KAPAL induk Liaoning dilihat belayar di Laut China Timur. |
TAIPEI – Armada kapal perang China diketuai kapal pengangkut pesawat tunggal negara itu, Liaoning memasuki Laut China Selatan semalam selepas menyeberangi perairan selatan Taiwan.
Kementerian Pertahanan China menyifatkan pelayaran Liaoning sebagai latihan ketenteraan biasa.
Menurutnya, Liaoning yang diiringi lima buah kapal perang menyeberangi perairan di tenggara Kepulauan Pratas yang dikuasai Taiwan tengah hari semalam dan belayar ke arah barat daya.
Terdahulu, armada kapal induk itu menyeberangi titik paling selatan di Taiwan melalui Selat Bashi di antara Taiwan dan Filipina.
“Sifat kekal waspada dan fleksibel sentiasa menjadi kaedah untuk mengawal keselamatan ruang udara,” kata jurucakap kementerian itu, Chen Chung-chi.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada Taiwan mengerahkan jet pejuang atau kapal selamnya bagi mengawasi armada China itu.
Di Beijing, tabloid pemerintah, Global Times melaporkan, latihan ketenteraan terbaharu itu menunjukkan keupayaan Liaoning untuk bertempur kini meningkat dan kapal induk itu perlu belayar lebih jauh.
“Armada China akan meronda perairan Pasifik Timur tidak lama lagi,” demikian menurut akhbar berkenaan.
China sebelum ini berang kerana Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) melakukan rondaan berdekatan beberapa buah pulau yang dituntutnya di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan.
Pada bulan ini, sebuah kapal China merampas dron selam AS di Laut China Selatan sebelum memulangkannya kepada Washington. – AFP
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...