Friday, 30 December 2016

Harga runcit RON95, diesel dijangka meningkat


PUTRAJAYA - Harga runcit petrol RON95 dan diesel dijangka meningkat pada Januari ini berikutan harga pasaran minyak mentah dunia mencatat peningkatan bulan ini, kata Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata harga runcit RON95 dan diesel ditetapkan mengikut purata harga bahan api itu di pasaran dunia selama sebulan selain dipengaruhi oleh pergerakan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika.

"Purata maksudnya harga dari tarikh 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari. Bukan mengikut harga di hujung bulan seperti pemahaman sesetengah pihak.

"Dengan pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia kini, ia mengakibatkan kos pembelian minyak juga meningkat. Ia memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lokman Noor berkata harga runcit petrol dan diesel ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran bermula 1 Dis 2014 berikutan kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.

Lokman Noor berkata masih ramai tidak dapat menerima bahawa kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi secara pukal dan membantu mereka melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.

Katanya subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti golongan kaya dan miskin menerima nilai subsidi yang sama.

"Contohnya pada Julai 2014, bagi setiap liter RON95, kerajaan memberikan subsidi RM0.6843 seliter," katanya sambil menjelaskan yang kaya menggunakan kuantiti minyak jauh lebih banyak berbanding yang miskin.

"Mereka yang miskin menggunakan kereta Kancil, setelah mengisi tangki mereka penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang diterima hanyalah sekitar RM16.29.

"Mereka yang datang dari kelas menengah pula menggunakan Toyota Camry dan membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah RM48.87, yang mana tiga kali ganda lebih besar daripada yang miskin tadi," katanya.

Lokman Noor berkata berdasarkan kajian Kementerian Kewangan, kerajaan membelanjakan 70 peratus daripada nilai subsidi untuk membantu golongan kaya dan hanya 30 peratus subsidi yang diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel yang dinikmati golongan sasaran.

Pada masa sama, di bawah sistem subsidi pukal warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Setiap hari terutamanya di hujung minggu, katanya, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia turut bocor kepada kenderaan Singapura, selain ia diseludup ke Thailand dan Filipina serta dijual di perairan antarabangsa.

"Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian daripada kerajaan kepada rakyatnya. Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang.

"Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing," katanya. –Bernama

Duterte mahu campak kakitangan rasuah dari helikopter

Rodrigo Duterte
MANILA – Presiden Fi­lipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk mencampak keluar pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah dari helikopter.

Duterte menyatakan bahawa tindakan itu pernah dilakukannya, malah beliau tidak teragak-agak untuk mengulangi semula.

Bekas pendakwa itu berkata, beliau sebelum ini pernah mencampak keluar seorang lelaki Cina dari helikopter kerana disyaki merogol dan bunuh.

“Jika anda korup, saya akan jemput anda dengan helikopter dan kita terbang ke Manila. Saya kemudian akan campak anda keluar. Saya pernah mela­kukannya, mengapa saya tidak akan berbuat begitu lagi,” katanya.

Duterte berkata demikian semasa berucap di hadapan mangsa taufan pada Selasa lalu. Klip vi­deo ucapan berkenaan turut disiarkan oleh pejabat presiden.

Ancaman terbaharu Duterte itu disuarakan selepas beliau beberapa ming­gu lalu, mengaku menembak mati penjenayah dadah dalam tempoh 22 tahun memegang jawatan Datuk Bandar Davao.

Katanya, pembunuhan itu adalah sebahagian daripada operasi polis yang sah, termasuk tebusan. Beberapa senator mengingatkan Duterte bahawa beliau berdepan risiko dipecat ekoran komen-komennya.

Duterte turut menyatakan enam individu yang ditangkap dengan rampasan lebih 500 kilogram dadah jenis syabu di ibu negara pada minggu lalu bernasib baik kerana beliau berada di luar kawasan.

“Mereka bernasib baik saya bukan di Manila pada waktu itu. Jika saya tahu ada syabu sebanyak itu, saya sudah pasti akan bunuh anda,” katanya.

Sehingga kini tiada maklumat lanjut bila dan di mana kejadian mencampak keluar dilakukan oleh Duterte, malah jurucakap Presiden itu, Ernesto Abella, menyatakan kejadian itu mungkin tidak berlaku.

“Anggap sahaja ia cerita seram,” kata Abella kepada pemberita. – Reuters

Wednesday, 28 December 2016

Armada kapal induk China belayar di Laut China Selatan

KAPAL induk Liaoning dilihat belayar di Laut China Timur.

TAIPEI – Armada kapal perang China diketuai kapal pengangkut pesawat tunggal negara itu, Liaoning memasuki Laut China Selatan semalam selepas menyeberangi perairan selatan Taiwan.

Kementerian Pertahanan China menyifatkan pelayaran Liaoning sebagai latihan ketenteraan biasa.

Menurutnya, Liaoning yang diiringi lima buah kapal perang menyeberangi perairan di tenggara Kepulauan Pratas yang dikuasai Taiwan tengah hari semalam dan belayar ke arah barat daya.

Terdahulu, armada kapal induk itu menyeberangi titik paling selatan di Taiwan melalui Selat Bashi di antara Taiwan dan Filipina.

“Sifat kekal waspada dan fleksibel sentiasa menjadi kaedah untuk mengawal keselamatan ruang udara,” kata jurucakap kementerian itu, Chen Chung-chi.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada Taiwan mengerahkan jet pejuang atau kapal selamnya bagi mengawasi armada China itu.

Di Beijing, tabloid pemerintah, Global Times melaporkan, latihan ketenteraan terbaharu itu menunjukkan keupayaan Liao­ning untuk bertempur kini me­ningkat dan kapal induk itu perlu belayar lebih jauh.

“Armada China akan meronda perairan Pasifik Timur tidak lama lagi,” demikian menurut akhbar berkenaan.

China sebelum ini berang kerana Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) melakukan rondaan berdekatan beberapa buah pulau yang dituntutnya di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan.

Pada bulan ini, sebuah kapal China merampas dron selam AS di Laut China Selatan sebelum memulangkannya kepada Washing­ton. – AFP

Sikap pencarum KWSP habiskan simpanan membimbangkan


BANGI - Sikap pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menghabiskan wang simpanan dalam tempoh singkat semakin membimbangkan, kata Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP cawangan Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof.

Beliau berkata, rata-rata ahli KWSP yang telah mencapai usia persaraan menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun sedangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 75 tahun. 

"Lebih membimbangkan apabila terdapat kes yang mana pesara mengeluarkan 70 peratus wang simpanan mereka dan tidak sampai 30 hari telah menghabiskan wang tersebut, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. 

Justeru itu, Nornisah menasihati orang ramai khususnya bakal pesara supaya bijak dalam mengurus kewangan dan merancang perbelanjaan dengan sebaiknya bagi meneruskan keberlangsungan hidup di hari tua. 

"Bagi ahli yang memerlukan penjelasan atau bantuan khidmat nasihat boleh merujuk kepada pegawai RAS yang bertauliah di cawangan KWSP berhampiran. "Di sini, kami akan memberikan nasihat dan pandangan dalam membantu ahli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP," katanya. 

Katanya lagi, RAS juga dapat memberi bimbingan pengurusan simpanan persaraan supaya ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama, dan berupaya membiayai sara hidup semasa persaraan. Nornisah menjelaskan, pencarum KWSP perlu mempunyai Simpanan Asas iaitu satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 ketika berumur 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan.

