Friday, 2 December 2016

Sejarah kewujudan tentera Indonesia

Anggota TNI Angkatan Darat antara pasukan pertahanan yang dikenali di seluruh dunia.
Perjalanan sesebuah bangsa tidak terlepas daripada sejarah para pejuangnya. Mengimbau kewujudan tentera merupakan bukti negara tersebut mampu mempertahankan kedaulatan daripada serangan penjajah.

Bagaimanapun, tugas tentera tidak hanya mempertahankan negara daripada ancaman luar. Keberadaan pasukan keselamatan itu merupakan jaminan bahawa kedaulatan yang datang daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat adalah terjamin pelaksanaannya.

Kepada ahli falsafah seperti Thomas Hobbes, John Locke dan Rousseau, kedaulatan hanya mampu terjamin sekiranya badan keamanan seperti angkatan bersenjata dimiliki oleh sesebuah negara.

Ini kerana rakyat mengikat diri mereka sebagai warganegara menerusi kontrak sosial dengan harapan hak-hak asas seperti kehidupan, kebebasan dan mempunyai aset dapat dilindungi.

Kedaulatan


Dalam konteks itu, jaminan atas hak kehidupan, kebebasan daripada penjajahan dan perlindungan terhadap harta benda hanya mungkin dapat dikecapi jika sesebuah negara mempunyai angkatan tentera.

Hasilnya, angkatan tentera seperti inilah yang bertugas untuk menjaga keamanan negara sesuai dengan ketentuan undang-undang dan tidak terikat dengan kepentingan atau kelompok tertentu.

Kewujudan angkatan tentera di Indonesia bermula daripada semangat yang sama iaitu untuk menjaga kemaslahatan dan kedaulatan rakyat serta keutuhan negara.

Angkatan tentera pertama negara tersebut bermula daripada Badan Keamanan Rakyat (BKR) yang dibentuk seminggu selepas Indonesia mengecapi kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Nama tersebut kerap ditukar. Antara nama yang pernah digunakan untuk angkatan tentera Indonesia ialah Tentera Keamanan Rakyat, Tentera Republik Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Perjuangan TNI kelihatannya cukup berat pada awal kemerdekaan sehingga memasuki era reformasi. Dalam rentang waktu tersebut, negara itu menghadapi serangan sehingga dua kali iaitu pemberontakan golongan pemisah pimpinan Kartosoewiryo dan Permesta.

Insiden kedua pula berlaku kudeta pada tahun 1965 iaitu serangan daripada golongan yang mempertahankan Irian Barat, referendum Timor-Timor sehingga berlaku demonstrasi besar-besaran pada tahun 1997 hingga 1998.

Dalam tempoh tersebut, banyak cerita-cerita buruk menimpa TNI seperti pelanggaran hak, sikap tidak neutral kerana terlibat dalam Parlimen dan pelbagai tuduhan lain.

Bagaimanapun, sebahagian besar rakyat Indonesia masih percaya dan menaruh harapan besar bahawa TNI merupakan angkatan utama yang mampu diberi amanah untuk menjaga kedaulatan serta keutuhan negara.

Imej

Benteng pertahanan Indonesia didokong kuat pasukan TNI.
Kebelakangan ini, banyak cerita-cerita kurang enak berkait dengan TNI pada pandangan orang awam sekali gus mencalar imej baiknya.

Misalnya, kes-kes pembunuhan, rompakan sehingga terlibat sebagai pengedar dan penagih dadah yang dilakukan oleh segelintir tentera. Bahkan ada juga kedengaran tentera mengasari wartawan.

Baru-baru ini, seorang wartawan televisyen nasional Indonesia mengaku dipukul oleh tentera ketika sedang membuat liputan di Madiun, Jawa Timur.

Sebelum insiden itu, kes seumpamanya berulang. Ia melibatkan anggota Angkatan Udara TNI terhadap wartawan yang sedang membuat liputan pergaduhan di Medan, Sumatera Utara.

Beberapa kes lain juga sedikit sebanyak mencalarkan imej baik TNI. Antaranya ada anggota tentera yang terlibat kes rompakan Rp10 bilion (RM3.2 juta), terlibat dalam transaksi penjualan dadah sebanyak Rp60 juta (RM19,700) dan pembunuhan pelajar agama.

Bertitik tolak dari situasi itu, timbul persoalan, apakah terdapat ketidaktelusan dalam proses rekrut anggota?

Ini kerana masalah seperti itu perlu dirungkai bermula dari akar umbi. Dalam konteks ini, proses pemilihan anggota merupakan titik awal yang perlu diberi perhatian.

Jika diteliti dalam perkara tersebut, beberapa proses pemilihan ternyata terpalit dengan kes rasuah dan pilih kasih.

Kes pada bulan lalu menunjukkan 11 anggota tentera Komando Daerah Militer VII Wirabuana ditangkap menjadi perantara dan menerima rasuah dalam pemilihan anggota tentera.

Panglima Komando Daerah Militer VII Wirabuana, Mayor Jeneral TNI Agus Surya Bakti berkata, pihaknya telah membuat siasatan dalaman sejak sembilan bulan lalu selepas mengetahui terdapat laporan cubaan rasuah.

“Kami berjaya menahan 11 anggota tentera yang terlibat. Ada antara mereka dikenakan tindakan disiplin dan hukuman oleh Mahkamah Tentera.

“Jumlah wang sogokan yang dirampas lebih Rp1.5 bilion (RM492,000) dan anggota tersebut mengaku mampu meluluskan ujian calon tentera yang hadir dalam pemilihan,” katanya.

Namun, sikap dan perbuatan segelintir anggota ini tidak menggambarkan keseluruhan mereka.

Maruah


Namun, kewujudan anggota tentera yang tidak bertanggungjawab tumbuh seperti cendawan, mati sepohon, tumbuh seribu.

TNI perlu mempertimbangkan kembali proses merekrut anggota dilaksanakan dengan lebih profesional dan telus oleh panel penilai.

Pemantauan dalaman secara berkala, pengawasan rutin yang ketat serta pendedahan kepada ilmu pengetahuan perlu dilaksanakan kepada tentera bagi menjadikan mereka lebih amanah serta bertanggungjawab.

Profesionalisme kerja perlu diterapkan dalam setiap anggota tentera kerana ancaman tidak semestinya datang dari luar.

TNI harus terus berpegang teguh menjaga dan mempertahankan maruahnya sebagai badan yang neutral, bergerak sendiri dan profesional sehinggakan ucapan Dirgahayu 71 yang ditujukan kepadanya itu sangat bermakna untuk diingati.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...