KANGAR - Seorang pakar kajian strategik dan keganasan hari ini mencadangkan agar kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang terbabit dengan perjuangan IS pulang ke tanah air dan kembali ke pangkuan masyarakat.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Mohamad Mizan Mohd Aslam berkata kumpulan tersebut tidak akan ada tempat tinggal kerana tiada negara asing sudi menerima mereka.
"Malaysia sebagai negara berdaulat belum menafikan kepulangan rakyatnya yang menganggotai Daesh (IS).
"Walau besar manapun dosa mereka, kecuali yang memilih untuk melucutkan kerakyatan Malaysia, mereka harus dibenarkan pulang.
"Saya yakin kerajaan mampu bertindak relevan dan membantu memulihkan mereka yang sedia untuk pulang.
"Apakah kita sanggup bertindak kejam dengan tidak membenarkan mereka pulang?," soal beliau, pada temu bual dengan Bernama.
Dr Mohamad Mizan memiliki PhD bagi Pengajian Strategik mengkhusus pada ideologi keganasan dan radikalisme serta kaunter-terrorisme dari Victoria University of Wellington, New Zealand.
Beliau mengulas statistik terkini Cawangan Khas Counter-Terrorism Polis Malaysia mengenai 137 pejuang IS - 65 lelaki, empat kanak-kanak dan selebihnya wanita Malaysia - yang berada di Iraq dan Syria untuk berjihad.
Dr Mohamad Mizan berkata, selain ditahan melalui peruntukan undang-undang seperti Pota dan Sosma, para pejuang yang sedia pulang itu hendaklah diberi peluang membina kehidupan baharu.
Menurutnya perkara yang perlu ditekankan ialah memulihkan ideologi, memberi penjelasan tentang Islam, iman, ihsan dan konsep jihad sebenarnya kepada mereka.
Katanya, langkah itu penting memandangkan mereka adalah pejuang yang telah ditarbiah secara lahiriah dan rohaniah melalui kelas dan kuliah pengajaran tradisional tetapi sistematik - melalui sistem pendidikan kluster atau maktab al-khidamah.
Jiwa raga mereka yang tertanam ideologi ekstremisme dan radikalisme pasti akan mencari jalan untuk melaksanakan kemahiran yang dimiliki, kata Dr Mohamad Mizan.
Menurutnya konsep 'jihad al-qital' (jihad di medan perang) yang merentasi sempadan dan bangsa menyebabkan mereka sentiasa mencari jalan untuk melaksanakannya termasuk medan jihad baharu.
Konsep jihad ini tidak terpadam malah subur dalam jiwa dan nurani mereka.
Beliau menarik perhatian terhadap apa yang berlaku di Afghanistan selepas perang Russia-Afghanistan dahulu.
Warga Afganistan dan yang lain terlibat dalam IS pulang ke kampung halaman dan membina kehidupan baharu.
"Bila pulang mereka akan berkumpul melalui usrah diketuai oleh 'naqib' dan 'naqibah' yang mempunyai pengalaman dan persefahaman yang sama.
"Kanak-kanak pula diindoktrinasikan dengan ekstremisme dan radikalisme. "Jumlah mereka bertambah melalui hasil perkahwinan sesama pejuang.
"Keadaan akan lebih menggerunkan kerana (kanak-kanak) dibesarkan dengan senjata dan operasi serta melihat sendiri kemusnahan dan kematian di sekeliling mereka," katanya.
Beliau berkata kanak-kanak ini membesar dengan penuh kebencian dan dendam, memungkinkan hasilnya diterjemah melalui perbuatan dan tingkah laku mereka pada masa hadapan.
Dr Mohamad Mizan telah menulis pelbagai artikel dan buku berkaitan keganasan dan kaunter-terrorisme. Antara bukunya, 'The Typology Of Radicalism' diterbitkan pada 2012. -Bernama
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...