Wednesday, 31 May 2017

Kapten ‘Cef ganja’, isteri diberkas STING

Chez CHIANG (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai produk makanan dicampur ganja yang dirampas daripada ‘cef ganja’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera bersara menyalahgunakan kreativiti dirinya apabila menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan dadah jenis ganja sebelum dijual secara meluas menerusi Facebook.

Lelaki berusia 58 tahun berketurunan India dengan dibantu oleh isterinya, seorang wanita Indonesia berusia 35 tahun, menghasilkan pelbagai makanan yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Makanan yang diadun dengan ganja itu kononnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, sawan, kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.

Antara makanan yang bercampur ganja dan mendapat permintaan ramai ialah mi­nyak, coklat, madu, marjerin, susu, kek dan pelbagai jenis pes. Lebih menarik pe­langgan juga boleh memberi cadangan kepada lelaki digelar ‘cef ganja’ untuk itu menghasilkan makanan berasaskan dadah tersebut mengikut cita rasa masing-masing.

Semua adunan makanan bercampur dengan ganja ditawar dengan harga mampu dibeli oleh pelanggan dan suspek mempromosi dan menjual ‘kepakarannya’ yang didakwa mujarab memulihkan pelbagai penyakit itu di media sosial.

Bagaimanapun, kegiatan suspek yang beroperasi di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang itu hanya bertahan lima bulan sebelum diserbu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari, polis menangkap pesara tentera berpangkat kapten, isterinya dan seorang pembantu pasangan berkenaan yang merupakan lelaki berketurunan India berusia 32 tahun.

“Tangkapan tersebut merupakan kejayaan pertama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada tahun ini dalam membongkar kegiatan mempromosi dan mengedar dadah melalui platform laman sosial,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Tuesday, 30 May 2017

Beri makan guna sudu punca bayi kegemukan

Bayi perlu diajar dan diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri.


CARDIFF - Bayi yang diberi makan ibu bapa mereka menggunakan sudu dipercayai cenderung untuk mengalami masalah ke­gemukan setelah mereka dewasa berbanding kanak-kanak yang menyuap makanan secara sendiri.

Penyelidik dari Universiti Swansea, Profesor Madya Amy Brown yang dipetik Mail Online sebagai berkata, kanak-kanak yang diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri didapati lebih tahan lasak serta sihat.

Untuk itu jelas beliau, ibu bapa seharusnya berhenti daripada menyuap makanan menggunakan sudu kepada anak-anak yang sudah melebihi usia enam bulan kerana mereka sudah bersedia untuk diberikan makanan pejal.

Berdasarkan kajian Brown yang ditulis dalam buku Why Starting Solid Matters, pihaknya mendapati bayi yang tidak bergantung kepada ibu bapanya cenderung untuk berhenti makan apabila kenyang dan kurang me­ngalami masalah berat badan.

Jelasnya, bayi sepatutnya dibenarkan makan berdasarkan kemahuan mereka semasa belajar menyuap makanan sendiri kerana perbuatan memberi makan menggunakan sudu hanya mendorong kepada pengambilan makanan berlebihan.

“Biarkan bayi makan sekadar apa yang mereka mahukan. Jika ibu bapa menggunakan sudu dengan mengharapkan anak-anak akan menghabiskan sesuatu makanan dan mereka sudah menutup mulut, biarkan,” katanya.

Brown menghabiskan tempoh beberapa tahun untuk menyi­apkan kajian itu yang diusahakan bersama rakannya, Michelle Lee sejak tahun 2014.

Kajian itu menggunakan sampel sebanyak 298 bayi dengan melihat perkembangan mereka semasa diperkenalkan dengan makanan pejal semasa berusia enam dan 12 bulan.

Mereka kemudiannya mengkaji berat dan tabiat pemakanan bayi yang sama dalam tempoh 18 dan 24 bulan.

Pelampau Buddha ubah nama selepas diharamkan

Wirathu berucap kepada para pengikutnya selepas pergerakannya diharamkan oleh barisan tertinggi agama Buddha Myanmar, baru-baru ini.


YANGON – Gerakan nasio­nalis Ma Ba Tha, sebuah kumpulan pelampau Buddha mengumumkan penjenamaan semula nama­nya beberapa hari selepas pertubuhan utama agama Buddha mengharamkan rangkaian itu yang didakwa telah mencetuskan Islamophobia di Myanmar.

Pergerakan yang diterajui kumpulan sami itu berkembang di bawah kerajaan tentera sebelum ini dan kerap melaungkan satu bentuk nasionalisme Buddha yang telah meningkatkan ketegangan dengan minoriti umat Islam di negara ini.

Pada Selasa lalu, barisan ter­tinggi pemimpin agama Buddha Myanmar mengarahkan Ma Ba Tha untuk menghentikan semua aktivitinya sehingga pertengahan bulan Julai ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun semalam, pe­mimpinnya dalam kenyataannya bertegas tidak mahu membubarkan gerakan tersebut sebaliknya mengumumkan akan bergerak di bawah nama baharu, Yayasan Dermawan Dhamma Buddha selepas mengadakan persidangan di sebuah biara di Yangon.

“Kami menyeru kepada ahli di seluruh negara untuk bekerja demi negara, bangsa dan agama menggunakan nama Yayasan Dermawan Buddha Dhamma,” kata kenyataan itu yang ditandatangani oleh pemimpin tertingginya, Tilawka Biwuntha.

Gerakan Ma Ba Tha dipercayai kerap melancarkan bantahan dan mengadakan syarahan bertujuan untuk membangkitkan idea bahawa penganut agama Buddha di Myanmar diancam oleh penduduk Islam.

Polis telah menahan beberapa nasionalis bulan ini selepas pergaduhan meletus di kawasan kejiranan Islam Yangon, apabila berpuluh-puluh orang menyerbu sebuah rumah kerana dikatakan menyembunyikan penduduk minoriti Islam Rohingya.

Pada awal tahun ini, badan utama agama Buddha yang dikenali sebagai Jawatankuasa Na­yaka Maha Sangha mengharamkan pemimpin kontroversinya, Wirathu daripada membuat sebarang ceramah selama setahun, tetapi dia didapati masih berdegil memberikan ucapan dalam perhimpunan kelmarin. – AFP

Monday, 29 May 2017

Harga barang naik bulan puasa

Ab. GHANI (kiri) bertanya sesuatu kepada seorang peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengesahkan harga beberapa barangan mentah termasuk daging, ayam dan ikan semakin mahal pada bulan Ramadan berbanding sebelum ini.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya mendapati terdapat peningkatan beberapa harga barangan mentah termasuk da­ging, ayam dan ikan yang dikesan berlaku di negeri ini.

“Penentuan harga barangan yang semakin mahal mempunyai hubung kait dengan agensi lain dan kenaikan harga barangan tersebut tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab KPDNKK semata-mata.

“Jika ada kenaikan harga barangan keperluan harian mesti ada agensi lain turut memantau iaitu seperti bekalan ikan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, daging di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar manakala sayur-sayuran serta buah-buahan tertakluk di bawah Lembaga Pemasaran Kemajuan Pertanian Persekutuan,” katanya.

Ab. Ghani berkata demikian selepas beliau bersama beberapa pegawai dan anggota KPDNKK melakukan pemeriksaan harga barangan di Pasar Siti Khadijah di sini semalam.

