Friday, 11 March 2016

Cikgu dilempang bapa murid sampai lebam


BUKIT BERUANG - Gara-gara melempang murid dipercayai tidak mengikut arahan, seorang guru dilempang semula hingga lebam oleh bapa murid berkenaan di kantin Sekolah Kebangsaan Ayer Molek di sini, semalam.

Guru pendidikan jasmani berusia 37 tahun itu turut diugut untuk dicederakan mengguna cota yang dibawa bapa murid lelaki darjah lima berkenaan selepas bertindak melempang guru kira-kira jam 7.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, ekoran kejadian, guru berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kandang jam 9.30 pagi selain mendapatkan pemeriksaan di Hospital Melaka.

"Siasatan awal mendapati pengadu melempang murid berkenaan ketika Ujian Segak dan Kecergasan pada Rabu lalu sebelum suspek yang juga seorang pekerja hotel di negeri ini datang bertemu pengadu keesokan pagi (semalam).

"Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan bertindak melempang pengadu hingga cedera di pipi kanan selain mengugut akan mencederakan pengadu diluar sekolah menggunakan cota yang dibawa bersama ketika itu," katanya.

Kamaluddin berkata, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat dan mendakwa pengadu sengaja berbuat demikian terhadap anaknya yang sering tidak menyiapkan kerja sekolah sebelum suasana tegang itu dileraikan guru-guru terdapat di kantin.

"Polis kemudian bertindak menangkap suspek yang berusia 37 tahun itu di tempat kerjanya kira-kira jam 5 petang semalam bantu siasatan di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan mendatangkan kecederaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata, pihak sekolah telah menghubungi ibu murid berusia 11 tahun itu untuk menghadiri sesi permuafakatan. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...