Sunday, 11 December 2016

Syarat baharu jadi bodyguard di Malaysia

Syarat baharu jadi pengawal peribadi perlu jalani latihan khas dan ditauliah polis.
KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, semua pengawal peri­badi atau bodyguard diwajibkan menjalani latihan khas dan ditauliah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, latihan itu akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen membawa dan menggunakan senjata api oleh pengawal peribadi pada setiap tahun.

“Langkah ini perlu diadakan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Certified Security Guards (CSG) Siri 38/2016 di sini semalam.

Alwi berkata, latihan itu juga bertujuan bagi meningkatkan kawal selia dan kualiti pengawal peribadi dan memastikan semua pengawal keselamatan di negara ini dilengkapi latihan sewajarnya.

Pada majlis itu, seramai 408 pengawal keselamatan menamatkan latihan CSG yang diadakan selama enam hari di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini bermula Isnin lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengawal Peribadi (BGM), Basri Ali berkata, pihaknya menyambut baik keputusan KDN menetapkan syarat baharu pengambilan pengawal peribadi di bawah seliaan PDRM bermula tahun depan. 

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...