Jumlah ini diambil selaras dengan pencen minimum untuk sektor awam iaitu RM950 sebulan untuk jangka masa 20 tahun iaitu dari umur 55 tahun kepada 75 tahun bersamaan dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia iaitu 75 tahun. 

Beliau berkata, setakat tahun lalu, sebanyak 65 peratus daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan RM50,000 ke bawah. Tambah beliau, terdapat empat fasa usia yang sesuai untuk membuat perancangan kewangan bagi memastikan persaraan yang selesa atau mencukupi. 

"Fasa pertama di usia 20-an, amat digalakkan membuat simpanan wang pada usia ini dan perlu mempunyai amalan menyimpan yang mana ahli boleh membuat pembahagian wang simpanan kepada beberapa bahagian penting seperti aset, pendidikan anak, dan juga persaraan. 

"Peringkat usia 30-an merupakan masa yang sesuai untuk menilai kembali kerja yang dilakukan sama ada setimpal atau tidak, golongan dalam umur ini seharusnya sudah mampu untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi pembelian rumah. Waktu ini adalah yang terbaik untuk merancang persaraan sekiranya tidak melakukannya pada umur 20-an," katanya. 

Nornisah berkata, pada fasa 40-an, ahli yang sudah berkeluarga seharusnya lebih fokus membuat simpanan pendidikan anak-anak dan lebih serius dalam simpanan persaraan dan perlu menilai semua pengurusan kredit supaya tidak terbeban dengan hutang. Katanya pada fasa terakhir iaitu di usia 50-an, ahli digalakkan meneruskan simpanan dan tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi untuk mengembangkan kekayaan. - BERNAMA

Tuesday, 27 December 2016

Purata 10 pelajar setiap sekolah Kedah terbabit dadah

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah, Muhammad Nazer Mustafa (kanan) menyampaikan beg sekolah kepada murid-murid di Program Pemerkasaan komuniti Bebas Dadah dan Penyampaian Beg Sekolah di Dewan Sekolah Kebangsaan Haji Masri, Kuala Kedah.
ALOR SETAR: Purata antara lapan dan 10 pelajar di setiap sekolah terutama sekolah menengah di Kedah, dikesan terbabit dengan dadah, terutamanya jenis syabu. 

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohamad Nazer Mustafa, berkata rekod agensi itu tahun ini mendapati seramai 334 pelajar sekolah di negeri ini, terbabit dengan pengambilan syabu. 

Beliau berkata, pengambilan dadah jenis syabu menunjukkan golongan itu terdedah dengan individu yang mengedar dadah berkenaan, yang juga terdiri daripada remaja bawah umur berusia antara 12 tahun dan 18 tahun. 

"Pengedar kini juga licik mengupah remaja untuk menjual dadah dengan upah RM10 hingga RM50."
Nilai upah itu agak tinggi bagi seorang remaja dan akhirnya mereka dapat mempengaruhi rakan untuk turut sama mengambil dadah."

Selain itu, penggunaan remaja juga dapat menyelamatkan mereka kerana golongan itu tidak dikenakan hukuman kerana masih di bawah umur," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemerkasaaan Komuniti Bebas Dadah dan Penyampaian Sumbangan Beg Sekolah Kepada 100 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Salleh Masri, di Kuala Kedah, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Nazer berkata, Kedah merekodkan jumlah orang kena pengawasan (OKP) paling tinggi berbanding negeri lain iaitu seramai 6,413 orang, dengan trend peningkatan dikesan dalam pengambilan dadah jenis syabu. 

Katanya, trend pengambilan dadah jenis syabu meningkat iaitu pada kadar 80 peratus jumlah keseluruhan, berbanding 70 peratus tahun lalu. Mohamad Nazer berkata, menerusi kajian AADK, terdapat 13 kawasan di negeri ini yang berisiko mempunyai jumlah paling ramai terbabit dengan dadah, antaranya di kawasan penempatan nelayan seperti Kuala Kedah dan Kuala Muda selain di Flet Paya Nahu di Sungai Petani.

Pengikut Tuhan Harun dihukum gantung sampai mati


KUANTAN - Dua pengikut kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek pada 2013.

Hukuman berkenaan diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Sumustapha Suradi, 41, dan Shamsinar Abdul Halim, 39.

Tertuduh lain iaitu ketua ajaran berkenaan, Harun Mat Saat, 50; isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 33; pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan Jefferi Safar, 39, dilepas serta dibebaskan kerana pendakwaan gagal membuktikan mereka berkonspirasi melakukan perbuatan tersebut.
Harun meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini pada 16 Ogos lalu. - UTUSAN

Warga Malaysia bekerja di luar negara layak mencarum SP1M


BANGI: Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara termasuk Singapura layak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) sebagai tabungan di hari tua. 

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP Cawangan Johor, Faizal Abu Al-Ashari, berkata kemudahan itu diberi kepada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah bagi mendaftar sebagai pencarum KWSP untuk membuat simpanan dan menikmati keselesaan apabila mencapai umur persaraan.

Ia sekali gus menyangkal persepsi bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak berkelayakan untuk membuat simpanan dengan KWSP. 

"Sebenarnya mereka masih boleh menyimpan dengan KWSP. SP1M diperkenal untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara," katanya.

Faizal berkata, tiada jumlah tetap dikenakan untuk skim berkenaan yang mana pencarum KWSP boleh membuat caruman antara RM50 hingga RM60,000 setahun pada bila-bila masa mengikut kemampuan dan akan menerima dividen tahunan sama seperti pencarum lain mengikut kadar semasa. 

Pendaftaran boleh dibuat di KWSP dengan mengisi borang khas dan bayaran sama ada di kaunter KWSP, ejen bank iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional serta secara 'dalam talian' di Maybank atau Public Bank. 

Selain SP1M, mereka yang berminat dan berkelayakan boleh membuat simpanan peribadi melalui kaedah simpanan caruman sukarela. Setakat tahun lalu, sejumlah 65 peratus daripada pencarum KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah, yang mana kebanyakan ahli menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam jangka masa tiga hingga lima tahun. 

Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan merancang untuk persaraan, RAS bertindak untuk memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada pencarum KWSP secara percuma. RAS adalah khidmat pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara dan merupakan inisiatif di bawah Kecemerlangan Keselamatan Sosial, Pelan Perancangan Strategik KWSP 2013-2017.

Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Ogos lalu, sejumlah 17,805 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat nasihat RAS secara bersemuka di cawangan KWSP. RAS Cawangan Johor dibuka secara rasmi pada Oktober tahun lalu. Sejumlah 1,500 ahli telah tampil ke cawangan kami bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan simpanan mereka. - BERNAMA

Monday, 26 December 2016

Pakatan Harapan tiada pilihan

Mat Suhaimi Shafiei

SHAH ALAM - Kerjasama politik melibatkan semua parti perlu terus dimantapkan.

Adun Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei berkata, ia juga mesti diuruskan dengan kadar segera dan dimeterai bersama semua parti.

"Itulah harapan kebanyakan rakyat hasil kajian oleh beberapa pihak seperti Institut Darul Ehsan dan Merdeka Centre baru-baru ini.

"Pakatan Harapan tidak ada banyak pilihan, sama ada suka atau tidak kesatuan sesama parti politik ini perlu dibuat  bagi meyakini rakyat.

