Sunday, 2 April 2017

GST: Kastam belum puas hati

T. Subromaniam

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih belum berpuas hati dengan tahap pematuhan syarikat terhadap cukai barang dan perkhidmatan (GST) biarpun selepas dua tahun cukai tersebut dilaksanakan di negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T. Subromaniam berkata, sejak cukai tersebut dilaksanakan, pihaknya menganggarkan sebanyak 70,000 syarikat terlibat dalam perbuatan 'kurang ikrar' (under declaration).

“Bagi menangani isu ini, JKDM melaksanakan Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) yang bercirikan program pendidikan agar peniaga dapat mematuhi undang-undang GST secara sukarela. 

“Hanya peniaga yang dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang GST selepas lawatan mesra dilakukan sahaja yang akan diambil tindakan tegas termasuk dibawa ke mahkamah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Subromaniam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahun kedua pelaksanaan GST hari ini selepas diperkenalkan pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan per­khidmatan (SST).

Mengulas lebih lanjut, Subromaniam berharap peniaga mengambil peluang yang ditawarkan JKDM untuk mengikrar semula pengikraran yang tidak betul.

Katanya, pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan kemungkinan remisi atau tidak mengenakan penalti tambahan jika mereka secara sukarela membayar cukai yang 'kurang ikrar'.

Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertindak melaksanakan GST demi masa depan negara.

Subromaniam berkata, sekiranya langkah tersebut telah diambil sejak 30 tahun lalu, negara tidak perlu lagi risau memikirkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ekoran turun naik harga minyak mentah.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...