Monday, 10 April 2017

Trump hilang sabar

USS Carl Vinson belayar di Laut Filipina dengan diiringi lima kapal perang AS.

WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kelmarin menghantar sebuah armada gempur diketuai kapal induk berkuasa nuklear, USS Carl Vinson ke Semenanjung Korea bagi menangani ancaman program senjata nuklear Korea Utara.

“Markas Pasifik AS mengerah­kan Pasukan Gempur USS Carl Vinson belayar ke utara (Semenanjung Korea) sebagai langkah untuk mengekalkan kesiapsiagaan di Pasifik Barat.

“Ancaman nombor satu di rantau berkenaan masih lagi Korea Utara berikutan program ujian peluru berpandu dan cita-cita Pyongyang untuk membangunkan senjata nuklear secara melulu, tidak bertanggungjawab dan mengancam keamanan,” kata jurucakap Markas Pasifik AS, Komander Dave Benham.

Menurutnya, pasukan gempur diketuai kapal induk USS Carl Vinson itu sepatutnya belayar ke Australia dari Singapura tetapi mengubah haluan ke Semenanjung Korea.

USS Carl Vinson yang ditauliahkan pada 1983 boleh membawa sebanyak 90 jet pejuang dan helikopter bersama 6,062 kru.

Kerahan tersebut dijangka me­ningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan dibuat selepas serangan peluru berpandu AS di Syria. Serangan itu turut dilihat sebagai amaran terhadap Korea Utara yang terus berdegil untuk meneruskan program senjata nuklearnya.

Kerahan armada kapal induk itu juga dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam akan mengambil tindakan unilateral ke atas Korea Utara.

Ancaman beliau tidak lagi dipandang remeh selepas Washington melancarkan 60 peluru berpandu ke Syria pada Khamis lalu.

Korea Utara mengutuk sera­ngan misil AS itu sebagai kekerasan yang tidak boleh diterima. Tindakan Washington, kata Pyongyang, merupakan justifikasi untuk Korea Utara meneruskan program nuklearnya sebagai senjata pencegahan.

Pyongyang sedang membina peluru berpandu jarak jauh keupayaan nuklear yang mampu mengenai ta­nah besar AS. Korea Utara juga me­ngadakan lima ujian nuklear setakat ini, dua daripadanya tahun lalu.

Sementara itu, pakar-pakar ber­kata, rejim Kim Jong-un sedang me­lakukan persiapan untuk mengadakan ujian nuklear keenam, malah kata mereka, Korea Utara akan dapat membina senjata nuklear yang mampu sampai ke AS dalam masa tidak sampai dua tahun.

Pada Rabu lepas, Korea Utara membedil sebuah peluru berpandu balistik jarak sederhana ke Laut Jepun menjelang sidang kemuncak antara Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping.

Pada Februari lalu pula, Pyongyang melancarkan empat peluru berpandu balistik serentak dari pantai timur negara itu. Tiga misil tersebut mendarat dekat perairan Jepun.

Pyongyang menyifatkan pelancaran itu sebagai latihan untuk menyerang pangkalan AS di rantau Asia. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...