Thursday 24 March 2016

Pegawai kementerian, pengarah syarikat ditahan

Putrajaya: Seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pengarah syarikat menjadi suspek terbaru ditahan berhubung siasatan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata, dua suspek lelaki berusia 41 dan 31 tahun itu ditahan petang tadi di ibu pejabat SPRM selepas dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya, pegawai berusia 41 tahun itu sebelum ini berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kira-kira sebulan lalu.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan dan penahanan tidak membabitkan sebarang rampasan.

Dalam pada itu, Azam berkata tempoh tahanan reman lelaki yang disyaki dalang sindiket itu bersama tujuh yang lain akan disambung selepas tempoh reman mereka berakhir esok.

Menurutnya, seorang wanita yang ditahan reman bersama tujuh individu itu akan dibebaskan dengan jaminan.

Jumaat lalu, SPRM menahan sembilan orang, termasuk seorang setiausaha bahagian kementerian yang dikatakan menerima suapan dianggar RM20 juta.

Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama lapan individu ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi sindiket menyeleweng dana kerajaan RM107 juta. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...