Md Shukri Shuib |
ALOR SETAR - Pembangkang dicabar menerima bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli dan diberi jawatan yang sesuai jika benar ikhlas mahu berjuang bersama dengan aspirasi bekas presiden Umno itu.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu akan lebih berkesan dalam hala tuju Deklarasi Rakyat jika pembangkang menerima Mahathir sebagai ketua mereka buat masa ini.
“Adakah mereka berani dan Ikhlas? Beranikah DAP menggantikan Lim Kit Siang dengan Mahathir sebagai peneraju parti atau PKR mengambilnya sebagai Ketua Umum menggantikan Anwar yang sedang dipenjara.
“Inilah persoalan politik hala tuju mereka jika benar parti pembangkang seia sekata dengan Mahathir,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Jika Mahathir mahukan sokongan segera, mungkin alternatifnya ialah menyertai parti yang sedia wujud seperti PKR, DAP, Amanah atau Pas atas kesediaan mereka bekerjasama baik dengannya.
“Buat masa ini mungkin Mahathir tidak akan menubuhkan parti baru. Saya fikir Mahathir masih menunggu pujukan dari pemimpin Umno supaya kembali kepada parti itu. Hasratnya hanyalah mahu Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Itu objektif yang cuba sampaikan. Namun saya tidak fikir dengan tindakan keluar Umno menjadikan Najib atau mana-mana pemimpin kanan Umno akan memujuk beliau dan menggesa Najib berundur,” katanya.
Md Shukri berkata, realitinya tindakan Mahathir menyertai gerakan bersama parti pembangkang jelas membantu mereka untuk melebarkan sokongan politik.
“Pembangkang juga jelas mengambil kesempatan terhadap dilema yang dihadapi Mahathir, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Pasukan 3M (Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz) ini yang pada asalnya bersuara bagi tujuan menyampaikan apa yang dianggap benar oleh mereka kini sudah tersasar akibat kerjasama dengan individu dan parti yang jelas bukan sahaja anti Najib tetapi ultra anti Umno sejak era Mahathir lagi,” katanya.
Menurutnya, persoalan dalam kalangan orang ramai ialah kenapa bekas pemimpin nombor satu negara itu boleh bersekongkol dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dipecat olehnya dari Umno dan kabinet.
“Soal penubuhan parti baru saya ingat tidak relevan lagi bagi Mahathir berbuat demikian kerana Muhyiddin dan Mukhriz masih menjadi ahli Umno dan mempunyai pengikut tersendiri.
“Jika mahu, Mahathir mungkin boleh sertai parti pembangkang sedia ada. Tetapi saya yakin beliau akan kekal bebas dengan masih berharap akan kembali semula kepada Umno jika permusuhannya dengan Najib dapat diselesaikan,” katanya.
Pada 29 Februari lalu, Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah mengumumkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Najib.
Mahathir berkata, keputusan itu dibuat kerana Umno tidak lagi seperti dahulu sebaliknya merupakan sebuah parti penyokong Najib.
Beliau pernah meninggalkan parti keramat itu pada Mei 2008 kerana kekecewaannya terhadap pucuk pimpinan Umno tetapi menyertai semula pada 2009. -SH
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...