"Pandangan masyarakat masih berkisar tentang semangat bekerjasama dan tolak ansur semua parti bagi mengambil alih Putrajaya," katanya diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang tiada masalah berkongsi pentas bersama PKR dan Bersatu.

Menurut Suhaimi, buat masa ini tiada harapan ekonomi negara akan pulih, ringgit kembali stabil dan pandangan negara luar kembali tinggi pada Malaysia dengan kepimpinan negara sekarang.

"Jadi apa yang diutarakan oleh beliau (Iskandar) sangat penting bagi membuka ruang kerjasama yang lebih luas di kalangan pimpinan politik nasional dan memungkinkan berlakunya perubahan ekonomi dan pentadbiran negara. "Perbezaan pandangan di peringkat nasional harus dikecilkan segera dan kembali memikirkan masalah ekonomi negara yang sangat tenat," katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan di kalangan pimpinan  dalam negeri ini semakin kurang dan jika ada ia perlu diuruskan secara dalaman.

"Apa pun kepimpinan setiap parti harus berhati-hati dengan usaha pihak tertentu melaga-lagakan kepimpinan Pakatan Harapan.

"Contohnya baru-baru ini dakwaan yang mengatakan saya menyekat Amanah dari bertanding di Selangor. Ia hanya satu dakyah dan pimpinan Amanah harus menyelidik dahulu sebelum memberi maklum balas," katanya.

Sunday, 25 December 2016

Jepun paling banyak berhutang

Sumber: Forum Ekonomi Dunia
GENEVA - Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke-55 daripada 138 buah negara yang disenaraikan memiliki jumlah hutang tertinggi sepanjang tahun ini.

Penilaian itu dibuat berdasarkan Indeks Daya Saing Global yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia baru-baru ini.

Menurut Business Insider, jumlah hutang dalam bentuk peratusan yang dicatatkan Malaysia ialah sebanyak 57.4 peratus.

Portal yang sama turut menyebut, Jepun menduduki tangga teratas senarai negara yang memiliki jumlah hutang tertinggi apabila mencatatkan 248.1 peratus.

Ini diikuti oleh Greece dan Lebanon dengan masing-masing sebanyak 178.4 dan 139.1 peratus.
Itali pula berada di tangga keempat dengan 132.6 peratus manakala Portugal di kedudukan kelima dengan 128.8 peratus.

Negara kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) pula berada di tempat ke-11 dengan 105.8 peratus manakala satu lagi negara Asia Tenggara iaitu Singapura di tempat ke-14 dengan 98.2 peratus.

United Kingdom (UK) berada di tangga ke-20 dengan 89.3 peratus manakala Croatia, Mesir dan Austria masing-masing di tempat ke-21, 22 dan 23 dalam senarai itu dengan mencatatkan 87.7 dan 86.2 peratus.

Indeks sama yang direkod berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga menyatakan, Hong Kong mendahului senarai negara paling rendah hutangnya dalam kalangan 138 buah negara apabila mencatatkan 0.1 peratus.

Ini diikuti oleh Brunei (3.1 peratus), Arab Saudi (5.8), Algeria (8.7), Estonia (10.1) dan Kuwait dengan 10.6 peratus.

Saturday, 24 December 2016

Leka main 'games', pengantin diheret ke pelamin

Gadis itu terlampau ketagih dengan permainan League of Legends yang dikatakan amat popular di kalangan peminat permainan dalam talian.


BEIJING - CHINA. Seorang pengantin perempuan yang ketagih dengan permainan atas talian akhirnya terpaksa diheret ke majlis perkahwinannya sendiri oleh pengantin lelaki dan ahli keluarganya.

Laporan Mirror.co.uk menyatakan, pengantin perempuan yang lengkap mengenakan solekan pengantin dan gaun putih tidak mengendahkan majlis perkahwinanya yang bakal berlangsung.

Sebaliknya gadis tersebut kekal setia dengan permainan atas taliannya sehingga mencetuskan huru hara dalam kalangan keluarganya.

Difahamkan, gadis itu terlampau ketagih dengan permainan League of Legends yang dikatakan amat popular dalam kalangan peminat permainan dalam talian.

Sebuah rakaman video menunjukkan pengantin lelaki terpaksa merayu dan memujuk si gadis selain cuba merentap tangan bakal isterinya daripada tetikus dan papan kekunci komputer.

“Tolonglah sayang, saya merayu, tolong ikut saya sekarang. Majlis kita bakal bermula!” rayu si lelaki seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

“Tunggulah sekejap!” balas pengantin perempuan.

Keadaan memuncak apabila seorang lelaki tua yang dipercayai bapa pengantin lelaki menampar si bakal suami.

“Apa ni? Kenapa dengan kamu sebenarnya? Kamu tidak boleh kawal bakal isteri kamu sendiri? Sekarang heret dia keluar dari sini!” arah bapanya sebelum lelaki itu akhirnya mengheret bakal isterinya dari komputer.

Friday, 23 December 2016

Coklat Toblerone, Daim tiada sijil halal


Putrajaya: Coklat jenama Daim dan Toblerone disahkan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Bahagian Hab Halal, JAKIM menerusi kenyataannya yang dimuat naik pada Facebook (FB) hari ini.

Dalam kenyataan itu, Bahagian Hab Halal, JAKIM menasihati pengguna terutama supaya bijak dalam membeli dan memilih produk.

"Jadilah pengguna yang bijak dengan membeli produk mempunyai logo halal Malaysia atau logo halal luar negara diiktiraf JAKIM.

"Untuk mengetahui produk mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta badan pensijilan dan logo halal luar negara diiktiraf JAKIM boleh melayari www.halal.gov.my," katanya.

Kelengkapan sekolah makin mahal

Mohamad Faizal (dua dari kanan) membeli pakaian sekolah untuk salah seorang daripada anaknya di sebuah pasar raya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Kebanyakan ibu bapa mendakwa, kenaikan harga kelengkapan sekolah untuk tahun ini meningkat sehingga 30 peratus menyebabkan mereka memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Jika sebelum ini ibu bapa memperuntukkan sekitar RM100 hingga RM150 bagi seorang anak namun pada tahun ini mereka perlu menyediakan peruntukan melebihi RM200 untuk membeli pakaian sera­gam, kasut, beg dan alat tulis.

Seorang guru, Mohamad Faizal Sulaiman, 41, berkata, dia yang mempunyai lima orang anak bersekolah perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 pada tahun ini untuk membeli keperluan sekolah.

Jelasnya, dia mengambil pendekatan untuk membeli kelengkapan sekolah di premis yang menawarkan diskaun yang lebih tinggi supaya dapat melakukan penjimatan ketika berbelanja.

“Saya memilih pasar raya yang menawarkan harga murah untuk membeli kelengkapan sekolah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sebuah pasar raya di Jalan Masjid India di sini semalam.

Wednesday, 21 December 2016

Bantuan dibolot tentera, sami Myanmar

PENGERUSI Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Zahidi Zainul Abidin.
KUALA LUMPUR: Usaha membawa masuk bantuan ke Rohingya sejak enam tahun lalu sia-sia akibat sebahagian besar daripadanya dibolot tentera dan sami Buddha Myanmar. 

Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Zahidi Zainul Abidin, mendakwa tentera Myanmar kononnya mengenakan cukai terhadap bantuan luar yang ingin disalurkan ke wilayah Rakhine.