Sunday, 28 May 2017

Dua ditikam mati cuba pertahankan wanita Islam

Jeremy Joseph Christian ditahan tidak lama selepas serangan itu terjadi.


OREGON: Seorang lelaki menikam mati dua penumpang tren komuter di Portland selepas mereka cuba menghalang dia mengganggu dua wanita Islam, kata polis semalam. 

Polis mengenal pasti lelaki itu, yang ditahan tidak lama selepas serangan kelmarin itu, sebagai Jeremy Joseph Christian dari Portland, 35, yang memiliki rekod jenayah. 

Penyelidik kanan dengan Southern Poverty Law Center, dalam blog, berkata laman Facebook Christian menunjukkan dia bersikap perkauman dan memegang kepercayaan pelampau. Serangan dilakukan beberapa jam sebelum bermulanya Ramadan, apabila 1.6 bilion penganut Islam berpuasa. 

Christian bermula dengan mengeluarkan cacian berunsurkan etnik dan agama terhadap kedua-dua wanita itu, seorang daripada mereka memakai tudung, kata Jabatan Polis Portland. Tiga lelaki lain yang cuba menghalangnya ditikam. Ricky John Best, 53 dari Happy Valley, Oregon, maut di lokasi kejadian manakala Taliesin Myrddin Namkai Meche, 23, meninggal dunia di hospital. 

Seorang lagi mangsa berada di hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa. Christian didakwa atas dua tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, mengancam dan memiliki senjata. Dia diarahkan ditahan tanpa ikat jamin. - Reuters

Majikan dikhianati oleh rakan dan pekerja asing

KEADAAN di rumah Azizah yang menempatkan mesin jahit dari kilang.


Ampang: “Saya sudah tidak tahu di mana untuk letak semua peralatan mesin jahit ini selepas kilang ditutup berikutan tiada pekerja,” keluh seorang ibu tunggal empat anak di kediamannya, di sini, semalam.

Azizah Shafiei, 60, berkata, dia menjalankan perniagaan menjahit pakaian sejak 2010 dengan menggaji 10 pekerja asing warga Bangladesh dan Pakistan.

“Niat saya membuka perniagaan pada awalnya untuk membawa anak mengerjakan umrah apabila perniagaan berjaya, tetapi tidak sangka perkara seperti ini berlaku.

“Saya sedih apabila pekerja sebelum ini mendengar arahan mula buat perangai dengan melarikan beberapa mesin jahit di kilang kemudian melarikan diri,” katanya.

Lebih menyedihkan, dia turut dikhianati rakan yang mendakwa mendapat tender daripada syarikat pakaian dan mahu berkongsi keuntungan berkenaan.

Saturday, 27 May 2017

Haram galak ponteng puasa

Datuk Dr Mohd Izhar Ariff

HUKUM berkongsi iklan jualan makanan yang sengaja menggalakkan individu lain ponteng puasa adalah haram manakala memuat naik gambar makanan di laman sosial pada waktu yang tidak sepatutnya adalah makruh.

Itu penjelasan Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berhubung sebahagian perkara yang perlu dielakkan pengguna laman sosial sepanjang mengerjakan ibadat puasa pada bulan Ramadan ini.

Mohd Izhar yang penceramah bebas berkata, bulan puasa mewajibkan semua umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga, namun jika terdapat sebahagian golongan mengajak atau menggalakkan orang lain berbuka puasa tanpa sebarang sebab, hukumnya haram.

Beliau berkata, platform laman sosial Facebook dan aplikasi pesanan seperti WhatsApp kini mula disalah guna golongan tertentu sehingga ada di antaranya tergamak mengajak orang ramai untuk ponteng puasa.

Menurut beliau, biarpun pihak yang menjual atau menyebarkan maklumat jualan makanan itu tidak batal puasanya, namun mereka akan menanggung dosa sekiranya individu lain terpengaruh untuk ponteng puasa.

"Allah SWT menyuruh kita mencari rezeki halal dengan sumber yang halal. Ramadan, bulan mulia ini seharusnya kita rebut peluang dengan menggandakan pahala, bukannya mempengaruhi orang lain untuk membuat perkara mungkar.

"Saya nasihatkan golongan ini perkemaskan amal ibadat supaya kita terhindar dengan perniagaan yang terpesong. Malah orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang boleh menggoyahkan pendirian pihak lain, biarpun niat hanya sekadar bergurau," katanya.

Ditanya berhubung hukum memuatnaik gambar makanan di laman sosial ketika Ramadan, Izhar berkata, hukumnya makruh.

"Jika sudah dekat dengan waktu berbuka bolehlah kita muat naik juadah berbuka. Namun jika dimuat naik pada waktu pagi atau tengah hari hingga menyebabkan orang lain teringin hingga sanggup ponteng puasa, hukumnya makruh.

"Seboleh-bolehnya elakkan daripada memuat naik gambar sedemikian," katanya.

Friday, 26 May 2017

KISAH 'FAST ACTION' LELAKI INI DAPAT MASUK SYURGA TANPA HISAB



Assalamualaikum wbh, 

Tuan & Puan yang saya hormati, 

[ Kisah di bawah ini sedikit panjang, saya kongsikan istimewa sempena Ramadhan yang bakal  menjelma. ] 

Ada sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Kisahnya yang begitu luar biasa sering membuatkan saya sering tersenyum lebar sekaligus terinspirasi ketika mengingatinya. Ia sarat dengan hikmah, betapa beruntungnya orang yang fast action / fastabiqul khairat.

Begini kisahnya :

Ketika itu Rasulullah s.a.w ingin berkongsi kriteria kumpulan manusia yang masuk syurga tanpa hisab kepada para sahabat. Kira ceramah pendeklah ikut bahasa kita. Ketika mengetahuinya, para sahabat mulai meneka-neka, apakah kriteria istimewa itu?

Nabi s.a.w pun menjelaskan, ‘Mereka adalah orang yang tidak melakukan ruqyah, tidak mengamalkan perkara buruk dan kepada Tuhan mereka bertawakkal’.

Tiba-tiba seorang lelaki bangkit dan berkata, ‘Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku termasuk dalam golongan itu’. Nabi s.a.w menjawab, ‘Engkau termasuk bersama mereka’.

Selepas itu, ada seorang lelaki lain bangun & memohon permintaan sama.

Kepada lelaki itu Rasul berkata, ‘maaf, engkau telah didahului Ukasyah’.

Ya, pemuda yang pertama kali bangkit adalah Ukasyah bin Mihsan. Pemuda yang cepat memberi respon & tidak mahu menunggu-nunggu. 

Disebabkan keberaniannya berdoa ketika orang lain ternanti-nanti, doanya telah di ‘amini’ Rasulullah s.a.w. Begitulah para sahabat, mereka memiliki satu budaya yang lama tercicir dari kehidupan kita. 
Budaya fastabiqul khairat, berlumba-lumba dalam kebaikan. Mereka sedar, fast action membuahkan fast result, sementara slow action bukannya membuahkan slow result tapi no result.

Itu yang berlaku pada lelaki kedua.

Para pembaca budiman,
Mari kita mencontohi Ukasyah. Mari kita segerakan apa yang patut disegerakan. Mari kita ‘bertamu’ ke rumah Tuhan saat Dia sedang membuat ‘open house’. Dan ia bermula dengan fast action ke arah
itu.

