Tuesday 27 December 2016

Warga Malaysia bekerja di luar negara layak mencarum SP1M


BANGI: Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara termasuk Singapura layak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) sebagai tabungan di hari tua. 

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP Cawangan Johor, Faizal Abu Al-Ashari, berkata kemudahan itu diberi kepada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah bagi mendaftar sebagai pencarum KWSP untuk membuat simpanan dan menikmati keselesaan apabila mencapai umur persaraan.

Ia sekali gus menyangkal persepsi bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak berkelayakan untuk membuat simpanan dengan KWSP. 

"Sebenarnya mereka masih boleh menyimpan dengan KWSP. SP1M diperkenal untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara," katanya.

Faizal berkata, tiada jumlah tetap dikenakan untuk skim berkenaan yang mana pencarum KWSP boleh membuat caruman antara RM50 hingga RM60,000 setahun pada bila-bila masa mengikut kemampuan dan akan menerima dividen tahunan sama seperti pencarum lain mengikut kadar semasa. 

Pendaftaran boleh dibuat di KWSP dengan mengisi borang khas dan bayaran sama ada di kaunter KWSP, ejen bank iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional serta secara 'dalam talian' di Maybank atau Public Bank. 

Selain SP1M, mereka yang berminat dan berkelayakan boleh membuat simpanan peribadi melalui kaedah simpanan caruman sukarela. Setakat tahun lalu, sejumlah 65 peratus daripada pencarum KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah, yang mana kebanyakan ahli menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam jangka masa tiga hingga lima tahun. 

Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan merancang untuk persaraan, RAS bertindak untuk memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada pencarum KWSP secara percuma. RAS adalah khidmat pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara dan merupakan inisiatif di bawah Kecemerlangan Keselamatan Sosial, Pelan Perancangan Strategik KWSP 2013-2017.

Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Ogos lalu, sejumlah 17,805 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat nasihat RAS secara bersemuka di cawangan KWSP. RAS Cawangan Johor dibuka secara rasmi pada Oktober tahun lalu. Sejumlah 1,500 ahli telah tampil ke cawangan kami bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan simpanan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...