Beliau mendakwa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan yang terbabit dalam misi itu kecewa ekoran bantuan yang dihantar, dikongsi secara haram oleh tentera dan sami Myanmar.

 "Bantuan yang kami dan NGO lain bawa dihalang tentera Myanmar untuk terus masuk ke Rakhine. Kami tidak dibenarkan masuk. "Pihak tentera kata mereka sendiri akan menghantar bantuan berkenaan. Bagaimanapun, kami dapati bantuan untuk masyarakat Rohingya cuma tiba separuh sahaja kerana bakinya diambil tentera dan sami Buddha atas alasan cukai," katanya pada sidang media selepas sesi pertemuan dengan sembilan NGO Rohingya, di sini, hari ini.

 Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Selain itu, Zahidi berkata,IKIAM akan bekerjasama dengan pemerintah Indonesia dan Bangladesh bagi memudahkan proses penyampaian bantuan, termasuk menubuhkan kem pelarian di negara berkenaan.

 Dalam pada itu, Shahidan mencadangkan proses saringan pelarian Rohingya ditambah baik di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa-Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) bagi mengelakkan pelarian dari negara lain seperti Bangladesh, termasuk penduduk Islam Myanmar di salah anggap sebagai etnik Rohingya. Justeru, beliau menggesa etnik Rohingya yang tinggal di negara ini dilantik dalam jawatankuasa saringan UNCHR.

Tuesday, 20 December 2016

'Ajar' pemandu tak bertimbang rasa

Netizen memuji tindakan tukang cuci mengepung kenderaan tersebut dengan tong sampah.
Beijing: Seorang tukang cuci di timur China menjadi popular di media sosial negara itu selepas video menunjukkan dia menggunakan puluhan tong sampah untuk mengepung sebuah kereta yang diletakkan di tempat tidak sepatutnya tular di Internet.

Rakaman sepanjang 40 saat itu menunjukkan tukang cuci warga emas itu mengepung kereta berkenaan dengan tong sampah dipenuhi bahan buangan yang diletakkan satu persatu di sekeliling kenderaan berkenaan di wilayah Anhui.

Portal berita Ahwang.cn melaporkan tukang cuci yang tidak didedahkan namanya itu berang kerana kereta terbabit menghalang pintu masuk ke tempat pelupusan sampah tempat dia bekerja.

“Dia tidak boleh meninggalkan keretanya di sini. Ia menghalang laluan kecemasan.

“Perbuatannya menyusahkan saya bekerja dan saya tidak boleh pulang selagi kerja tidak siap, tetapi bagaimana jika keretanya terus ditinggalkan di sini?” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat menghubungi pemandu terbabit dan kereta itu ditinggalkan untuk beberapa jam menyebabkan dia hilang sabar dan mahu ‘mengajar’ pemiliknya.

Ramai pengguna Internet memuji tindakannya.

Masalah seperti itu sering berlaku di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan semakin ramai orang memiliki kereta tetapi tempat parkir tidak mencukupi.

Pada Jun lalu, di Wuhan, wilayah Hubei, sebuah kereta dikepung menggunakan kon lalu lintas selepas pemandunya tidak mengendahkan amaran supaya tidak meletakkan kenderaannya di laluan kecemasan.

Dalam kejadian sama di Qingdao, wilayah Shandong, tukang cuci di sebuah bangunan kediaman mengepung sebuah kereta menggunakan tong sampah kerana diletakkan di dalam kawasan pelupusan sampah. - Agensi

Monday, 19 December 2016

PKR sedia serah kerusi kepada Bersatu

Mohamed Azmin ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelancaran program pengangkutan awam sekali seminggu (PPASS) di Foyer pejabat SUK Selangor, pagi tadi.
SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia berunding bagi memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu bersikap terbuka dan perkara itu merupakan salah satu bentuk kerjasama dalam Pakatan Harapan melalui perbincangan dan rundingan untuk mencapai persefahaman bersama.

“Saya dah berbincang perkara ini dengan pimpinan PKR beberapa tempoh lalu dan kita harus ambil sikap terbuka kerana ketika PKR baru dibentuk dahulu pun, kita tak ada kerusi.

“Kita dapat kerusi dari DAP dan Pas... jika mereka tak bagi pada 1999, kita tak akan ada di sini pada hari ini.

“Jadi sekarang, saya kira giliran kita pula untuk menyumbang, bersikap terbuka dan lebih bertanggungjawab untuk berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan termasuk Bersatu,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi itu tertakluk kepada strategi dan faktor keupayaan untuk menang (winnability) seperti perjanjian yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan dan Bersatu.

Sebelum ini, Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju membentuk kerjasama berlandaskan peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963, di mana pimpinan setiap parti setuju untuk meletakkan satu calon sahaja di setiap kawasan dalam PRU 14 nanti.

“Kerjasama ini juga tidak spesifik kepada sesebuah negeri sahaja walaupun ketika ini,kita Pakatan Harapan sudah menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pada masa yang sama, Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin mempunyai kekuatan terutama di selatan Semenanjung seperti Johor dan Melaka.

“Apa pun, pembahagian kerusi ini masih belum diputuskan dan perkara ini masih dalam rundingan dan penilaian buat masa ini. Lagi pun, ini soal strategi, kita tak boleh nak bincangkan soal strategi secara terbuka,” katanya.

Sunday, 18 December 2016

Angkara biskut berasap

Biskut berasap menggunakan biskut pelbagai warna dan diletakkan cecair nitrogen untuk menghasilkan asap.
Alor Setar: Remaja lelaki, Mohd Aiman Mohd Ridzuan, 15, melecur di tangan kanan selepas mendakwa terkena cecair nitrogen yang digunakan dalam penyediaan biskut berasap yang dibelinya di bandar raya ini baru-baru ini.

Ibu mangsa, Nordiana Yaacob, 45, berkata, mereka sekeluarga membeli biskut itu di sekitar bandar raya ini dengan harga RM10 yang mempunyai 20 keping biskut.


Katanya, ketika hendak makan biskut terakhir Jumaat lalu, anaknya menuang di tapak tangan sebelum terasa seperti tapak tangannya panas dan terus membuang biskut itu tanpa memakannya.

Namun katanya, esoknya dia mendapati tapak tangan kanan anaknya mengelembung dan mempunyai air bisa.

"Saya syak ia mungkin akibat cecair nitrogen biskut yang dituang pada tapak tangannya malam Jumaat lalu dan terus membuat laporan di Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) kerana bimbangkan keadaannya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, setakat ini, pihaknya menerima lima aduan berhubung pengambilan biskut berasap itu yang mendatangkan kesan kepada pengguna termasuk melecur di bahagian lidah ketika makan.

Saturday, 17 December 2016

Kerajaan tidak jual kedaulatan kepada China


KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan pembangkang yang mendakwa kerajaan 'menjual' kedaulatan negara apabila memeterai perjanjian pelaburan dengan kerajaan dan syarikat dari China baru-baru ini. 

Perdana Menteri berkata, tuduhan seumpama itu adalah tidak adil kerana pelaburan berkenaan sebenarnya memberi manfaat besar kepada rakyat seperti pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km). 

"Mereka kata kita jual kedaulatan negara kepada China, tetapi dahulu bila Dasar Pandang Ke Timur (diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pelaburan Jepun di Malaysia...tiada pula isu itu (menjual kedaulatan negara).

