Friday 4 March 2016

Rakyat Malaysia Paling Banyak Hutang


Kuala Lumpur – Kaji selidik oleh Manulife menunjukkan bahawa 68% daripada rakyat Malaysia berhutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia, dan lebih dua kali ganda purata serantau sebanyak 33%.

Kaji selidik Indeks Sentimen Pelabur Manulife itu adalah berasaskan 500 temubual di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun, Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Manulife berkata, purata hutang rakyat Malaysia ialah sebanyak RM56,000 iaitu hampir 10 kali purata pendapatan peribadi bulanan, sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan hidup harian (60%), dengan bayaran sewa (44%) dan pendidikan anak-anak (37%).

“Kebanyakan hutang itu adalah jangka panjang, dengan satu perempat daripada mereka yang berhutang tidak dapat membayarnya selama tiga tahun atau lebih.

“Paras hutang yang tinggi mencerminkan pengurusan kewangan yang lemah, dan gagal mengurus aliran tunai dengan berkesan,” katanya.

Sejumlah 89% daripada responden Malaysia yang dikaji selidik memantau perbelanjaan mereka secara tetap, 44% membelanjakan 70% atau lebih daripada bulanan pendapatan bulanan mereka setiap bulan, yang menunjukkan mereka tidak memantau perbelanjaan untuk berjimat.

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Holdings Bhd Group, Mark O ‘Dell berkata, pelabur perlu mengurus kewangan mereka dan mengesan perbelanjaan bagi menghalang mereka daripada menanggung hutang yang terlalu banyak, terutama ketika pasaran kewangan tidak menentu dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

“Tanpa pengurusan hutang yang berkesan, rakyat Malaysia kurang cenderung untuk mencapai matlamat simpanan jangka panjang, yang boleh menjejaskan jaminan kewangan masa depan mereka,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...