Monday 19 December 2016

PKR sedia serah kerusi kepada Bersatu

Mohamed Azmin ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelancaran program pengangkutan awam sekali seminggu (PPASS) di Foyer pejabat SUK Selangor, pagi tadi.
SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia berunding bagi memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu bersikap terbuka dan perkara itu merupakan salah satu bentuk kerjasama dalam Pakatan Harapan melalui perbincangan dan rundingan untuk mencapai persefahaman bersama.

“Saya dah berbincang perkara ini dengan pimpinan PKR beberapa tempoh lalu dan kita harus ambil sikap terbuka kerana ketika PKR baru dibentuk dahulu pun, kita tak ada kerusi.

“Kita dapat kerusi dari DAP dan Pas... jika mereka tak bagi pada 1999, kita tak akan ada di sini pada hari ini.

“Jadi sekarang, saya kira giliran kita pula untuk menyumbang, bersikap terbuka dan lebih bertanggungjawab untuk berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan termasuk Bersatu,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi itu tertakluk kepada strategi dan faktor keupayaan untuk menang (winnability) seperti perjanjian yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan dan Bersatu.

Sebelum ini, Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju membentuk kerjasama berlandaskan peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963, di mana pimpinan setiap parti setuju untuk meletakkan satu calon sahaja di setiap kawasan dalam PRU 14 nanti.

“Kerjasama ini juga tidak spesifik kepada sesebuah negeri sahaja walaupun ketika ini,kita Pakatan Harapan sudah menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pada masa yang sama, Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin mempunyai kekuatan terutama di selatan Semenanjung seperti Johor dan Melaka.

“Apa pun, pembahagian kerusi ini masih belum diputuskan dan perkara ini masih dalam rundingan dan penilaian buat masa ini. Lagi pun, ini soal strategi, kita tak boleh nak bincangkan soal strategi secara terbuka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...