"Ia sama sahaja sebenarnya dan mewujudkan pekerjaan serta mengembangkan ekonomi negara, berpegang kepada dasar keadilan ia harus memberi manfaat kepada semua.

"Kita hendak pastikan semua syarikat tempatan mendapat manfaat dari kontraktor kelas A ke F bukan sahaja untuk syarikat besar tetapi orang biasa, projek ECRL itu saya yakin mampu tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga negeri di pantai timur," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang tahun ke 31 Gabungan Persatuan Cina Pahang (GBCP) di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Pahang, Tan Sri Pheng Yin Huah.

Kereta milik Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga di Lumut disimbah asid

ABD. SAMAD menunjukkan kesan simbahan cecair dipercayai asid pada bumbung kereta Honda City yang diletak di pekarangan rumahnya di KRT Taman Samudera 1, Lumut semalam.
LUMUT – Seorang lelaki terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 apabila keretanya disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali pada satu kejadian di depan rumahnya di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Samudera 1 di sini kelmarin.

Abd. Samad Muhidin, 65, yang juga Pengerusi KRT Taman Samudera 1, meletakkan kereta jenis Honda City di depan rumah sebelum menyedari ia disimbah cecair itu ketika hendak keluar mencuci kenderaannya itu pagi kelmarin.

“Saya mahu keluar rumah sekitar pukul 7 pagi untuk mencuci kereta sebelum terlihat kesan cecair berbuih di atas bumbung dan hadapan cermin kereta. Namun setelah disimbah dengan air, cat kereta terkopak,” katanya ditemui di sini semalam.

Susulan kejadian itu, Abd. Samad berkata, dia bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung pada hari sama.

Friday, 16 December 2016

Pelaburan ASB bantu bina kekayaan


RAMAI yang melabur kerana mengharapkan pulangan yang diterima daripada sesuatu pelaburan itu dapat membantu mereka membina kekayaan, sehingga ada yang mudah percaya apabila dijanjikan pulangan luar biasa. Sebenarnya di negara ini, ada banyak peluang pelaburan yang boleh dimanfaatkan untuk membina kekayaan, namun kurangnya ilmu menyebabkan ramai yang akhirnya menanggung kerugian.

Dengan adanya ilmu pelaburan, sudah pasti lebih mudah untuk kita memahami sama ada pelaburan yang disertai mampu memberi pulangan sewajarnya atau boleh menyebabkan kita menanggung kerugian.

Justeru, perkara pertama yang perlu kita fahami apabila ingin melabur ialah kaitan antara risiko dan pulangan, di mana kebiasaannya lebih tinggi risiko yang perlu ditanggung, lebih tinggilah pulangan yang boleh diharapkan.

Risiko kehilangan pelaburan sememangnya tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi apabila pelaburan berkenaan menjanjikan pulangan yang tinggi, seperti pelaburan dalam pasaran saham.

Sebagai contoh, ramai yang menikmati keuntungan daripada peningkatan modal daripada pasaran saham, namun menanggung kerugian besar apabila berlakunya Krisis Kewangan Asia pada 1997 menyebabkan Indeks Bursa Malaysia jatuh sebanyak 856 mata, paras terendahnya sejak 1993. Hubung kait antara risiko dan pulangan ini merupakan satu konsep umum yang wajar difahami sebelum seseorang itu membuat keputusan untuk melabur.

Selain pasaran saham, ada pelbagai jenis pelaburan yang memberi  ngan yang wajar dan memadai dengan risiko yang perlu ditanggung seperti deposit tetap, unit amanah, bon, komoditi, pasaran wang dan sebagainya. Deposit tetap, biasanya berisiko rendah dan memberi pulangan sekitar 3 hingga 4 peratus bergantung kepada tempoh simpanan, manakala unit amanah secara umumnya berisiko sederhana dan memberi pulangan yang sederhana.

Namun, di negara ini wujudnya unit amanah unik yang tiada di negara lain iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan unit amanah seumpamanya yang di tawarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Keunikan ASB dan unit amanah harga tetap ASNB yang lain ialah ia ditawarkan pada harga tetap iaitu RM1 seunit berbanding unit amanah lain yang harga jualannya berubah setiap hari. Selain berharga tetap, pelabur juga boleh melabur dan mengeluarkan pelaburan pada bilabila masa menyebabkan ASB dianggap sama seperti simpanan biasa dalam bank.

Namun, sejak dilancarkan pada 1990, ASB memberi pulangan sekitar lapan peratus setahun ber ba nd i ng simpanan bank yang memberi pulangan antara satu hingga dua pe ratus sahaja.

Walaupun kebelakangan ini pulangan yang diberikan ASB dikatakan menurun dari setahun ke setahun, namun ia sebenarnya masih kompetitif dan menguntungkan serta selari dengan prestasi ekonomi semasa. 

Jika dibandingkan dengan kadar pinjaman asas (BLR), pada 1993 ASB memberi pulangan sebanyak 9 sen sunit dan bonus sebanyak 4.5 sen seunit ketika BLR berada pada paras 9.5 peratus, manakala pada 2013, ketika BLR berada pada kadar 6.7 peratus, ASB memberi pulangan sebanyak 7.0 peratus seunit dan bonus seba nyak satu sen seunit.

ASB juga secara konsisten memberi agihan pendapatan yang lebih baik berbanding kadar inflasi negara, membolehkan pelabur terus melindungi nilai wang mereka daripada mengecil akibat inflasi.

Sebagai sebuah dana unit amanah yang mana pengurus dananya melabur dalam portfolio pelaburan yang terdiri daripada pasaran saham, tunai, dan lain-lain, sudah pastinya keupayaan ASB memberi pulangan bergantung kepada prestasi ekonomi di dalam dan luar negara selain situasi politik semasa.

Sehubungan itu, pemegang unit ASB sewajarnya menyedari bahawa pulangan pelaburan mereka dalam ASB juga akan ada naik dan turunnya. Penganalisis berkata, apabila membuat perbandingan untuk prestasi pulangan ASB, sewajarnya ia dibuat dengan deposit tetap atau simpanan tetap yang mempunyai ciriciri yang hampir sama.

“Adalah tidak wajar pelabur mengharapkan ASB terus memberi pulangan tinggi tanpa menghiraukan prestasi ekonomi semasa. Di sinilah pentingnya ilmu pelaburan kerana sekiranya kita mengeluarkan pelaburan daripada ASB berdasarkan pulangan ASB yang kita anggap turun dari tahun ke tahun, kita sebenarnya telah membuat kesilapan dalam pelaburan.

“Selagi pulangan ASB lebih tinggi berbanding deposit tetap dan lebih baik berbanding inflasi, pelabur sebenarnya masih meraih untung, kerana modal pelaburan mereka kekal tidak terjejas,” katanya.

Bashar menang kerana Syiah

PEJUANG kumpulan penentang kerajaan Syria melepaskan tembakan senjata anti-pesawat di timur laut Aleppo.
BEIRUT – Apabila pejuang-pejuang kumpulan penentang melancarkan cubaan terakhir mematahkan kepungan ke atas bandar Aleppo pada Oktober lalu, mereka dikalahkan oleh militia Syiah Hizbollah dari Lebanon dan bukannya tentera Syria.

