Friday 11 March 2016

Lelaki parah dipukul jiran meninggal dunia


ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 50 tahun yang parah selepas dipukul jirannya kerana dituduh mencuri telefon bimbit dalam kejadian di Bukit Pinang, di sini Isnin lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Fesol Peraman, 50, disahkan meninggal dunia jam 7 pagi tadi selepas tiga hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini. Mangsa sebelum ini dikejarkan ke HSB selepas mengalami kecederaan pada kepala, badan dan tangan kiri, selain tidak sedarkan diri akibat dipukul dalam kejadian di Kampung Teluk, dekat Bukit Pinang di sini, kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menyiasat lebih lanjut bagi mengenal pasti punca kematian. 

"Kita masih menunggu laporan analisis kimia daripada pihak hospital bagi memastikan punca sebenar kematian dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah. 

"Buat masa sekarang kita sudah mengenal pasti suspek dari Kampung Teluk di Bukit Pinang yang memukul mangsa dan lelaki berusia 26 tahun itu kini dipercayai disembunyikan. 

"Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang dikesan mempunyai lima rekod jenayah lampau, diminta menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.-BH


No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...