Sunday, 4 December 2016

7 universiti kita makin meningkat

Universiti Utara Malaysia (UUM).
KUALA LUMPUR: Tiga universiti tempatan berjaya tersenarai dalam kedudukan 100 teratas dunia dalam Times Higher Education (THE) BRICS and Emerging Economies University Rankings 2017.

Berdasarkan kaji selidik yang dikeluarkan semalam, Universiti Putra Malaysia (UPM) berada pada kedudukan ke-89, Universiti Teknologi Petronas (UTP) ke-91 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-100, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing pada kedudukan ke-114 dan 136. 

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata kejayaan UPM meningkat 14 anak tangga berbanding kedudukan ke-103 pada tahun lalu itu adalah kejayaan sangat bermakna kepada universiti itu. 

Pencapaian UPM "Ranking itu adalah antara penanda aras pencapaian UPM dalam penyelidikan dan inovasi kerana lebih 60 peratus kriteria penilaian tertumpu kepada komponen penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Dua lagi universiti tempatan yang turut tersenarai dalam ranking itu adalah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai kelompok 201-250 dan Universiti Teknologi MARA (251-300) berdasarkan penilaian yang membabitkan 300 universiti dari 41 negara membangun termasuk China, Brazil, Russia, India dan Afrika Selatan. 

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian UUM adalah di luar jangkaan dan amat membanggakan seluruh warga kampus. "Saya berharap semua warga UUM terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan lain yang lebih besar dan yakin UUM mampu berada setanding dengan universiti terkemuka dunia," katanya. 

Sementara itu, Pengarang THE World University Rankings, Phil Baty dalam satu kenyataan, berkata pada tahun ini tujuh universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking berprestij itu berbanding hanya empat universiti pada tahun lalu.

Institusi terbaik 


"Tahniah kepada semua universiti yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 300 teratas tahun ini memandangkan hanya institusi terbaik sahaja disenaraikan dalam BRICS & Emerging Economies University Rankings 2017," katanya. 

Ranking itu menggunakan 13 petunjuk prestasi yang sama dalam THE World University Rankings untuk menilai institusi daripada segi pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan pandangan antarabangsa. 

Institusi pengajian tinggi (IPT) di China nyata menyerlah dalam senarai itu dengan enam IPT menduduki kedudukan 10 teratas, selain dua universiti Afrika Selatan yang berjaya mengungguli senarai itu.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...