Rodrigo Duterte |
MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk mencampak keluar pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah dari helikopter.
Duterte menyatakan bahawa tindakan itu pernah dilakukannya, malah beliau tidak teragak-agak untuk mengulangi semula.
Bekas pendakwa itu berkata, beliau sebelum ini pernah mencampak keluar seorang lelaki Cina dari helikopter kerana disyaki merogol dan bunuh.
“Jika anda korup, saya akan jemput anda dengan helikopter dan kita terbang ke Manila. Saya kemudian akan campak anda keluar. Saya pernah melakukannya, mengapa saya tidak akan berbuat begitu lagi,” katanya.
Duterte berkata demikian semasa berucap di hadapan mangsa taufan pada Selasa lalu. Klip video ucapan berkenaan turut disiarkan oleh pejabat presiden.
Ancaman terbaharu Duterte itu disuarakan selepas beliau beberapa minggu lalu, mengaku menembak mati penjenayah dadah dalam tempoh 22 tahun memegang jawatan Datuk Bandar Davao.
Katanya, pembunuhan itu adalah sebahagian daripada operasi polis yang sah, termasuk tebusan. Beberapa senator mengingatkan Duterte bahawa beliau berdepan risiko dipecat ekoran komen-komennya.
Duterte turut menyatakan enam individu yang ditangkap dengan rampasan lebih 500 kilogram dadah jenis syabu di ibu negara pada minggu lalu bernasib baik kerana beliau berada di luar kawasan.
“Mereka bernasib baik saya bukan di Manila pada waktu itu. Jika saya tahu ada syabu sebanyak itu, saya sudah pasti akan bunuh anda,” katanya.
Sehingga kini tiada maklumat lanjut bila dan di mana kejadian mencampak keluar dilakukan oleh Duterte, malah jurucakap Presiden itu, Ernesto Abella, menyatakan kejadian itu mungkin tidak berlaku.
“Anggap sahaja ia cerita seram,” kata Abella kepada pemberita. – Reuters
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...