YAHOO dedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013. |
WASHINGTON: Yahoo mendedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013, angka yang berlainan dengan pendedahannya sebelum ini iaitu 500 juta.
Ia dianggap satu kejutan bagi firma internet terawal itu apabila Yahoo mengesahkan angka itu berdasarkan penyiasatannya selepas berlaku pencerobohan terhadap data miliknya.
"Yahoo percaya ia dilakukan pihak ketiga (penggodam) pada Ogos 2013, yang mencuri data untuk lebih satu bilion pengguna kami," kata Yahoo dalam satu kenyataan hari ini. Yahoo berkata kes berkenaan adalah berlainan dengan angka pendedahannya sebelum ini pada 22 September lalu.
Laporan itu muncul ketika Yahoo dalam proses menjual aset operasi terasnya kepada Verizon dengan nilai AS$4.8 bilion. Pendedahan pada September itu juga memberi kesan kepada proses penjualan kepada Verizon yang kemungkinan nilai berkenaan diturunkan.
Pada November, Yahoo mendedahkan hasil sebahagian siasatannya terhadap kebocoran data mengenai wujudnya pihak ketiga yang mendakwa memiliki data pengguna Yahoo. Menggunakan pakar forensik luaran, Yahoo kemudian mengesahkan ia adalah data pengguna sebenar namun gagal mengenal pasti penceroboh yang dianggap sebagai pencuri data dari firma berkenaan.
Data pengguna yang dicuri itu membabitkan maklumat yang mengandungi nama, alamat email, nombor telefon, tarikh lahir dan 'algoritma' kata laluan pengguna.
Yahoo bagaimanapun mengesahkan penggodam gagal memperoleh kata laluan untuk memasuki teks, data kad pembayaran dan maklumat akaun bank. - AFP
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...