Percayalah, doa yang disertai dengan azam bersungguh & tindakan fast action pasti akan dibalas dengan fast result dari Tuhan. Percayalah & bertindaklah, sebab selama ini begitulah cara Tuhan melayani kita : layanan tahap Ar-Rahman & Ar-Rahim. Full of love.

[ Sumber : Buku Umrah ke Langit, Umrah Ke Laut ]

Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadhan, moga kisah di atas menjadi pemangkin semangat untuk kita sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan. Insya-ALLAH.

Thursday, 25 May 2017

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

KESIBUKAN Terminal Pukal Lekir (LBT), satu-satunya pintu masuk bekalan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak meningkat setiap kali kapal Panamax berlabuh.

Panamax membawa muatan arang batu berkapasiti 75,000 tan metrik.

Ada ketikanya, kapal bersaiz Capemax yang membawa muatan 140,000 tan metrik turut berlabuh di LBT.

Sebaik sampai, kerja memunggah 75,000 tan metrik arang batu import yang kebanyakannya dari Kalimantan perlu diselesaikan dalam tempoh 57 jam atau 2.37 hari.

Tempoh yang perlu bagi menyiapkan pemunggahan kapal Capemax yang bermuatan 140,000 tan metrik adalah 98 jam atau 4.08 hari.

Semuanya untuk memastikan bekalan arang batu ke stesen jana kuasa terbesar di Malaysia itu tidak tergendala bagi memenuhi keperluan empat loji tenaga iaitu Manjung 1, Manjung 2, Manjung 3 dan Manjung 4.

Sebanyak 80 peratus daripada pemilikan LBT dikuasai oleh Integrax Berhad yang menjadi anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2016. Baki 20 peratus dimiliki oleh Malakoff Berhad.

Pengarah Urusan Integrax Berhad, Mohammad Zahir Ismail berkata, pengendalian jeti sepanjang 2.7 kilometer itu perlu dilakukan dengan sempurna terutamanya bagi memastikan aktiviti melabuhkan kapal sentiasa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Bekalan


“Semua peralatan termasuk kren yang memunggah arang batu keluar dari kapal dan conveyor line yang membawa arang batu ke loji tenaga perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi memastikan bekalan yang dihantar tidak terputus,” katanya.

Sebanyak 10 juta tan metrik arang batu setahun diperlukan bagi keempat-empat loji tenaga di SJSAS dan ia dijangka bertambah kepada 13 juta tan metrik setahun apabila Manjung 5 beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini.

SJSAS yang dimiliki oleh TNB Janamanjung Sdn. Bhd., (anak syarikat milik penuh TNB) kini menjana 3,100 megawatt (MW).

Tenaga elektrik itu disalurkan ke Grid Nasional dan boleh dimanfaatkan sehingga seramai enam juta pengguna.

Keupayaan terpasang (installed capacity) keseluruhan di SJSAS selepas siapnya projek Manjung 5 adalah 4,100 MW.

Beroperasi selama 24 jam, kerja mengangkut dan memunggah di LBT boleh dijalankan daripada dua buah kapal dengan serentak dalam tiga syif.

Setiap syif mempunyai sehingga 11 orang pekerja termasuk pengendali bilik kawalan, pengendali kren dan anggota sokongan.

“Buat masa ini, sebanyak 100 hingga 120 kapal berlabuh di LBT setiap tahun dan kami bekerja selama 24 jam sepanjang 365 hari.

“Bilangan kapal dijangka meningkat sehingga 150 buah apabila projek Manjung 5 siap sepenuhnya,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, Integrax Berhad turut membantu pihak stesen bagi mengenal pasti isu utama dalam sistem penghantaran arang batu sedia ada.

Ia turut mengemukakan cadangan penambahbaikan dan pelaksanaan bagi memastikan tahap keboleharapan keseluruhan sistem sentiasa berada pada tahap yang tinggi supaya proses penghantaran arang batu ke stesen tidak terjejas.

Katanya, Integrax merancang untuk meningkatkan kapasiti LBT bagi meluaskan potensinya menarik lebih banyak bisnes berkaitan arang batu selari dengan langkah TNB menggiatkan aktiviti bisnes tidak dikawal selia (non-regulated) yang tidak tertakluk kepada tarif elektrik.

Peningkatan kapasiti itu membolehkan Integrax memberikan perkhidmatan serantau seperti terminal-terminal luar negara yang membekalkan arang batu di rantau masing-masing antaranya EMO Terminal, Rotterdam, Belanda dan Idemitsu, Jepun.

“Buat masa ini, kami juga pernah dan mampu mengendalikan kapal-kapal yang membawa barangan pukal terutamanya pemindahan antara kapal ke kapal lain,” katanya.

Selain LBT, Integrax juga memegang 50 peratus kepentingan dalam Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Lumut Port.

Kedua-dua terminal itu berada pada kedudukan strategik untuk memberikan perkhidmatan di rantau Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. – Bernama

Cetak wang palsu RM10,000 sehari

WAN RUKMAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada wang palsu RM100 yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Sindiket pencetakan dan pengedaran wang palsu yang aktif sejak setahun lalu tumpas dalam tempoh sembilan jam setelah enam individu terma­suk ketua mereka diberkas dalam tiga serbuan ber­asingan dekat sini kelmarin.

Penahanan kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu melibatkan empat lelaki dan dua wanita dilakukan bermula pukul 2.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Kesemua mereka ditahan di hotel bajet dan rumah di sekitar Bukit Tinggi di Klang, Taman Kandis di Shah Alam dan Puchong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sela­ngor, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, semasa serbuan terhadap tiga lokasi terbabit didapati mereka sedang giat mencetak wang kertas palsu bernilai RM100 dan RM20.

Katanya, ini berikutan penemuan tiga set bara­ngan dan peralatan men­cetak serta wang palsu yang telah siap diproses bernilai RM12,500.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini mempunyai kepakaran tinggi berikutan wang kertas yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi.

“Mereka mampu meng­hasilkan kira-kira RM10,000 wang palsu dalam satu hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Wednesday, 24 May 2017

Bantah kaum Melayu diberikan jawatan Presiden



SINGAPURA – Seorang bekas peguam mencabar perkembangan baharu Perlembagaan negara ini yang memperuntukkan jawatan Presiden kepada kaum Melayu dengan menyifatkannya sebagai diskriminasi.

Berdasarkan peraturan itu, pilihan raya pada September ini memperuntukkan jawatan ber­kenaan kepada kaum Melayu.

Ini berikutan, tiada kaum ber­kenaan yang memegang jawatan Presiden sejak lebih lima penggal berturut-turut.

Bekas peguam berkenaan yang juga seorang aktivis, M. Ravi memberitahu, ca­lon Presiden se­wa­­­jar­nya dipilih ber­­dasarkan merit selain meme­nuhi kelayakan lain.

Perubahan pilihan raya Presiden itu juga tidak membabitkan agensi kerajaan lain seperti badan kehakiman, ujar Ravi menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook.

Tindakan mencabar peraturan baharu itu di mahkamah adalah kedua dilakukan selepas bekas calon Presiden, Tan Cheng Bock memfailkan permohonan sama dan diterima oleh Mahkamah Tinggi di sini bulan ini.

