Tan Sri Dr. Rais Yatim |
KUALA LUMPUR – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim melahirkan kebimbangan mengenai keruntuhan budaya dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini yang tidak lagi mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Katanya, keruntuhan budaya hidup orang Melayu zaman ini boleh dilihat melalui pelbagai aspek sama ada dari segi bahasa, gaya hidup, kepedulian terhadap alam sekitar, sikap hormat-menghormati, adat resam sehinggalah kepentingan menjaga kebersihan.
Beliau menjelaskan, gejala tandas kotor di surau, masjid dan sekolah merupakan salah satu cerminan keruntuhan budaya kerana ia melambangkan gaya hidup rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu dalam mengendalikan kehidupan mereka.
“Saya bersama rakan-rakan telah membuat tinjauan di lebih 100 buah surau, masjid dan sekolah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Rata-rata tandas di premis itu kotor dan tidak diurus dengan baik.
“Tandas yang kotor mencerminkan keruntuhan budaya. Budaya bukan setakat joget, ronggeng ataupun muzik tetapi merangkumi cara kita mengendalikan kehidupan seharian dengan penuh nilai-nilai murni.
“Pada zaman ini, anak-anak kita tidak dibenarkan untuk mencuci tandas kononnya ia melanggar hak asasi manusia. Itu pandangan siapa? Sedangkan di Jepun orang di sana mengasuh anak dengan cara tersebut,” katanya dalam satu wawancara khas dengan Kosmo! menjelang Kongres Budaya 2017 di pejabatnya di Plaza Sentral di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...