Ramai pekerja asing mengelak pemeriksaan kesihatan kerana tidak mampu sekaligus merbahayakan kesihatan rakyat tempatan.
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ashok Zachariah Philip mencadangkan kerajaan supaya menyediakan rawatan kesihatan percuma kepada semua pekerja asing yang sah dan tanpa izin.
Katanya, cadangan itu kerana bimbang apabila ramai pekerja asing mengelak untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan kerana tidak mampu.
Keadaan itu, katanya, menjadi punca merebaknya penyakit yang dibawa pekerja asing terutama TIBI.
“Kita menggesa supaya pihak kerajaan memastikan semua pekerja warga asing dididik agar dilindungi oleh insurans kesihatan dan rawatan untuk setiap diagnosis diberikan rawatan percuma.
“Ia penting bagi memastikan pekerja asing tanpa izin juga diberikan rawatan percuma bagi setiap penyakit berjangkit selagi mereka masih di dalam negara,” ujarnya lagi.
Katanya, adalah tidak wajar bagi kerajaan menghantar pulang pekerja asing yang didapati menghidap TIBI atau batuk kering.
Ashok berkata, selagi pekerja asing menerima rawatan dan dilindungi sepenuhnya, mereka seharusnya dibenarkan untuk terus bekerja di negara ini.
“Kita jangan lupa dan nafikan bahawa pekerja warga asing merupakan komponen tenaga kerja yang penting dan tidak boleh dibuang begitu sahaja walaupun mereka jatuh sakit. Kita harus melayan mereka dengan baik,” katanya.
Source: freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...