Monday, 15 February 2016
Pemuda sambut baik Pas ketengah calon bukan Islam
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyambut baik inisiatif berterusan Pas Pusat mengetengahkan calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, pada April depan.
Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata usaha itu perkara baharu bahkan mereka turut berkempen untuk calon bukan Islam DHPP pada pilihan raya lalu.
“DHPP ada di Sarawak, kami Pemuda Pas juga terlibat dengan kempen yang melibatkan kawan-kawan bukan Islam dan ia adalah satu usaha yang begitu baik sebagaimana kita mencalonkan rakan bukan Islam PRU13 lalu,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sabtu bahawa Pas akan menurunkan calon bukan Islam bagi menghadapi PRN Sarawak kali ini.
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh juga berkata, pihaknya juga bersetuju untuk menghantar sekurang-kurangnya lima calon dari Pemuda Pas untuk bertanding pada pilihan raya itu.
“Calon Pemuda Pas ini agak berwibawa dan berdaya saing, mereka ini anak Sarawak, dan kami yakin bahawa Pas Pusat akan memilih beberapa calon yang kami cadangkan ini.
“Nama mereka kita tak boleh sebut lagi, tapi semuanya anak tempatan,” ujarnya.
Ditanya mengenai pertembungan menyebabkan pertandingan tiga penjuru, beliau bagaimanapun berkata Pas masih dalam proses rundingan dengan PKR.
Namun katanya lagi pertembungan itu boleh berlaku jika rundingan Pas dengan parti pembangkang lain tidak dimuktamadkan dengan segera.
“Kalau perbincangan tidak selesai, mungkin pertembungan boleh berlaku. Saya dimaklumkan masih dalam proses perbincangan. Pilihan raya masih lambat lagi April depan, proses masih lama lagi.
“Kita harap parti pembangkang dapat selesaikan (perbincangan) agar tidak berlaku pertembungan,” tegasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyifatkan tindakan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang melemparkan pembesar suara ketika berucap pada Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat pada Rabu lepas sebagai dil luar amalan Pemuda Pas.
“Itu cara abang Mat Sabu, bukan cara kita, walaupun kita sudah berpuluh tahun (bersama) sampai peringkat ini, kita tak kecewa walaupun yang kita sebut ini nak suruh rakyat dengar, nak suruh rakyat berani lawan kerajaan, tapi taklah kecewa lempar microphone,” katanya lagi.
Sumber: SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...