Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai melakukan pemeriksaan perbarisan pada Majlis Sambutan Hari JPJ ke-71 di Dataran Bentong, Pahang. |
BENTONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meraih lebih RM3.8 bilion hasil sepanjang tahun lalu, meningkat enam peratus berbanding tahun 2015.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 70 peratus daripada hasil itu disumbangkan oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM). "Negeri Kuala Lumpur menjadi penyumbang tertinggi diikuti Johor dan Selangor," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari JPJ ke-71 'Rakyat Didekati JPJ Disenangi' di Dataran Bentong, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye. Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata jumlah kenderaan terkumpul di Malaysia ketika ini ialah 27.6 juta berbanding 20.2 juta pada tahun 2010 menjadikan tugas JPJ semakin mencabar.
Katanya, peningkatan itu menandakan tugas mengendalikan pendaftaran baharu, tukar milik, pembaharuan LKM, penguatkuasaan dan lain-lain berkaitan dengan kenderaan turut meningkat. "Begitu juga dengan bilangan pemandu yang dilesenkan oleh JPJ menunjukkan peningkatan daripada 1.22 juta orang pada tahun 2010 kepada 1.38 juta pada tahun lalu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bentong itu berkata, pelaksanaan caj Jalan Raya (RC) terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Malaysia melalui sempadan Thailand akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat. "Kita sedang berunding dengan pihak berkaitan untuk melaksanakan RC ini secepat mungkin, kalau boleh tahun ini juga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...