Norliza ketika hadir ke mahkamah hari ini. |
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Klang membela diri terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan barangan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65, tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap tertuduh Norliza Mat Radzi, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Norliza didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengetua sekolah tersebut dengan memilih syarikat miliknya sendiri iaitu Orean Collection, sebagai pembekal bagi bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091.65 pada 12, 17 dan 19 Februari 2016.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa turut menggunakan jawatannya dengan memilih Orean Collection membabitkan pembekalan tuala kecil untuk program Selamatkan Bumi Kita berjumlah RM500 pada 30 Mac lalu.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan yang sama membabitkan pembekalan lima pakej hamper, set alat tulis serta medal bagi program perkhemahan berjumlah RM4,000 pada 30 Mac dan 13 April lalu.
Kesemua kesalahan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Tajuddin Abdul Razak.
Mahkamah menetapkan 8 Mei ini bagi tertuduh membela diri terhadap tiga pertuduhan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...