikan paus sehinggalah mamalia itu terdampar di Pantai Rambah tengahari semalam.

"Ikan paus itu mungkin ikut arus sehinggalah terdampar ke tepi pantai. Ini kali pertama pak cik melihat ikan paus di kawasan pantai di sini. Memang pelik kerana ikan sebegini hanya boleh ditemui di kawasan beriklim sejuk,"katanya.

Sebaik sahaja  penemuan ikan paus ini tersebar‎, orang ramai mula membanjiri kawasan taman rekreasi itu bagi melihat sendiri ikan paus berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...