Cheng Bock mempertikaikan bahawa peruntukan untuk kaum itu tidak perlu di­timbulkan ke­rana kerajaan dikatakan tersilap mengira lima penggal yang diperlukan berdasarkan peraturan itu dan bermula de­ngan Presiden yang dipilih kerajaan, bukannya yang dilantik.

Beliau tewas kepada Tony Tan dalam pilihan raya berkenaan pada 2013 dengan majoriti tipis 0.3 peratus.

Parti Tindakan Rakyat memenangi majoriti kerusi Parlimen sejak 1963.

Walau bagaimanapun, calon Presiden perlu bersara daripada parti politik selepas bertanding bagi mengelak situasi berat se­belah. – DPA

Tuesday, 23 May 2017

Dua bekas pegawai TUDM didakwa rasuah

Kamal BAHARIN (kiri) dan Fadzil (kanan) dibawa anggota SPRM keluar dari Mahkamah Seksyen Shah Alam selepas didakwa memperoleh dan bersubahat menerima suapan pada 14 Disember 2011.


SHAH ALAM – Dua bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperoleh dan bersubahat menerima suapan berjumlah RM600,000 daripada seorang pemilik syarikat, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Leftenan Kolonel (B), Kamal Baharin Nali, 48, dan Kapten (B), Fadzil Noor Alias, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Kamal Baharin dan Fadzil yang bertugas di Jabatan Arah Perundangan, Kementerian Pertahanan bersara pilihan masing-masing pada tahun 2016 dan 2015 telah memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kamal Baharin didakwa telah secara rasuah memperoleh satu suapan daripada pemilik ARG Tech Sdn. Bhd., Ab. Rahim Ghalim melalui seorang peguam, Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Berhad bernombor siri 377728 dan 377715 berjumlah RM600,000.

Suapan itu kononnya sebagai upah membantu Ab. Rahim mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta bagi 52 invois ARG Tech Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja kontrak.

Sementara itu, Fadzil pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dan membantu Kamal Baharin menerima suapan daripada Ab. Rahim melalui Wan Ahmad dalam bentuk dua keping cek bernilai RM600,000 yang kononnya sebagai upah mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta untuk kerja-kerja kontrak yang dilakukan ARG Tech.

Bot KD Perdana hilang ditemui

Jenis bot yang dinaiki oleh sembilan anggota TLDM.

JOHOR BAHRU – Sebuah bot dinaiki oleh sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang sejak Sabtu lalu di perairan Sedili, Kota Tinggi dekat sini akhirnya ditemui di timur perairan Kuantan, Pahang semalam.

Bot itu berjaya dikesan oleh sebuah kapal dagang selepas terputus hubungan selama 51 jam dengan kapal KD Perdana.

Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, bot berkenaan telah dikesan oleh kapal dagang pada kedudukan kira-kira 90 batu nautika di timur perairan Kuantan pada pukul 4 petang semalam.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, sebuah pesawat Beechcraft milik Tentera Udara Diraja Malaysia telah dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk melakukan tinjauan.

“Kesemua kru dalam keadaan baik dan selamat,” ujar Ahmad Kamarulzzaman dalam laman Twitternya malam tadi.

Monday, 22 May 2017

China bunuh, penjarakan 20 perisik AS



WASHINGTON – Beijing secara sistematik mematahkan usaha pengintipan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di China mulai tahun 2010 dengan berpuluh-puluh ejen rahsia sama ada dibunuh atau dipenjarakan, lapor akhbar The New York Times semalam.

The New York Times yang memetik kenyataan 10 pegawai dan bekas pegawai Amerika Syarikat (AS), menyifatkan pembongkaran perisikan itu sebagai antara terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Menurut akhbar berkenaan, pegawai-pegawai perisikan kini tidak pasti sama ada AS dikhianati oleh orang dalam CIA atau China telah menggodam sistem rahsia yang digunakan oleh CIA untuk berkomunikasi dengan sumber asing.

Tindakan itu memberi kesan paling buruk ke atas rangkaian pengintipan AS paling produktif itu.

Akhbar berkenaan melaporkan, se­kurang-kurangnya berpuluh-puluh ejen CIA dibunuh antara penghujung tahun 2010 hingga akhir 2012.

Ia termasuk insiden seorang ejen ditembak di hadapan rakan sekerjanya yang disifatkan sebagai amaran kepada sesiapa sahaja yang terbabit dengan pengintipan di China, kata akhbar berkenaan.

Secara keseluruhan, kira-kira 18 hingga 20 ejen CIA di China telah sama ada dibunuh atau dipenjarakan, demikian menurut dua bekas pegawai kanan AS.

Kegagalan itu dianggap tamparan hebat kepada CIA yang giat meningkatkan usaha perisikan sejak beberapa tahun lalu. – AFP

Wanita bersama madu didakwa mencuri

NORHASLINDA (kanan) dan madunya, Nadhrah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat semalam atas tuduhan mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000 pada April lalu.


BATU PAHAT – Wanita yang hidup bermadu bia­sanya jarang boleh bertemu mata, apatah lagi melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Tapi lain pula ceritanya de­ngan dua wanita yang hidup bermadu di Johor apabila mereka dituduh sepakat menjadi pencuri dengan menyamar sebagai jururawat.

Mereka dituduh mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000 April lalu.

Tertuduh, Norhaslinda Resat, 36, bersama madunya, Nur Hidayatul Nadhrah Misman, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Norhaslinda dan Nur Hidayatul Nadhrah didakwa secara bersama mencuri seutas rantai emas, tiga gelang emas dan tiga cincin emas bernilai RM25,000 milik suri rumah, Zabaidah Aspan di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada 7 April lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Korea Utara miliki tentera siber

Seorang petugas memantau serangan siber ransomware di pejabat Agensi Keselamatan dan Internet Korea, Seoul pada 15 Mei lalu.


PYONGYANG – Agensi perisikan utama Korea Utara mempunyai pasukan khas dinamakan Unit 180 yang dipercayai melancarkan sebilangan serangan siber pa­ling nekad dan berjaya, kata beberapa pembelot Pyongyang, pihak berkuasa dan pakar keselamatan internet.

Kim Heung-kwang yang merupakan bekas profesor sains di Korea Utara tetapi berpaling tadah ke Korea Selatan pada tahun 2004 berkata, serangan siber oleh Pyongyang bertujuan untuk mengumpulkan wang dan dilakukan oleh Unit 180.

Unit itu adalah sebahagian daripada Biro Pengintipan Awam, agensi perisikan luar negara utama Korea Utara.

“Unit 180 menggodam institusi kewangan dengan menceroboh dan mengeluarkan wang daripada akaun-akaun bank,” kata Heung-kwang kepada agensi berita Reuters.

Heung-kwang sebelum ini berkata, beberapa bekas pelajarnya telah menyertai tentera siber negara komunis itu.

“Penggodam-penggodam ini bergerak ke luar negara untuk mencari lokasi yang mempunyai perkhidmatan internet lebih baik daripada Korea Utara untuk menyem­bunyikan jejak mereka,” ujarnya.

Dia menambah, penggodam-penggodam Korea Utara menyamar sebagai pekerja cawa­ngan syarikat Korea Uta­ra di luar negara termasuk syarikat usaha sama di China dan Asia Tenggara.

“Korea Utara melakukan serangan siber melalui negara ketiga untuk menutup sumber sebenar serangan,” kata Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Ahn Chong-ghee dalam komen bertulis kepada Reuters.

