KUALA LUMPUR – Wakil-wakil rakyat dari barisan kerajaan dan pembangkang di negara ini menghabiskan masa kira-kira tiga jam seminggu bercakar sesama sendiri ketika persidangan berlaku di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu jelas tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak malah rakyat sudah tentu hairan melihat kelakuan wakil-wakil rakyatnya.
“Tapi jawapan yang diberi kepada saya, ‘inilah politik’,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Online.
Ketika ditanya tentang perbezaan dunia korporat dan politik yang dilaluinya, bekas Menteri Besar Selangor ini akui tidak gemar dengan sikap bermuka-muka yang wujud dalam arena politik.
“Sektor korporat ini kita lebih jelas, berfakta dan profesional tapi dalam politik, boleh jadi kadang-kadang kita bermuka-muka. Kita tunjuk depan kita terima tetapi di belakang kita tidak terima.
"Tidak semestinya dia cakap setuju itu, bermakna dia setuju. Itu mesti kita kurangkan. Saya harap perkara ini dikurangkan demi pembangunan negara.
“Saya dapati selepas saya tidak jadi menteri besar (pemimpin) terlalu banyak berpolitik. Politik sekarang menjadi terlalu kucar-kacir. Sebab orang asyik fikir politik. Pembangunan rakyat, bagaimana rakyat miskin yang kita boleh ubah tatacara pengurusan itu tidak sempat nak dibuat kerana sibuk bersorak di Parlimen,” katanya.
Menurutnya lagi, politik merupakan satu persaingan yang tiada undang-undang.
“Jadi, kalau kita main bola, angkat bola pakai tangan, pengadil akan (meniup wisel) berhentikan kita tapi dalam politik, kalau berlaku seperti itu, pengadil datang pun kita akan cuba jatuhkan bola dan boleh teruskan permainan. Maknanya ada kelonggaran yang sangat besar dalam politik ini,” katanya. -SH
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...