Thursday 3 March 2016

Latihan di Saudi dedahkan ATM peperangan bentuk lain - PM

PERDANA Menteri, Najib Razak berucap ketika melawat anggota ATM yang menjalani latihan di Hafar Al Batin, wilayah utara Arab Saudi, petang semalam.

RIYADH: Datuk Seri Najib Razak berkata penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam latihan ketenteraan di utara Arab Saudi dapat meningkatkan kemampuan pasukan itu. Perdana Menteri berkata, latihan ketenteraan 'Thunder of the North' bersama 19 negara termasuk Arab Saudi yang mengetuainya, mendedahkan pasukan itu kepada peperangan bentuk lain.

Katanya, oleh kerana ancaman sekarang boleh datang dari pelbagai sudut, dengan penyertaan dalam latihan itu, ATM akan mempunyai kemampuan untuk bergerak dan bertindak dalam persekitaran yang berbeza.

"Contohnya, ATM yang ada kemampuan dalam peperangan di hutan, dapat meningkatkan kebolehan dalam peperangan padang pasir dan juga bandar. Jadi latihan sebegini amat berguna," katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia selepas majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di sini malam tadi. Majlis itu turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Petang semalam Perdana Menteri turut melawat anggota ATM yang menjalani latihan di Hafar Al Batin. Najib berkata, penyertaan Malaysia dalam latihan itu sebagai sokongan terhadap usaha untuk mewujudkan keselamatan dan bersama tangani sebarang ancaman terhadap dunia Islam.

Katanya, ia juga sebagai satu bentuk solidariti dalam kalangan negara Islam. Sebelum ini, penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan membabitkan negara bukan Islam seperti Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) serta negara dalam ASEAN. "Arab Saudi amat penting kepada umat Islam. Oleh kerana itu kita perlu berikan segala sokongan dan satu daripada caranya ialah menyertai latihan itu," katanya. -BH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...