Usaha terakhir untuk menguasai Aleppo minggu ini turut menyaksikan beratus-ratu militia Syiah Iraq terbunuh dalam pertempuran selama dua hari, kata komander sebuah kumpulan lain yang berjuang bagi pihak Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Malah, militia Syiah Iraq terus bertempur di barisan hadapan bersama pejuang Hizbollah beberapa jam sebelum Aleppo jatuh ke tangan Bashar.

Sementara itu, pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tentera Syria dan militia Iraq telah membunuh sekurang-kurangnya 82 penduduk awam di Aleppo selepas menawan bandar kedua terbesar Syria itu.

Situasi itu menunjukkan militia Syiah dari luar negara menjadi tonggak kekuatan Bashar untuk mendapatkan kemenangan terbesarnya di Aleppo.

Sumber kumpulan penentang pula memberitahu, bulan-bulan terakhir kepungan Bashar ke atas Aleppo menyaksikan mereka menawan ramai pejuang Syiah tanpa seorang pun askar Syria.

Selain bantuan pejuang


Syiah dari negara lain, serangan udara Rusia juga menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan Bashar.

Serangan udara bertubi-tubi oleh Moscow membolehkan tentera Bashar meneruskan kepungan ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo, melemahkan mereka dan seterus­nya menawan bandar penting itu.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, militia Syiah melepaskan tembakan ke arah konvoi penduduk awam yang baru bersiap sedia untuk me­ninggalkan Aleppo, mengakibatkan seorang terbunuh. – Reuters

Thursday, 15 December 2016

Penggodam curi satu bilion data pengguna Yahoo

YAHOO dedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013.
WASHINGTON: Yahoo mendedah perbuatan penggodam menyebabkan lebih satu bilion data penggunanya dicuri sejak tahun 2013, angka yang berlainan dengan pendedahannya sebelum ini iaitu 500 juta. 

Ia dianggap satu kejutan bagi firma internet terawal itu apabila Yahoo mengesahkan angka itu berdasarkan penyiasatannya selepas berlaku pencerobohan terhadap data miliknya. 

"Yahoo percaya ia dilakukan pihak ketiga (penggodam) pada Ogos 2013, yang mencuri data untuk lebih satu bilion pengguna kami," kata Yahoo dalam satu kenyataan hari ini. Yahoo berkata kes berkenaan adalah berlainan dengan angka pendedahannya sebelum ini pada 22 September lalu. 

Laporan itu muncul ketika Yahoo dalam proses menjual aset operasi terasnya kepada Verizon dengan nilai AS$4.8 bilion. Pendedahan pada September itu juga memberi kesan kepada proses penjualan kepada Verizon yang kemungkinan nilai berkenaan diturunkan. 

Pada November, Yahoo mendedahkan hasil sebahagian siasatannya terhadap kebocoran data mengenai wujudnya pihak ketiga yang mendakwa memiliki data pengguna Yahoo. Menggunakan pakar forensik luaran, Yahoo kemudian mengesahkan ia adalah data pengguna sebenar namun gagal mengenal pasti penceroboh yang dianggap sebagai pencuri data dari firma berkenaan. 

Data pengguna yang dicuri itu membabitkan maklumat yang mengandungi nama, alamat email, nombor telefon, tarikh lahir dan 'algoritma' kata laluan pengguna. 

Yahoo bagaimanapun mengesahkan penggodam gagal memperoleh kata laluan untuk memasuki teks, data kad pembayaran dan maklumat akaun bank. - AFP

Myanmar akur saranan Malaysia

SEBAHAGIAN daripada umat Islam etnik Rohingya mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar.
KUALA LUMPUR - Kerajaan Myanmar akhir­nya akur dengan saranan Malaysia dan bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat di peringkat Menteri-menteri Luar ASEAN pada 19 Disember ini untuk membincangkan mengenai situasi di wilayah utara Rakhine.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Yangon itu akan turut mencadangkan jalan penyelesai­an jangka panjang dalam menangani isu etnik minoriti Islam Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman tentera negara itu.

Beliau berkata, Malaysia bertegas bahawa situasi di wilayah tersebut telah menjadi isu antara­bangsa yang mempunyai implikasi kepada kestabilan politik dan ekonomi serantau dan bukan sekadar dalaman kerajaan Myan­mar.

“Malaysia telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang layanan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya melalui Duta Besar Myanmar ke Malaysia di samping bercadang dan bersedia untuk mengadakan­ pertemuan dengan Ka­un­selor Negara dan Menteri Luar Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam masa terdekat, namun cadangan tersebut masih dalam pertimbangan mereka.

“Melalui platform ASEAN, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah menulis surat kepada Menteri Luar Laos selaku Pengerusi ASEAN pada 27 November lalu dan mencadangkan supaya mesyu­arat tergempar Menteri-menteri Luar ASEAN diadakan, tetapi cadangan itu ditolak Myanmar yang mendakwa itu bertentangan de­ngan dasar tidak campur tangan ASEAN.

“Setelah kedua-dua pihak berbalas-balas kenyataan bagi menegakkan pendirian masing-masing, Myanmar akhirnya akur dengan saranan Ma­laysia dan berse­tuju untuk menga­da­­­kan mesyuarat ter­­sebut,” katanya ke­­­­tika menggulung per­bahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia juga telah menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 24 November lalu dan mencadangkan supaya satu mesyuarat tergempar Menteri-menteri Luar diadakan bagi membincangkan permasalahan masyarakat Islam Rohingya.

Katanya, susulan daripada surat tersebut, Sekretariat OIC telah memaklumkan kepada semua negara anggota bagi mendapatkan persetujuan daripada mereka mengenai penganjuran mesyuarat tergempar itu serta kesediaan Malaysia untuk menjadi penganjur mesyuarat berkenaan.

“Semasa mesyuarat di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November lalu, Malaysia telah menzahirkan rasa bimbang de­ngan situasi keselamatan di negara tersebut terutama golongan kanak-kanak Rohingya yang terperangkap dan terpisah daripada sebarang bantuan kemanusiaan sejak beberapa minggu lalu.

“Malaysia turut menyeru agar kerajaan Myanmar mengam­bil langkah-langkah konkrit untuk menghentikan tindakan keganasan terhadap etnik Rohingya dan etnik minoriti yang lain selain menegaskan perlunya bantuan kemanusiaan disalurkan semula ke wilayah Rakhine de­ngan kadar segera,” katanya.


Wednesday, 14 December 2016

'BABI' disaman polis


Johor Bahru: Seorang wanita ditahan polis selepas menulis perkataan 'Babi' di atas surat saman trafik yang dikemukakan terhadapnya dalam kejadian di Jalan Tun Abdul Razak di sini, malam semalam.

Wanita tempatan berusia 53 tahun dan tidak bekerja itu ditahan selepas menengking anggota polis trafik apabila perbuatannya itu ditegur.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.50 malam ketika anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, menjalankan tugas di lokasi berkenaan sebelum menahan sebuah Mercedes yang dipandu suspek.

"Anggota polis trafik menahan kenderaan suspek kerana dia menghalang lalu lintas selepas enggan memberi kerjasama kepada polis.

"Saman kemudian dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan menghalang lalu lintas, mengabaikan isyarat lalu lintas dan meletakkan kenderaan di garisan berkembar.

"Ketika anggota polis trafik meminta suspek menandatangani saman yang dikeluarkan, suspek bertindak menulis perkataan 'Babi' di ruang tanda tangan itu," katanya.

