Thursday 15 December 2016

Myanmar akur saranan Malaysia

SEBAHAGIAN daripada umat Islam etnik Rohingya mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar.
KUALA LUMPUR - Kerajaan Myanmar akhir­nya akur dengan saranan Malaysia dan bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat di peringkat Menteri-menteri Luar ASEAN pada 19 Disember ini untuk membincangkan mengenai situasi di wilayah utara Rakhine.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Yangon itu akan turut mencadangkan jalan penyelesai­an jangka panjang dalam menangani isu etnik minoriti Islam Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman tentera negara itu.

Beliau berkata, Malaysia bertegas bahawa situasi di wilayah tersebut telah menjadi isu antara­bangsa yang mempunyai implikasi kepada kestabilan politik dan ekonomi serantau dan bukan sekadar dalaman kerajaan Myan­mar.

“Malaysia telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang layanan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya melalui Duta Besar Myanmar ke Malaysia di samping bercadang dan bersedia untuk mengadakan­ pertemuan dengan Ka­un­selor Negara dan Menteri Luar Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam masa terdekat, namun cadangan tersebut masih dalam pertimbangan mereka.

“Melalui platform ASEAN, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah menulis surat kepada Menteri Luar Laos selaku Pengerusi ASEAN pada 27 November lalu dan mencadangkan supaya mesyu­arat tergempar Menteri-menteri Luar ASEAN diadakan, tetapi cadangan itu ditolak Myanmar yang mendakwa itu bertentangan de­ngan dasar tidak campur tangan ASEAN.

“Setelah kedua-dua pihak berbalas-balas kenyataan bagi menegakkan pendirian masing-masing, Myanmar akhirnya akur dengan saranan Ma­laysia dan berse­tuju untuk menga­da­­­kan mesyuarat ter­­sebut,” katanya ke­­­­tika menggulung per­bahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia juga telah menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 24 November lalu dan mencadangkan supaya satu mesyuarat tergempar Menteri-menteri Luar diadakan bagi membincangkan permasalahan masyarakat Islam Rohingya.

Katanya, susulan daripada surat tersebut, Sekretariat OIC telah memaklumkan kepada semua negara anggota bagi mendapatkan persetujuan daripada mereka mengenai penganjuran mesyuarat tergempar itu serta kesediaan Malaysia untuk menjadi penganjur mesyuarat berkenaan.

“Semasa mesyuarat di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November lalu, Malaysia telah menzahirkan rasa bimbang de­ngan situasi keselamatan di negara tersebut terutama golongan kanak-kanak Rohingya yang terperangkap dan terpisah daripada sebarang bantuan kemanusiaan sejak beberapa minggu lalu.

“Malaysia turut menyeru agar kerajaan Myanmar mengam­bil langkah-langkah konkrit untuk menghentikan tindakan keganasan terhadap etnik Rohingya dan etnik minoriti yang lain selain menegaskan perlunya bantuan kemanusiaan disalurkan semula ke wilayah Rakhine de­ngan kadar segera,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...