Saturday 26 March 2016

Benar rakan guna pistol, anggota polis ke tali gantung

Inspektor Mohd Taufik Peter Abdullah (tengah) dihukum gantung
sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
IPOH – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas seorang pegawai polis berpangkat Inspektor selepas didapati bersalah membenarkan pistol miliknya digunakan rakannya untuk membunuh pekerja kedai emas ketika melakukan rompakan tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Taufik Peter Abdullah, 49, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah sepanjang perbicaraan.

Mohd Taufik yang memakai baju lengan panjang berwarna hitam dan berseluar putih kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.

Samsudin dalam penghakimannya memberitahu, wujud percanggahan dalam maklumat serta keterangan saksi dan tertuduh semasa perbicaraan berlangsung.

Selain itu, beliau berkata, pihak pembelaan hanya menampilkan saksi yang mempunyai tali persaudaraan dengan tertuduh tanpa saksi berkecuali dan perkara ini secara tidak langsung dilihat menyebelahi tertuduh.

Dalam masa sama, Samsudin turut menyatakan tiada bukti tertuduh ambil langkah munasabah untuk mencegah dari melepaskan tembakan.

Mohd Taufik dituduh mengetahui rakannya, S Nagendran, yang kini sudah meninggal dunia, mempunyai senjata api dan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian terhadap Chen Fun Kee.

Kejadian itu berlaku ketika tertuduh dan Nagendran melakukan rompakan di Max Goldsmith & Jewellery di No 15, Jalan Sultan Iskandar di sini, antara jam 3.30 hingga 5.10 petang pada 16 September 2009.

Mohd Taufik yang ketika ini digantung tugas, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh, Muhammad Farhan Ahmad Fadzir dan Ashvinder Kaur. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...