Sejak beberapa tahun lalu, Korea Utara dipersalahkan berhubung banyak serangan siber, sebahagian besarnya terhadap rangkaian kewangan di Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan puluhan negara lain.

Penyelidik keselamatan siber juga menyatakan bahawa mereka menemui bukti teknikal yang boleh mengaitkan Korea Utara dengan serangan siber global, WannaCry ransomware.

Serangan siber itu menjejaskan lebih 300,000 komputer di 150 buah negara pada bulan ini.

Pyongyang bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak munasabah.– Reuters

Sunday, 21 May 2017

Parti Harapan Malaysia ditubuhkan saingi PKR

JOHARI MUSA (kiri) menunjukkan logo Parti Harapan Malaysia dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Penyokong-penyokong PKR yang kecewa dengan sikap barisan kepemimpinan parti itu bertindak menubuhkan sebuah parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Harapan Malaysia (PHM).

Bekas Pengerusi Kelab Akar Umbi PKR Malaysia, Johari Musa ketika mengumumkan perkara itu berkata, tujuan utama penubuhan PHM adalah untuk menggantikan PKR yang kini dilihat semakin rosak teruk akibat sikap semua kepemimpinannya.

Kata beliau, PHM serius memperjuangkan amalan politik serta demokratik tulen dan akan menyertai Gagasan Sejahtera bersama Pas pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keadaan juga tidak seperti dahulu apabila ada ahli yang bersuara melahirkan kekecewaan atau beri cadangan, mereka akan dianggap sebagai pengkhianat parti dan dipecat sama seperti yang berlaku kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Johari yang juga bekas Ketua PKR Cabang Lembah Pantai menjangkakan lebih 35 peratus ahli PKR bersetuju untuk menyertai PHM dan sedang menunggu masa yang sesuai untuk keluar parti tersebut.

Jelas beliau, kebanyakan ahli PKR menganggap parti itu kini menjadi orang suruhan kepada DAP dan sanggup mengkhianati hubungan baik dengan Pas.

“Ahli PKR sendiri yang mendesak supaya PHM ditubuhkan untuk menggantikan parti tersebut kerana mereka sudah tidak sabar untuk keluar PKR.

“Sehubungan itu, kami berharap Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan meluluskan penubuhan PHM dengan segera memandangkan kelulusan permohonan sudah tertangguh sejak 6 Disember 2016,” ujarnya sambil memberitahu permohonan penubuhan PHM telah dibuat kepada ROS pada 2015.

Johari turut memaklumkan bahawa satu lagi sidang akhbar akan diadakan selepas penubuhan PHM diluluskan untuk mengumumkan presiden parti.

Lebih ramai polis akan ditangkap



KUALA LUMPUR – Seramai 21 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pelbagai pangkat ditahan di seluruh negara menerusi Ops Kabaddi bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi sindiket pengedaran dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, ke­semua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Ke­selamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurutnya, siasatan mengenai kes tersebut masih berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan baharu yang akan dibuat di seluruh negara berhubung kes tersebut.

Saturday, 20 May 2017

Hisap rokok kena penjara


Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menandatangani arahan eksekutif yang mengharamkan orang ramai merokok di tempat awam dan mengenakan penjara terhadap mereka yang menjual rokok berhampiran sekolah.

Undang-undang antirokok yang dianggap paling tegas di Asia itu mengenakan denda terhadap orang ramai yang ditangkap merokok di kebanyakan tempat awam.

Peniaga yang menjual rokok dalam lingkungan 100 meter dari kawasan sekolah dan lokasi kanak-kanak berkumpul juga berdepan hukuman penjara.

Duterte yang berkuasa pada tahun lalu berjanji untuk menguatkuasakan larangan merokok dalam usahanya meningkatkan kesihatan penduduk.

Pemimpin itu juga berjanji mengenakan sekatan terhadap pusat karaoke yang beroperasi pada waktu malam dan larangan minum arak di tempat awam selepas jam 2 pagi, namun ia belum dikuatkuasakan.

Jurucakap jabatan kesihatan, Eric Tayag berkata, lokasi sebenar tempat awam yang dilarang merokok itu akan diumumkan kemudian dan arahan eksekutif itu bakal menjadi undang-undang dalam tempoh 60 hari.

Arahan eksekutif itu menerangkan kawasan awam yang dilarang merokok adalah tempat tertutup yang mempunyai bumbung dan sekurang-kurangnya satu dinding.

Ini bermakna semua bangunan awam termasuk kilang, pejabat dan pasar raya adalah kawasan larangan merokok.

Merokok juga diharamkan di semua bentuk pengangkutan awam di negara itu.

Menurut arahan itu, mereka yang ditangkap merokok di kawasan larangan boleh didenda 500 peso (RM43.50) untuk kesalahan pertama dan meningkat hingga 10,000 peso (RM870) bagi kesalahan ketiga.

Peniaga yang menjual produk tembakau di kawasan larangan boleh dihukum penjara tiga tahun.

Duterte adalah bekas perokok tegar dan dia sebelum ini pernah berkata, larangan itu bersifat peribadi kerana dia pernah mengalami pelbagai penyakit akibat tabiat buruk itu.

Friday, 19 May 2017

Guru bersama dua anak hisap syabu ditahan

Tiga beranak termasuk seorang guru (kiri) ditahan polis bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan dadah di Sundar, Lawas kelmarin.

LAWAS – Kegiatan jahat seorang guru sekolah rendah dan dua anak lelakinya menghisap dadah akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu rumah mereka di Sundar di sini kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan pada pukul 7.40 malam itu, ketiga-tiga suspek sedang khayal menghisap dadah jenis syabu dan mereka hanya mampu tergamam apabila melihat kehadi­ran anggota polis.

Tiga beranak terbabit kemudian ditahan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad (gambar kecil) berkata, ketiga-tiga suspek yang ditangkap terbabit berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihak polis sebelum ini.

“Ketika serbuan tersebut dilakukan, polis tidak menemui sebarang bungkusan dadah yang dipercayai disembunyikan oleh tiga beranak itu.

“Bagaimanapun, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Malaysia dan Indonesia beri amaran kepada EU

Najib menanam pokok kelapa sawit sambil diperhatikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (dua dari kanan) di Ladang Tennamaram di Kuala Selangor semalam.

KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada mana-mana negara khususnya negara Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit mungkin berdepan tindak balas dari Malaysia dan Indonesia.

Najib berkata, beliau telah berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila baru-baru ini supaya Malaysia dan Indonesia melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit ke negara EU bagi meyakinkan mereka bahawa dakwaan negatif terhadap minyak sawit adalah tidak berasas.

“Kita juga mesti beritahu pada mereka Malaysia dan Indonesia bukan negara yang tiada kemampuan.

“Kita juga beli banyak produk dari negara mereka dan sesiapa yang memboikot minyak sawit mungkin berdepan dengan tindak balas dari Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram di sini semalam.

Dalam pada itu, Najib turut menggariskan lima anjakan transformasi dalam memastikan masa depan industri sawit menjadi lebih cemerlang untuk tempoh 100 tahun akan datang.

Thursday, 18 May 2017

Cili 'Nafas Naga' boleh membunuh

SMITH dengan cili Nafas Naga yang didakwa paling pedas di dunia.