Beliau berkata, tindakan suspek itu dipercayai cuba menconteng dengan niat memperlekehkan dan menghina anggota polis trafik berkenaan.

Katanya, anggota polis trafik itu kemudian menegur perbuatan suspek, tetapi suspek menengking dan menyatakan namanya adalah 'Babi'.

"Dengan bantuan Unit Peronda MPV, kita berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek di mahkamah esok mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955," katanya.

Rusia tawar teknologi antikeganasan canggih

Rusia sedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dan paling maju.

MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin memberitahu negaranya bersedia untuk berkongsi teknologi antikeganasan tercanggih dengan dunia.

"Kami sedia menawarkan peralatan paling maju termasuk pesawat tempur, sistem pertahanan udara, sistem pelancaran roket berganda dan kereta perisai," katanya ketika mesyuarat Suruhanjaya bagi Kerjasama Teknikal Tentera Rusia dengan Negara Luar, kelmarin.

Menurutnya, pengganas di seluruh dunia telah membentuk kumpulan bersenjata terlatih yang besar dan menggunakan senjata buatan Barat.

Putin dalam satu kenyataan berkata, kononnya Rusia memberi sumbangan besar dalam peperangan menentang keganasan antarabangsa dan menduduki tangga kedua dalam pasaran senjata di dunia.

Difahamkan, portfolio eksport senjata Moscow kini bernilai lebih AS$50 bilion (RM221 bilion) dengan 100 negara menjadi menjadi rakan dagangan.

Tahun lalu, Rusia telah menjual senjata dan peluru kepada kira-kira 58 negara asing. - Press TV

Tuesday, 13 December 2016

Australia larang lelaki Islam amal poligami

Scott Morrison
SYDNEY - Kerajaan Australia akan mengambil tindakan keras ke atas orang Islam yang mengamalkan poligami dan menuntut pelbagai manfaat kebajikan untuk isteri kedua atau ketiga mereka.

Bercakap kepada radio Sydney, Bendahari Scott Morrison berkata, amalan poligami oleh lelaki dan wanita Islam untuk menuntut pelbagai faedah kebajikan sosial adalah “100 peratus salah.”
“Perkara itu bertentangan dengan nilai kami,” kata Morrison.

Komen itu tercetus selepas terdedahnya laporan di dalam akhbar Daily Telegraph pada Sabtu lalu, mendakwa agensi kebajikan Australia Centrelink telah “menghalalkan” poligami dengan membayar faedah kepada beberapa isteri orang Islam.

Artikel tersebut tidak menyatakan seberapa kerap amalan itu berlaku.

Sunday, 11 December 2016

Syarat baharu jadi bodyguard di Malaysia

Syarat baharu jadi pengawal peribadi perlu jalani latihan khas dan ditauliah polis.
KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, semua pengawal peri­badi atau bodyguard diwajibkan menjalani latihan khas dan ditauliah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, latihan itu akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen membawa dan menggunakan senjata api oleh pengawal peribadi pada setiap tahun.

“Langkah ini perlu diadakan bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Certified Security Guards (CSG) Siri 38/2016 di sini semalam.

Alwi berkata, latihan itu juga bertujuan bagi meningkatkan kawal selia dan kualiti pengawal peribadi dan memastikan semua pengawal keselamatan di negara ini dilengkapi latihan sewajarnya.

Pada majlis itu, seramai 408 pengawal keselamatan menamatkan latihan CSG yang diadakan selama enam hari di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini bermula Isnin lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengawal Peribadi (BGM), Basri Ali berkata, pihaknya menyambut baik keputusan KDN menetapkan syarat baharu pengambilan pengawal peribadi di bawah seliaan PDRM bermula tahun depan. 

Saturday, 10 December 2016

Rakyat Thailand terima bantuan ala BR1M

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha.
BANGKOK  – Hampir tujuh juta rakyat Thailand yang dikategorikan sebagai miskin tegar hari ini mula menerima pemberian wang tunai daripada kerajaan bernilai antara 1,500 hingga 3,000 baht (RM186-RM434).

Agensi berita Xinhua melaporkan, pemberian wang tunai yang terus dikreditkan ke bank penerima itu menyaksikan mereka yang berpendapatan kurang 30,000 baht (RM3,722) setahun layak menerima RM434.

Syarat oleh Kementerian Kewangan itu turut menetapkan penduduk berpendapatan lebih 30,000 namun kurang 100,000 baht (RM3,722-RM12,406.81) setahun layak menerima RM186 wang tunai.

Menurut seorang pegawai kementerian tersebut, sebanyak 8.27 juta rakyat Thailand memohon untuk skim tersebut sebelum ini. – BERNAMA

Muncul dari alam ghaib

Muhammad Anuar Elias didukung rakan untuk dibawa ke hospital selepas dua minggu hilang.
Kuala Terengganu: “Selama dua hari saya berenang dan merangkak untuk keluar dari alam ghaib. Saya nampak kawan mencari saya dan memanggil mereka untuk minta tolong tetapi mereka tidak nampak dan mendengar panggilan saya,” kata Muhammad Anuar Elias, 34, yang hilang secara misteri di Kampung Losong Atap Zin di sini, sejak dua minggu lalu.

Pencari udang itu akhirnya ditemui seorang rakannya, Mohamad Hamdan Mohamad Daud, 38, kelmarin berhampiran pokok rengas, 100 meter dari pondok yang menjadi tempat tinggalnya di tepi Sungai Terengganu di kampung berkenaan dalam keadaan lemah.

Mohamad Hamdan berkata, dia menemui rakannya itu selepas terdengar suara lelaki meminta tolong dari arah pokok berkenaan.

“Ketika itu, saya menjala di sungai dan terdengar suara memanggil saya meminta tolong.

“Pada mulanya, saya sangkakan hanya mainan perasaan, namun nekad pergi ke arah suara berkenaan sebelum terkejut melihat Anuar dalam keadaan lemah di kawasan semak di pokok berkenaan.

“Saya kemudian segera mengangkatnya dan membawanya ke pondok serta memandikannya sebelum menghantarnya ke rumah saudara-maranya di kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, rakannya itu mendakwa berada di alam lain selepas terjatuh dalam lubang berhampiran pokok berkenaan.

Katanya, sejak kehilangannya dua minggu lalu, Muhammad Anuar mendakwa berada di pulau berhampiran yang terletak kira-kira 100 meter dari darat.

“Dia mendakwa hanya hilang selama dua hari dan berusaha untuk keluar dari kawasan berkenaan dengan berenang dan merangkak,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, kehilangan rakannya itu agak misteri dan sukar dipercayai tetapi apa yang berlaku hanya dia yang tahu.

“Sepanjang usaha kami mencarinya, ada ustaz memberitahu Muhammad Anuar ‘disembunyikan’ makhluk halus di kawasan pokok berkenaan.

“Walaupun kehilangannya penuh misteri, saya dan rakan lain serta saudara-maranya bersyukur dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, Muhammad Anuar dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk merawat kecederaan pada kaki dan tangan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan mangsa ditemui dalam keadaan selamat, jam 7.45 malam kelmarin di bawah sebatang pokok rengas berhampiran pondok tempat tinggalnya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke HSNZ untuk rawatan dan kini stabil.

Thursday, 8 December 2016

Laporan pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi tidak benar - Kementerian Luar

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri.

