Tuesday, 6 December 2016

Obama ‘buta’ pasal Myanmar

Barack Obama beramah mesra dengan Aung San Suu Kyi dalam pertemuan baru-baru ini. 
NEW YORK - Ketika dunia terus mengutuk Myanmar kerana tentera negara itu melakukan pembunuhan kejam ke atas penduduk etnik Rohingya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama seolah-olah membutakan matanya apabila menarik balik sekatan yang dikenakan sebelum ini atas alasan Myanmar menunjukkan kemajuan besar dalam meningkatkan hak asasi manusia.

Menurut laporan portal Arakan News Agency yang memetik sumber New York Times, pengumuman yang dikeluarkan pada Jumaat lalu menerusi e-mel me­rupakan usaha terakhir Obama yang akan menyerahkan tampuk kepemimpinan kerajaan AS kepada Donald Trump awal tahun depan, mengubah hubungan negara kuasa besar dunia itu dengan Myanmar.

Antara sekatan yang ditarik balik meliputi perdagangan batu permata dan jed serta perniagaan dengan beberapa pegawai tentera Myanmar atau sekutu mereka.

Pengumuman tersebut tidak menyentuh tentang penindasan dan kekejaman negara itu terhadap penduduk minoriti Ro­hingya yang semakin berleluasa di sebalik harapan sebelum ini kemena­ngan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi dapat memulihkan keadaan di negara itu.

Seorang pegawai White House menegaskan, keadaan di Myanmar adalah jauh lebih baik berbanding semasa sekatan dikuatkuasakan pada 1990-an ketika pemerintahan kerajaan di bawah junta tentera.
Pengarah Polisi Human Rights Watch Asia, John Sifton berkata, keputusan itu sebagai ‘mengejutkan’.

“Malah dengan kekejaman yang sedang berlaku sekarang, perkara terakhir kerajaan AS perlu lakukan adalah meningkatkan tekanan terhadap tentera Myanmar,’’ katanya.

Dalam pada itu Suu Kyi terus berdiam diri ketika kempen pembunuhan berlangsung sekali gus mencemarkan imejnya di peringkat antarabangsa sebagai tokoh demokrasi dan penerima hadiah Nobel Keamanan.

Obama telah melawat Myan­mar sebanyak dua kali dan pegawai pentadbirannya ber­kata, lawatan pertamanya ke negara itu adalah yang paling hebat sepanjang memegang jawatan sebagai Presiden.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...