London: Seorang chef menghasilkan cili diakui yang paling pedas di dunia dan kepedasannya dikatakan boleh membawa maut.

Cili digelar ‘Dragon’s Breath’ (Nafas Naga) dihasilkan untuk digunakan dalam rawatan perubatan sebagai anestetik kerana minyak dihasilkannya mampu mengebaskan kulit.

Mike Smith, 53, dari Wales Utara menanam cili dan sayur sejak tujuh tahun lalu, lapor Daily Post.

Kepedasan cili itu mampu menyebabkan kejutan ala anafilaksis dengan melecurkan saluran udara pemakannya seterusnya menyebabkannya tertutup.

Malah ia lebih pedas daripada semburan lada digunakan tentera Amerika Syarikat.

Wednesday, 17 May 2017

ASP dan inspektor diberkas kerana mengutip wang perlindungan

PUSAT-pusat judi di Melaka turut menjadi sasaran segelintir anggota polis mengutip wang perlindungan.

MELAKA – Lima individu termasuk tiga pegawai polis diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah dalam operasi serentak di negeri ini semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP), seorang berpangkat inspektor dan dua orang awam. Kesemua yang ditangkap berusia 31 hingga 41 tahun.

Tiga pegawai polis yang ditangkap itu masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan IPD Jasin.

Siasatan awal mendapati kelima-lima yang ditahan dipercayai me­nerima wang daripada pe­ngusaha-pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi di sekitar Melaka bagi melindungi kegiatan haram tersebut.

Satu sumber berkata, salah seorang individu yang ditahan bertindak sebagai orang tengah kepada tiga pegawai polis terbabit untuk mengutip wang perlindu­ngan daripada pengusaha premis manakala seorang lagi merupakan pengusaha pusat judi haram yang dipantau oleh SPRM.

“Tangkapan ke atas kesemua lelaki tersebut pada pukul 11 pagi selepas SPRM menjalankan pemantauan dan risikan sejak beberapa bulan lalu.

“Setakat ini, kita masih menyiasat lanjut kaitan (hubu­ngan) dua orang awam yang ditahan dan tiga pegawai polis tersebut serta dakwaan penukaran serta-merta sekiranya terdapat pegawai polis yang enggan bersekongkol dalam kegiatan haram tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tuesday, 16 May 2017

Bercerai untuk kahwin kekasih lama semakin menjadi trend



KUALA TERENGGANU: Kadar perceraian pada usia senja di negeri ini semakin meningkat dan membimbangkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada pertemuan semula dengan rakan lama, selain kecurangan pasangan. Pegawai Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh, berkata trend perceraian dalam kalangan warga emas semakin meningkat sejak lima tahun lalu, dengan kebanyakannya berusia antara 60 hingga 70 tahun.

"Kebanyakan mereka datang menjalani sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum memilih perceraian sebagai kata putus. "Sebahagian besar mereka juga memilih perceraian pada usia berkenaan dengan alasan menangguh berbuat demikian kerana komitmen anak, walaupun berdepan masalah sejak awal. "Jika dahulu memang jarang yang bercerai pada usia senja, tetapi kini masalah itu semakin meningkat. 

Kebanyakan mereka mendakwa sudah lama mahu bercerai tetapi tidak berbuat demikian kerana komitmen anak dan mengambil keputusan bercerai selepas semua anak sudah bekerja dan berkahwin," katanya selepas Program Derma Darah JHEAT di sini, semalam. 

Katanya, sebanyak 2,245 kes perceraian direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kebanyakannya berpunca daripada masalah kisah silam iaitu apabila seorang daripada pasangan hadir ke perjumpaan semula (reunion) dan bertemu kekasih lama, selain penyebaran maklumat kecurangan pasangan melalui aplikasi WhatsApp. 

"Kira-kira 200 kes perceraian dilaporkan setiap bulan sepanjang tahun lalu dan kebanyakannya berpunca daripada masalah pasangan yang didakwa tidak bertanggungjawab. "Tetapi, trend terbaharu juga merekodkan jumlah tinggi kalangan pasangan yang bercerai kerana mahu berkahwin dengan kekasih lama selepas perjumpaan menerusi program pertemuan semula yang mereka ikuti," katanya.

Mohd Ariffin berkata, pasangan seharusnya tidak terburu-buru mengambil keputusan bercerai selepas melihat kecurangan pasangan melalui laman sosial atau aplikasi WhatsApp, sebaliknya perlu menyiasat secara terperinci dan hadir ke sesi kaunseling sebagai langkah perdamaian dan mengelak perceraian.

Trump bakal cetus konflik baharu Asia Barat



WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menjadi ‘individu penting’ dalam mewujudkan ‘konflik baharu’ di Asia Barat ketika lawatan beliau ke Arab Saudi dan Israel, yang dilihat sebagai bentuk permusuhan terhadap Iran, dedah seorang penulis, Stephen Lendman.

Menurut Lendman, sebahagian daripada lawatan Trump adalah untuk bersekutu dengan negara-negara Arab di Riyadh, dengan beliau dijangka bertemu pemimpin-pemimpin di rantau berkenaan.

Pendedahan Lendman itu susulan kenyataan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson yang sebelum ini memberitahu antara objektif Trump ketika mengadakan lawatan ke Arab Saudi dan Israel adalah untuk menyatukan Teheran.

Trump akan memulakan lawatan ke luar negara pertama­nya dengan melawat Riyadh pada Jumaat ini dan berlepas ke Israel pada Isnin.

“Ini mengenai sokongan terhadap Israel dan menentang Iran serta mungkin merancang konflik terbaharu di rantau tersebut. Kunjungannya tiada kaitan dengan memupuk keamanan dan kestabilan. Perkara itu tidak pernah menjadi agenda utama AS dan Israel,” kata Lendman yang merupakan pe­nyampai radio di Chicago.

Tambah beliau, agenda pro peperangan Trump disokong oleh mereka yang berada di dalam pentadbiran White House dan terlibat sama merancang konflik terbaharu.

“Mereka semua mempunyai agenda tersendiri, mahu memulakan perang, menolak keamanan dan kestabilan serta tidak nampak perkara baik akan berlaku dalam kunjungannya,” katanya.

Monday, 15 May 2017

Virus agensi Amerika punca WannaCry



SERANGAN siber ‘WannaCry’ yang menimbulkan kekecohan global sejak Jumaat lalu, menggunakan Eternal Blue yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat yang didakwa dicuri, lapor Financial Times.

Malware itu yang sudah menjangkiti ratusan ribu komputer di 150 negara, mengeluarkan poster merah "Oops, your files have been encrypted!" dan menuntut bayaran melalui bitcoin sebanyak AS$300, dinaikkan kepada AS$600 jika enggan dan fail dalam komputer akan dimusnahkan beberapa jam kemudian.

WannaCry menjangkiti rangkaian komputer dengan bantuan Eternal Blue yang membolehkan malware merebak melalui perkongsian data atau fail.


Setakat ini belum diketahui pihak yang melakukan serangan itu namun agensi keselamatan di Britain percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah.

Pengarah Teknikal Symantec Security Response, Vikram Thakur, berkata hanya seorang dalam suatu pertubuhan atau syarikat klik dan seluruh rangkaian komputer akan dijangkiti.

