Monday 14 March 2016

54,406 lepas kerakyatan Malaysia sejak 2010

Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan seramai 54,406 rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan sebagai warganegara sejak 2010 sehingga sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, alasan yang diberi rakyat Malaysia yang berbuat demikian adalah  kerana telah memperoleh  kewarganegaraan negara lain.

‎"Berdasarkan bahagian tiga Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua cara penamatan kewarganegaraan Malaysia, sama ada melalui tindakan pelucutan ataupun melalui pelepasan.

"Untuk  rekod rekod Jabatan Pendaftaran  Negara (JPN), semenjak tahun 2010 hingga 31 Januari 2016 menunjukkan seramai 54,406 orang warganegara Malaysia telah membuat pelepasan kewarganegaraan mereka.

"Mereka juga memberi alasan pelepasan adalah kerana mereka telah memilh untuk tidak meneruskan menjadi warganegara Malaysia dan telah memperolehi kewarganegaraan negara lain," katanya menerusi jawapan bertulis  di Parlimen di sini, hari ini.

Menurut KDN, tahun 2011 mencatatkan jumlah paling ramai rakyat negara ini memilih untuk melepaskan kerakyataan Malaysia iaitu seramai 11,080 orang.

Terdahulu, kenyataan Ahmad Zahid itu  bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sepang,  Mohamed Hanipa Maidin yang meminta  Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang memilih melepaskan kerakyatan mereka setiap tahun bermula tahun 2010 sehingga 2016. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...