Saturday, 19 March 2016

Pegawai kanan kerajaan ditahan seleweng dana RM100j

Antara barangan berjenama dan barang kemas milik pegawai kanan kerajaan berkenaan yang disita.

PUTRAJAYA – Seorang Setiausaha Bahagian di sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 17 Mac lalu selepas disyaki terlibat dalam sindiket menyeleweng dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, lapan lagi suspek ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor.

Menurutnya, pegawai kerajaan berkenaan disyaki menjadi 'mastermind' yang mengarahkan salah sebuah agensi kementerian itu membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor bagi tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.

“Pegawai kanan yang berusia 56 tahun itu telah mula berkhidmat dengan kementerian tersebut sejak 1998 dan dilantik sebagai setiausaha bahagian kira-kira lapan tahun lalu.

“Hasil siasatan awal, kegiatan sindiket ini telah berlaku sejak 2010 sehingga sekarang dan SPRM tidak menolak kemungkinan kegiatan penyelewengan itu telah berlaku beberapa tahun sebelum itu,” katanya dalam satu sidang media, di sini.

Beliau berkata, pegawai kanan tersebut menerima habuan daripada pihak kontraktor antaranya rumah, kereta mewah, pembayaran insuran dan unit amanah bernilai jutaan ringgit selain penggunaan kemudahan kad kredit supplementary serta pengubahsuaian rumah.

“Suspek juga didapati hidup terlalu mewah sehingga mampu membeli jam tangan dan beg tangan berjenama, pakaian serta barangan kemas yang ada diantaranya bernilai RM600, 000 selain kerap ke luar negara menggunakan penerbangan kelas pertama.

“Anggaran suapan yang diterimanya adalah mencecah RM20 juta dan SPRM telah bertindak menyita sejumlah 69 akaun bernilai RM8.33 juta, selain membekukan semua aset-aset miliknya bagi memberi laluan kepada siasatan yang dijalankan. Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula 18 Mac,” katanya.

Azam berkata, SPRM akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya terdapat pihak lain yang turut terlibat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ujarnya lagi, SPRM akan memanggil saksi-saksi terutamanya dari kementerian terbabit untuk membantu siasatan lanjut yang kini giat dijalankan selain melihat sistem dan prosedur kementerian terbabit yang menyebabkan ketirisan dana merugikan kerajaan.

Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kertas siasatan yang dibuka SPRM terhadap isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan pembelian rumah jenis banglo pada harga rendah dari harga pasaran serta isu berkaitan penjualan tanah di negeri itu.

“Buat masa ini SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang diterima pihak kami, sebarang perkembangan akan diberitahu kelak,” katanya. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...