Friday 2 December 2016

Minyak Masak Malaysia Diseludup Hingga Ke Nigeria


KLANG - Satu sindiket penyeludupan minyak masak yang didalangi oleh warga Nigeria terbongkar apabila polis menahan empat lelaki di sebuah gudang alat ganti terpakai kenderaan di Jalan Bakti, Kapar di sini pagi tadi.

Serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 11 pagi diketuai oleh Asisten Superintendan Norsanizam Nordin berjaya menahan tiga lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an.

Turut serta dalam serbuan terbabit ialah beberapa pegawai dan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.

Selain menahan empat suspek, turut dirampas ialah lebih 2,000 botol minyak masak lima liter yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM40,000.

Difahamkan minyak masak tersebut akan diseludup ke Nigeria menggunakan kontena yang akan diletakkan bersama alat ganti terpakai kenderaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Anggaran harga minyak masak di negara tersebut mencecah RM10 seliter.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil soal siasat ke atas pemilik premis yang juga seorang wanita tempatan berusia 28 tahun mendapati salah seorang warga Nigeria yang mendalangi sindiket tersebut adalah suaminya.

"Berdasarkan siasatan kita premis alat ganti kenderaan terpakai ini menggunakan nama wanita terbabit, namun premis itu diurus oleh seorang daripada tiga lelaki Nigeria terbabit.

"Mereka akan menyeludup minyak masak ini ke Nigeria menggunakan kontena yang diisi sekali dengan alat ganti kenderaan terpakai,"katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Akta Kawalan Bekalan 1991 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...