Menurut AP, setakat ini, serangan siber itu sudah melumpuhkan sistem komputer rangkaian hospital Britain, sistem kereta api Jerman serta Kementerian Dalam Negeri Russia manakala Bloomberg melaporkan FedEx dan Nissan turut terjejas.

Bagaimanapun, Hitachi dan Nissan menyatakan walaupun terkena serangan itu, namun ia tidak menjejaskan operasi perniagaan

Ransomware ialah serangan virus yang mengunci komputer dan pemilik perlu membayar wang tebusan untuk membukanya.

Agensi berita China melaporkan 29,372 institusi terjejas membabitkan ratusan ribu komputer manakala Pusat Penyelarasan Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Jepun melaporkan 2,000 komputer di 600 lokasi di Jepun terjejas.

Menurut agensi berita China, Xinhua, kira-kira 15 peratus URL di negara itu dijangkiti dan sudah menjejaskan universiti dan kolej, sistem kereta api, pos, stesen minyak, hospital serta kompleks beli belah.

Serangan itu menjejaskan komputer di kilang, bank, agensi kerajaan dan sistem pengangkutan di banyak negara, termasuk Russia, Ukraine, Brazil, Sepanyol, India dan Jepun.

16 pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman disyaki lindungi sindiket dadah

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rombakan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan 16 pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang dipercayai melindungi sindiket dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang melindungi atau bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Katanya, pihaknya turut melancarkan operasi mengesan pegawai dan anggota polis yang turut terbabit melindungi sindiket berkenaan.

"Mereka ini dipercayai ada hubungan dengan pengedar dadah serta membocorkan maklumat dan operasi polis.

"Kita pandang serius sekiranya ada pembabitan pegawai dan anggota polis yang melindungi atau berkawan baik dengan mana-mana sindiket dadah. Tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan diambil," katanya selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2017 di Kem Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Noor Rashid berkata, setakat ini seramai 16 pegawai kanan dan anggota jabatan itu ditahan dan disiasat mengikut SOSMA.

"Mereka ditahan mengikut SOSMA selama 28 hari kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket itu.

“Setakat ini kita kenal pasti pegawai kanan dan anggota dan perkara ini masih dalam siasatan untuk mengesan serta membuat tangkapan lanjut," katanya.

Sunday, 14 May 2017

Serangan siber jejas 100 negara

KENDERAAN polis turut berada di Hospital Southport, Britain berikutan serangan siber yang menjejaskan operasi rangkaian organisasi di bawah NHS kelmarin.

SETTLE – Hampir 100 buah negara dan syarikat multinasional terkemuka dilanda serangan siber ransomware yang dipercayai menggunakan peralatan perisikan Agensi Keselamatan Negara, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Press Trust of India (PTI).

Serangan siber pertama dilaporkan dari Sweden, Britain dan Perancis, tetapi negara-negara seperti Rusia dan Taiwan dikatakan berdepan serangan yang teruk, lapor media AS.

Pasukan Kesediaan Kecemasan Komputer AS (USCERT) di bawah Jabatan Keselamatan Negara memberitahu, ia me­nerima beberapa laporan virus perisian tebusan WannaCry dari beberapa negara di seluruh dunia. Ia bagaimanapun tidak menamakan negara terlibat.

Di Britain, kesemua 45 hospital dan organisasi di bawah rangkaian Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) lumpuh malam kelmarin akibat serangan siber itu.

Rusia dipercayai menjadi negara paling teruk terkesan terhadap serangan virus tersebut dengan komputer di Kementerian Dalam Negeri dan syarikat rangkaian telefon kedua terbesar, Megafon turut menjadi sasaran.

Serangan itu turut melumpuhkan operasi syarikat logistik antarabangsa, FedEx selepas sistem Windows mereka dicerobohi, manakala gergasi teknologi, Microsoft memberitahu, pihaknya menyedari laporan virus tersebut dan masih mengkaji sejauh mana keadaannya.

Malah, mesin tiket dan komputer di stesen kereta api di Jerman turut terjejas termasuk syarikat-syarikat di Sepanyol se­perti Telefonica, Iberdrola dan Gas Natural.

Ransomware adalah sejenis malware berbahaya yang me­nyerang komputer, ia akan meminta wang bayaran antara AS$300 (RM1,304) hingga AS$600 (RM2,608) kepada pemilik komputer tersebut sekiranya ingin mendapatkan semula akses.

Bagaimanapun, USCERT memberitahu organisasi yang terlibat agar tidak membayar wang tebusan kerana sukar dijamin mereka mendapat akses semula selepas pembayaran dibuat.

“Perisian WannaCry mungkin mengeksploitasi kelemahan dalam Server Message Block 1.0,” ujar kenyataan USCERT.

Pakar mengatakan, penyerang siber menggunakan kod yang dibangunkan oleh Agensi Ke­selamatan Negara AS yang bocor di dalam talian bulan lalu oleh kumpulan misteri yang digelar Shadow Brokers. – Agensi

Bukit Aman serbu pejabat pelaburan JJPTR

Anggota polis membawa keluar sekeping replika cek yang dirampas dari sebuah pejabat JJPTR di Jalan Perak, George Town, Pulau Pinang kelmarin.
KUALA LUMPUR – Polis menyerbu lapan lokasi yang dijadikan sebagai pejabat operasi sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di sekitar Pulau Pinang kelmarin.

Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman bermula pukul 10 pagi itu turut melibatkan pasukan Siasatan Pengubahan Wang Haram, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security.

Difahamkan, sindiket yang telah beroperasi sejak 2016 itu mempunyai kira-kira 120,000 orang pelabur termasuk dari Singapura.

Pengarah JSJK, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lapan lokasi yang diserbu itu membabitkan beberapa buah pejabat dan unit kediaman yang dijadikan sebagai pejabat sindiket tersebut.

Saturday, 13 May 2017

Guru sekolah agama cabul murid



Bangi: Perbuatan jijik guru lelaki berusia 29 tahun terhadap tujuh murid perempuan sekolah agama di Bangi, sejak empat tahun lalu terbongkar, selepas dia ditahan polis, kelmarin.

Lelaki yang ditahan di sekolah itu direman sehingga Isnin ini.

Sumber berkata, pada mulanya seorang daripada tujuh murid itu yang berusia 12 tahun mengadu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis, kelmarin.

Katanya, keluarga kepada enam murid lain yang turut menjadi mangsa guru itu kemudian melaporkannya kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

"Memegang, meraba bahagian sulit, memeluk, mencium dan meminta diurut beberapa bahagian badan antara perbuatan jijik dilakukan lelaki itu.

"Mangsa takut mendedahkan apa yang berlaku kerana takut diapa-apakan oleh lelaki itu dan malu," katanya.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 377D kerana melanggar kesopanan.

Friday, 12 May 2017

Kulit kepala tercabut dalam mesin

 


Beijing: Seorang pekerja kilang plastik nyata panjang umur apabila terselamat walaupun kulit kepalanya tersiat selepas rambutnya tersangkut dalam mesin.

Dalam kejadian di Jinhua, wilayah Zhejiang, timur China itu, pekerja yang cuma dikenali sebagai Yang itu berkata, ketika kejadian dia membongkok untuk mengambil sesuatu apabila tiba-tiba rambutnya tersangkut pada alat penggiling menyebabkan kulit kepalanya tersiat.

