Thursday 17 March 2016

Isu dana RM2.6 bilion tidak boleh lagi dibahas

Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR - "Kerajaan tidak lagi akan menjawab soalan‎ berhubung isu melibatkan dana RM2.6 bilion di Dewan Rakyat disebabkan ia tertakluk kepada proses yang sedang berlangsung di Mahkamah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata isu RM2.6 bilion dan SRC International kini berhadapan dengan satu tindakan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) oleh Majlis Peguam Malaysia terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Isnin lalu.

"Isu tersebut kini tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) yang menyatakan ‘Sesuatu pertanyaan tidak boleh dikarangkan cakapnya sekira-kira harus mengelencongkan perkara yang sedang dibicarakan oleh Mahkamah dan tidak boleh ditanya berkenaan dengan apa-apa perkara dalam pertimbangan Mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azalina memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memberikan jawapan mengenai sebarang isu yang melibatkan akauntabiliti termasuk dalam isu RM2.6 bilion dan SRC International. -  Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...