Tuesday 27 December 2016

Purata 10 pelajar setiap sekolah Kedah terbabit dadah

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah, Muhammad Nazer Mustafa (kanan) menyampaikan beg sekolah kepada murid-murid di Program Pemerkasaan komuniti Bebas Dadah dan Penyampaian Beg Sekolah di Dewan Sekolah Kebangsaan Haji Masri, Kuala Kedah.
ALOR SETAR: Purata antara lapan dan 10 pelajar di setiap sekolah terutama sekolah menengah di Kedah, dikesan terbabit dengan dadah, terutamanya jenis syabu. 

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohamad Nazer Mustafa, berkata rekod agensi itu tahun ini mendapati seramai 334 pelajar sekolah di negeri ini, terbabit dengan pengambilan syabu. 

Beliau berkata, pengambilan dadah jenis syabu menunjukkan golongan itu terdedah dengan individu yang mengedar dadah berkenaan, yang juga terdiri daripada remaja bawah umur berusia antara 12 tahun dan 18 tahun. 

"Pengedar kini juga licik mengupah remaja untuk menjual dadah dengan upah RM10 hingga RM50."
Nilai upah itu agak tinggi bagi seorang remaja dan akhirnya mereka dapat mempengaruhi rakan untuk turut sama mengambil dadah."

Selain itu, penggunaan remaja juga dapat menyelamatkan mereka kerana golongan itu tidak dikenakan hukuman kerana masih di bawah umur," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemerkasaaan Komuniti Bebas Dadah dan Penyampaian Sumbangan Beg Sekolah Kepada 100 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Salleh Masri, di Kuala Kedah, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Nazer berkata, Kedah merekodkan jumlah orang kena pengawasan (OKP) paling tinggi berbanding negeri lain iaitu seramai 6,413 orang, dengan trend peningkatan dikesan dalam pengambilan dadah jenis syabu. 

Katanya, trend pengambilan dadah jenis syabu meningkat iaitu pada kadar 80 peratus jumlah keseluruhan, berbanding 70 peratus tahun lalu. Mohamad Nazer berkata, menerusi kajian AADK, terdapat 13 kawasan di negeri ini yang berisiko mempunyai jumlah paling ramai terbabit dengan dadah, antaranya di kawasan penempatan nelayan seperti Kuala Kedah dan Kuala Muda selain di Flet Paya Nahu di Sungai Petani.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...