Wednesday, 5 April 2017

8 universiti terima swaakreditasi MQA

Idris Jusoh (tujuh dari kanan) bergambar bersama penerima sijil swaakreditasi MQA pada Majlis Pengumuman Swaakreditasi dan Penyampaian Sijil Swaakreditasi MQA di Dewan Zaba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya, baru-baru ini.


Putrajaya: Sebanyak lapan universiti telah mendapat Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hari ini.

Universiti-universiti itu termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Status swaakreditasi (akreditasi sendiri) itu turut diberikan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, status swaakreditasi merupakan satu perakuan dikeluarkan oleh MQA ke atas universiti yang terbukti mempunyai sistem jaminan kualiti dalaman kukuh dan mantap.

Katanya, perkara itu dipastikan melalui audit institusi yang dilaksanakan oleh MQA.

“Dengan status swaakreditasi ini, senat universiti terbabit diberikan kepercayaan oleh MQA untuk mengakreditasi sendiri program pengajian melalui sistem kualiti dalaman mereka berpandukan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan oleh MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi dari semasa ke semasa.

“Ini termasuk pengakreditan ke atas sejumlah 1,050 program yang pada ketika ini dipantau secara langsung oleh MQA dan begitu juga program yang ditawarkan oleh universiti terbabit pada masa akan datang.

“Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk program profesional yang masih perlu melalui akreditasi badan profesional,” katanya.

Mengulas lanjut Idris berkata, melalui pelaksanaan audit yang sama, MQA juga mengekalkan Perakuan Status Swaakreditasi ke atas empat universiti awam dan empat kampus cawangan universiti luar negara yang diberikan pada 2010.

Institusi-institusi berkenaan kata beliau adalah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Monash University Malaysia, University of Nottingham Malaysia, Curtin University Sarawak dan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak.

“Perakuan status swaakreditasi ini menepati dasar Kementerian Pendidikan Tinggi yang berusaha memberi lebih ruang autonomi akademik berdasarkan rekod prestasi yang memberangsangkan sesebuah universiti,” katanya.

Idris berkata, MQA juga menyasarkan lebih 10 universiti lain akan menerima perakuan berkenaan tahun depan jika berjaya menepati kriteria yang ditetapkan.

Katanya, antara kriteria yang ditetapkan ialah universiti itu ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis serta beroperasi sekurang-kurangnya 10 tahun sebagai universiti.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...