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri dengan ini mengesahkan bahawa laporan mengenai pembatalan kadar baru visa Arab Saudi yang tersebar di dalam media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah TIDAK BENAR.

Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi telah menyemak perkara ini dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Disember 2016 tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baru visa negara itu yang telah berkuat kuasa pada 1 Muharram 1437H iaitu bersamaan 2 Oktober 2016.

Oleh yang demikian, pihak media serta orang ramai dipohon agar tidak mudah percaya kepada maklumat-maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi Kerajaan negara terbabit.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan lalu telah dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baru tersebut adalah - untuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (RM2,364). - Bernama

Wednesday, 7 December 2016

Bekas Permaisuri Agong fail petisyen terhadap Syed Hussein

Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman.
KUALA LUMPUR - Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman memfailkan petisyen pemiutang terhadap penerbit Syed Hussein Alwee kerana gagal membayar wang berjumlah RM2,005,383.55 kepadanya seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Temerloh.

Wang itu merupakan bayaran ganti rugi yang perlu dibayar oleh Syed Hussein kepada Siti Aishah kerana melanggar maklumat sulit beliau (Siti Aishah) dalam satu kes saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang.

Mahkamah Tinggi Temerloh memerintahkan Syed Hussein membayar jumlah ganti rugi am dan teladan yang dituntut Siti Aishah sebanyak RM1.5 juta itu pada 23 Okt 2013.

Dalam notis kebankrapan yang dikemukakan Siti Aishah, wang yang perlu dibayar itu merangkumi ganti rugi am dan teladan berjumlah RM1.5 juta, faedah terhadap jumlah itu pada kadar lapan peratus setahun sebanyak RM500,383.56 dan kos sebanyak RM5,000 yang kesemuanya berjumlah RM2,005,383.55.

Siti Aishah, 45, memfailkan petisyen pemiutang itu pada 25 Ogos lepas melalui peguam T.Gunaseelan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam petisyen itu, Siti Aishah memohon supaya satu perintah penerimaan dan penghukuman dibuat berhubung dengan wang yang kena bayar atas penghakiman terhadap penghutang penghakiman iaitu Syed Hussein.

Petisyen pemiutang itu menyatakan bahawa Syed Hussein telah gagal mematuhi arahan-arahan di dalam notis kebankrapan bertarikh 29 Jan 2016 yang menghendakinya membayar hutang berjumlah RM2,005,383.55 kepada Siti Aishah dalam masa tujuh hari selepas notis itu disampaikan kepadanya pada 12 April 2016.

Gunaseelan, yang ditemui pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Tania Arissa Andi Sanrang, berkata mahkamah menetapkan 20 Dis ini untuk pendengaran petisyen pemiutang itu. Syed Hussein tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Guru disaman banyak berlaku di bandar


Kuala Lumpur: Kes menyaman guru oleh ibu bapa kebanyakannya berlaku di bandar besar, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak.

Namun, kes sedemikian sangat terpencil dengan NUTP merekodkan tidak sampai satu peratus berbanding jumlah ahli kesatuan seramai 200,000 orang.

“Jumlah guru di seluruh negara kira-kira 430,000 orang.

“Sebagai contoh daerah saya, Pahang, ada kira-kira 3,000 guru, tidak ada kes dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakannya membabitkan kawasan bandar besar yang ibu bapa dilihat ‘over-protective’ dan terlalu mendengar nasihat peguam," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian memberi jaminan melindungi guru sekiranya mereka disaman ibu bapa.

Beliau bagaimanapun, berharap tindakan undang-undang menjadi langkah terakhir ibu bapa, kerana sebarang masalah boleh diselesaikan melalui rundingan dalaman.

Kamarozaman menjelaskan pelantikan guru dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard dan kelayakan ditetapkan.

"Walaupun berhadapan pelbagai kerenah murid, mereka sebagai profesional akan terus mendidik.

“Cuma kadang-kadang perbuatan mereka disalah tafsir sebagai mendera oleh sebilangan kecil ibu bapa," katanya.

Kamarozaman menarik perhatian bahawa secara umumnya, hubungan antara ibu bapa dan guru tiada masalah, tambahan selepas pengenalan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana sekolah - satu program dirancang kementerian untuk membabitkan ibu bapa dalam program anjuran sekolah.

“Melalui program ini ibu bapa boleh masuk sekolah, boleh menyertai program yang sekolah buat bersama anak-anak mereka dan sekiranya ada pertelingkahan, ibu bapa juga akan turut sama mencari penyelesaian," katanya.

Beliau menyambut baik pengumuman Mahdzir itu dan menyifatkannya satu perkembangan positif kepada guru dan memberi semangat untuk mereka berkhidmat tanpa tekanan.

“Ini satu pembelaan... tahniah kepada menteri sebab ini langkah susulan yang baik, kita dah bincang lama isu ini dengan menteri," katanya.

Beliau berkata sekiranya ada guru disaman, mereka boleh merujuk kepada persatuan guru yang menaungi mereka, penasihat undang-undang Kementerian Pendidikan atau pejabat pendidikan daerah masing-masing.

Tuesday, 6 December 2016

Obama ‘buta’ pasal Myanmar

Barack Obama beramah mesra dengan Aung San Suu Kyi dalam pertemuan baru-baru ini. 
NEW YORK - Ketika dunia terus mengutuk Myanmar kerana tentera negara itu melakukan pembunuhan kejam ke atas penduduk etnik Rohingya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama seolah-olah membutakan matanya apabila menarik balik sekatan yang dikenakan sebelum ini atas alasan Myanmar menunjukkan kemajuan besar dalam meningkatkan hak asasi manusia.

Menurut laporan portal Arakan News Agency yang memetik sumber New York Times, pengumuman yang dikeluarkan pada Jumaat lalu menerusi e-mel me­rupakan usaha terakhir Obama yang akan menyerahkan tampuk kepemimpinan kerajaan AS kepada Donald Trump awal tahun depan, mengubah hubungan negara kuasa besar dunia itu dengan Myanmar.

Antara sekatan yang ditarik balik meliputi perdagangan batu permata dan jed serta perniagaan dengan beberapa pegawai tentera Myanmar atau sekutu mereka.

Pengumuman tersebut tidak menyentuh tentang penindasan dan kekejaman negara itu terhadap penduduk minoriti Ro­hingya yang semakin berleluasa di sebalik harapan sebelum ini kemena­ngan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi dapat memulihkan keadaan di negara itu.

Seorang pegawai White House menegaskan, keadaan di Myanmar adalah jauh lebih baik berbanding semasa sekatan dikuatkuasakan pada 1990-an ketika pemerintahan kerajaan di bawah junta tentera.
Pengarah Polisi Human Rights Watch Asia, John Sifton berkata, keputusan itu sebagai ‘mengejutkan’.

“Malah dengan kekejaman yang sedang berlaku sekarang, perkara terakhir kerajaan AS perlu lakukan adalah meningkatkan tekanan terhadap tentera Myanmar,’’ katanya.

Dalam pada itu Suu Kyi terus berdiam diri ketika kempen pembunuhan berlangsung sekali gus mencemarkan imejnya di peringkat antarabangsa sebagai tokoh demokrasi dan penerima hadiah Nobel Keamanan.

Obama telah melawat Myan­mar sebanyak dua kali dan pegawai pentadbirannya ber­kata, lawatan pertamanya ke negara itu adalah yang paling hebat sepanjang memegang jawatan sebagai Presiden.