Monday 15 February 2016

Polis Nafi Suspek Tembak ‘Amin Beyond’ Diberkas


Kuala Lumpur – Para pengguna media sosial sebelum ini dikejutkan dengan penyebaran gambar kononnya pihak polis telah berjaya menahan suspek pembunuhan Syed Amen Jainul Abidin, 46 atau lebih dikenali sebagai ‘Amin Beyond’.

SuaraTV sebelum ini dimaklumkan suspek tersebut telah ditahan dan ketika pemeriksaan dibuat, pihak polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock 18C Austria 9X9 berwarna hitam dan bernombor siri iaitu ESR 315 tanpa kelopk dan peluru.

Pihak polis bagaimanapun menafikan suspek pembunuh tersebut telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, gambar seorang lelaki bertatu di lengan dan dada yang tersebar itu bukan merupakan suspek seperti yang didakwa.

Difahamkan lelaki berkenaan ditahan di Kepong, Kuala Lumpur pada Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Dato’ Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihak polis telah menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang membabitkan kes pembunuhan di Jalan Datuk Keramat Khamis lalu ke makmal untuk dianalisis.

Menurut Mohd Zakaria pihaknya percaya laporan makmal akan diperoleh dalam tempoh terdekat untuk memberi petunjuk baharu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain rakaman CCTV, polis turut menghantar peluru jenis win 9mm Luger yang digunakan suspek ke makmal,” katanya kepada Bernama.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, Syed Amen Jainul Abidin, 46, maut ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Mohd Zakaria juga berkata masih terlalu awal untuk mengaitkan kes dengan motif dendam atau sindiket tertentu.

“Biar pihak polis jalankan siasatan dan saya beri jaminan kami akan maklumkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa kepada orang ramai. Cuma saya minta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Balu peniaga nasi kandar berkenaan, Masita Abu Bakar, 46, turut meminta orang ramai agar tidak menyebar maklumat tidak tepat mengenai kes pembunuhan suaminya kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

“Pihak keluarga kami memang sedih dan berdoa agar polis dapat menangkap mereka yang terlibat dalam kejadian itu secepat mungkin,” katanya.

Sumber: SuaraTV

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...