Monday, 21 March 2016

Jika ada 90 hanya 15 lulus

GAMBAR kenangan PASKAL pada awal penubuhannya.
Lumut: Bukan mudah mahu menjadi anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). Dalam beratus individu yang memohon mungkin hanya segelintir kecil yang mampu melepasi ujian ditetapkan.

Menjadi warga PASKAL menuntut pengorbanan fizikal dan mental melangkaui kemampuan manusia biasa bagi melayakkan mereka digelar ‘panglima hitam’.

Menceritakan jatuh bangun dan pengorbanan paskal sejak hampir 34 tahun lalu Panglima PASKAL Laksamana Pertama Jamalludin Mohd Saman berkata, warga PASKAL berbeza daripada pasukan khas lain dimiliki negara.

Jelasnya, anggota PASKAL yang dipilih perlu mempunyai naluri ‘waterborn’ (berasal dari air) sebelum dilatih dengan empat unsur latihan meliputi latihan di darat, laut, udara dan dasar laut.

“Bukan mudah untuk menyertai PASKAL, jika 90 individu yang menyertai latihan mungkin 15 sahaja yang akan lulus. Mereka perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal luar biasa bagi melayakkan mereka menjadi anggota PASKAL,” katanya.

Menurutnya, sebaik menyertai pasukan khas itu, mereka yang terpilih akan menjalani latihan asas komando selama tiga bulan sebelum dihantar ke sekolah terjunan payung udara.

Jamalludin berkata, sebaik lulus dua ujian itu mereka akan menyertai latihan penyelam kapal sebelum menempuh latihan dan ujian menjadi penyelam tempur yang melayakkan mereka ditauliahkan sebagai warga PASKAL seterusnya memakai beret berwarna ungu.

“Semasa sesi pemilihan, kita sudah tekankan bahawa jika mahu menjadi anggota PASKAL, mereka perlu bertubuh sasa dan berotot selain melepasi ujian kesihatan.

“Latihan fizikal seperti berlari, berenang diadakan di dalam kem sebelum mereka yang lulus dihantar menyertai latihan asas komando,” katanya.

Jamalludin yang juga warga PASKAL daripada kumpulan kedua sejak ia ditubuhkan dahulu memberitahu latihan dan ujian wajib lulus yang sinonim dengan PASKAL adalah ujian ‘Drown Proofing’.

Beliau yang kini berusia 58 tahun berkata, Drown Proofing adalah ujian di mana individu akan diikat kaki dan tangannya sebelum dicampak ke dalam kolam renang dan mereka perlu berenang dan mencapai misi mereka.

ANTARA latihan dijalani pasukan PASKAL.
“Bila dicampak ke dalam kolam renang mereka perlu berenang 50 pusingan. Selepas itu mereka perlu mengambil topeng menggunakan gigi. Ujian ini adalah persediaan sekiranya dalam situasi mereka dicampak musuh hidup-hidup ke dalam laut dan mereka perlu berusaha menyelamatkan diri,” katanya.

Memakai lambang ‘tri-media’ di seragam TLDM ibarat satu kebanggaan dan kepuasan buat mereka apabila berjaya melengkapkan ujian di darat, air dan udara.

Namun apa yang menanti mereka sebaik tamat latihan lebih menuntut pengorbanan dan tanggungjawab yang besar dalam memikul misi negara.

Jamalludin memberitahu, kejayaan merampas kembali kapal dagang MT Bunga Laurel pada 20 Januari 2011 daripada lanun Somalia di Teluk Aden adalah kenangan manis buat pasukan itu.

Apa yang lebih membanggakan kapal itu berjaya diselamatkan selepas dua jam ditawan lanun kira-kira 300 batu nautika di Timur Oman.

Menceritakan peranan lain yang dimainkan PASKAL sejak penubuhannya, Jamalludin berkata, pasukan yang berpangkalan di Semporna, Sabah dan Lumut, Perak itu turut bertanggungjawab dalam melindungi aset kepentingan negara iaitu pelantar minyak daripada dirampas musuh.

“PASKAL terkenal dalam melawan keganasan maritim. Kami ada dua peranan iaitu mempertahankan perairan negara (green role) dan juga sebagai pasukan penentang perampas pelantar minyak (black role). Jika pelantar minyak negara tidak dikawal ia mendatangkan kerugian kepada negara,” katanya.

Biarpun mempunyai keanggotaan terhad iaitu tidak sampai satu peratus daripada warga TLDM namun berbekalkan semangat juang serta latihan sembilan bulan ditempuhi menjadikan mereka antara pasukan elit disegani di dunia.

Jamalludin memberitahu, biarpun pihaknya tidak menerima pengiktirafan secara terus di peringkat antarabangsa namun ia tidak menjadi masalah kerana pasukan Navy Seal Amerika Syarikat sering mengadakan latihan bersama PASKAL dan ia adalah satu penghormatan buat mereka.

Jelasnya apa yang lebih membanggakan banyak bekas warga PASKAL dikehendaki dalam syarikat perindustrian antarabangsa sebagai ‘sea marshall’ (penguasa pemerintah laut) kerana pengalaman dan kepakaran sebelum ini.

“Mereka amat dikehendaki oleh pemain industri minyak baik tempatan mahupun antarabangsa untuk bekerja sebagai ‘sea marshall’. Ini kerana mereka mempunyai kepakaran dalam membanteras aktiviti lanun dengan pengalaman dimiliki,” katanya. -myMetro

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...