Yang tidak pengsan, malah masih mampu berlari mendapatkan bantuan rakannya selepas kejadian itu.

Mereka terkejut melihat kepala Yang berlumuran darah dan terus mengeluarkan kulit kepala serta rambutnya dari mesin berkenaan yang diserahkan kepada paramedik yang tiba beberapa minit kemudian.

Yang dalam keadaan terkejut ketika dibawa ke hospital untuk pembedahan segera dan doktor mengambil masa lapan jam untuk menyambungkan semula kulit kepalanya.

Dr Li Bin berkata, pembedahan itu amat mencabar kerana kulit kepala Yang tersiat sepenuhnya dari bawah kening, telinga dan tengkuk.

“Dia mengalami trauma dan kehilangan banyak darah,” katanya.

Dr Li turut mengingatkan pekerja kilang sentiasa mengikat rambut mereka dan menutup kepala untuk mengelak kejadian seumpama itu berlaku. - Agensi

Thursday, 11 May 2017

Mexico negara kedua paling berdarah selepas Syria

Anggota kartel dadah Mexico yang berjaya ditahan oleh pihak berkuasa negara berkenaan di tempat persembunyian mereka.

LONDON – Kekejaman kartel dadah mengakibatkan Mexico mencatatkan kadar pembunuhan kedua tertinggi di dunia di belakang Syria pada tahun 2016, lapor Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IIS) yang beribu pejabat di London kelmarin.

Menurut IIS, Mexico mencatatkan 23,000 kes pembunuhan pada tahun lalu berbanding 60,000 di Syria, negara yang dilanda perang saudara sejak tahun 2011.

“Jarang pembunuhan akibat jenayah menyamai tahap konflik perang. Namun, ini berlaku di kawasan Segi Tiga Utara Amerika Tengah (Honduras, Guatemala, El Salvador) dan Mexico,” kata penyelidik institut berkenaan, Antonio Sampaio.

Tiga negara Amerika Tengah itu mencatatkan penurunan bilangan pembunuhan dengan catatan 16,000 kes tahun lalu, manakala Mexico mencatatkan pertambahan 11 peratus dalam tempoh sama.

Sampaio berkata, keganasan di Mexico memuncak selepas Presiden Felipe Calderon mengisytiharkan perang ke atas dadah dalam usaha untuk menghapuskan kartel-kartel dalam tahun 2006.

“Namun, konflik yang tercetus membawa penderitaan kepada Mexico apabila 105,000 nyawa melayang dari tahun 2006 hingga 2012,” katanya.

Dalam pada itu, kematian akibat konflik global turun daripada 167,000 dalam tahun 2015 kepada 157,000 orang tahun lalu, kata IIS. – AFP

Wednesday, 10 May 2017

Ketua Pejabat Imigresen CIQ Perlis ditahan

Dari KIRI: Rohaizat, Khairi dan Hasan yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah dan memiliki kekayaan luar biasa pengawai penguat kuasa imigresen.

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan Ketua Pejabat Imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar, Perlis dan dua individu lain bagi membantu siasatan berhubung gaya hidup mewah dan memiliki kekayaan luar biasa dalam kalangan pegawai penguat kuasa CIQ tersebut.

Ketua Pejabat Imigresen CIQ yang ditahan ialah Khairi Osman, 37, yang berpangkat penguasa imigresen.

Turut ditahan Rohaizat Zainal, 35, yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa di CIQ Padang Besar dan seorang kontraktor di Perlis, Hasan Mohd. Yusof, 48.

Mereka ditahan di sekitar negeri ini antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi kelmarin.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, ketua pejabat imigresen CIQ itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah bernilai kira-kira RM20 juta berkaitan meluluskan permohonan permit kerja golongan ekspatriat dan profesional warga asing sekitar tahun 2015.

“Pada tahun 2015, pegawai imigresen itu memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Khid­mat Ekspatriat di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya sebelum dia ditukarkan ke CIQ Padang Besar pada awal tahun 2016.

“Semakan mendapati dalam tempoh tersebut sebanyak 339 permohonan melibatkan 18,626 pemohon permit golongan eks­patriat diluluskan,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Tuesday, 9 May 2017

Ustaz tahfiz didenda kerana air sejuk

MOHAMMAD Fakhrurrazi (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Petaling Jaya semalam selepas dijatuhi hukuman denda.

PETALING JAYA – Gara-gara memukul pelajarnya menggunakan sebatang penyapu sehingga cedera kerana marah air sejuknya di dalam peti ais diambil tanpa kebenaran tahun lalu, seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Atiqah Abd. Karim @Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Saufi, 22, selepas tertuduh yang kini bekerja sebagai tukang cuci kereta mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan dia membayarnya.

Sunday, 7 May 2017

Penguat kuasa kaki makan rasuah

SINDIKET pelacuran didakwa membayar wang bulanan kepada penguat kuasa untuk melindungi kegiatan haram mereka. - Gambar hiasan

LANGKAWI – Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat penguat kuasa di sebuah negeri di selatan tanah air dan Kuala Lumpur masing-masing dibayar sebanyak RM1.2 juta dan RM5 juta setiap bulan bagi melindungi sindiket perjudian haram dan pelacuran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya berjaya menemui beberapa dokumen penting yang menunjukkan penguat kuasa di negeri terlibat me­nerima bayaran tersebut daripada sindiket berkenaan.

“Hasil operasi yang dilakukan di selatan tanah air baru-baru ini, kita (SPRM) menjumpai dokumen yang menunjukkan terdapat sindiket yang terlibat dalam kegiatan haram itu membuat bayaran kepada penguat kuasa terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Graduan Holistik 2017 anjuran Universiti Malaysia Perlis dengan kerjasama SPRM di sini semalam.

Saturday, 6 May 2017

Mati digigit bapa

DALAL dengan kesan gigitan pada mukanya.

Damsyik: Seorang bayi berusia sembilan bulan mati selepas digigit bapanya sendiri.

Menurut laporan media tempatan, lelaki itu menggigit anaknya, Dalal, tanpa belas kasihan di Jaramana, sebuah kawasan di Damsyik beberapa hari lalu.

Kejadian itu dikecam penduduk Syria dengan seorang menulis di laman sosial: ‘Mereka yang tidak mati kerana peluru mati kerana sikap gila penduduk negara ini.’

Perang saudara yang meletus sejak 2011 hingga meragut nyawa lebih 250 juta rakyat negara itu dan memaksa jutaan menjadi pelarian memberi tekanan psikologi kepada sebahagian besar warga Syria.

Kejadian itu yang disiarkan Rangkaian Berita Jaramana di laman Facebooknya adalah kekejaman pertama seumpamanya dilaporkan.

Menurutnya, ini kali pertama bayi digigit hingga mati oleh bapanya sendiri di Syria.

Lelaki berusia 37 tahun itu dikatakan kecewa dengan kelahiran anak perempuan.

Menurut ibu Dalal, dia menyedari sesuatu yang akan berlaku pada anaknya ketika suaminya mendukung mangsa.

Dia bergegas ke rumah jiran untuk meminta bantuan.

Bagaimanapaun, keadaan terlambat apabila dia menemui anaknya hanya tinggal mayat sekembalinya ke rumah.

Doktor di Hospital Al-Radi di Jaramana, tempat mayat kanak-kanak berkenaan dihantar mengesahkan dia mati kerana gigitan. -Agensi