Sunday, 30 April 2017

Turki puji tindakan Malaysia terhadap rangkaian Gulenist

SEKUMPULAN penyokong Gulen diiring oleh anggota polis berpakaian biasa ketika tiba di ibu pejabat polis di Kayseri, Turki pada Selasa lalu.

NEW DELHI – Turki memuji tindakan Malaysia terhadap rangkaian ulama Fethullah Gulen (gambar kecil) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan dituduh terlibat dengan cubaan rampasan kuasa oleh tentera di negara itu tahun lalu.

“Kami sungguh gembira dengan cara Malaysia menanganinya. Mereka melarikan diri kerana Malaysia bertindak dengan amat tegas dan tidak membenarkan kumpulan itu menyalahgunakan agama.

“Inilah kekuatan Malaysia dan kami amat menghargainya,” kata Ilnur Cevik, penasihat kanan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam temu bual dengan Bernama di sini.

Rangkaian rahsia itu dikaitkan de­ngan Gulen yang tinggal di sebuah kawasan mewah dan terpencil di Pennsylvania, AS.

Kerajaan Turki meminta AS menghantar pulang Gulen ke Turki untuk dibicarakan berhubung peranannya dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dengan memperalatkan pengikutnya dalam pasukan tentera dan institusi lain.

Ramai pengikut Gulen dipercayai bekerja dalam pasukan keselamatan dan institusi lain di Turki menyebabkan beribu-ribu orang dipecat rentetan kudeta tersebut. – Bernama

Saturday, 29 April 2017

JPJ kutip hasil RM3.8 bilion tahun lalu

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai melakukan pemeriksaan perbarisan pada Majlis Sambutan Hari JPJ ke-71 di Dataran Bentong, Pahang.

BENTONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meraih lebih RM3.8 bilion hasil sepanjang tahun lalu, meningkat enam peratus berbanding tahun 2015.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata 70 peratus daripada hasil itu disumbangkan oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM). "Negeri Kuala Lumpur menjadi penyumbang tertinggi diikuti Johor dan Selangor," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari JPJ ke-71 'Rakyat Didekati JPJ Disenangi' di Dataran Bentong, di sini sebentar tadi. 

Yang turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye. Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata jumlah kenderaan terkumpul di Malaysia ketika ini ialah 27.6 juta berbanding 20.2 juta pada tahun 2010 menjadikan tugas JPJ semakin mencabar. 

Katanya, peningkatan itu menandakan tugas mengendalikan pendaftaran baharu, tukar milik, pembaharuan LKM, penguatkuasaan dan lain-lain berkaitan dengan kenderaan turut meningkat. "Begitu juga dengan bilangan pemandu yang dilesenkan oleh JPJ menunjukkan peningkatan daripada 1.22 juta orang pada tahun 2010 kepada 1.38 juta pada tahun lalu," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bentong itu berkata, pelaksanaan caj Jalan Raya (RC) terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki Malaysia melalui sempadan Thailand akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat. "Kita sedang berunding dengan pihak berkaitan untuk melaksanakan RC ini secepat mungkin, kalau boleh tahun ini juga," katanya.

Cikgu dan kerani tipu guru besar

Zainuddin (kiri) dan Saiful Rizal (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam dan didakwa secara berasingan atas pertuduhan menipu guru besar sebuah sekolah.

SHAH ALAM – Seorang guru dan kerani sebuah sekolah rendah didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam masing-­masing atas dua pertuduhan menipu guru besar dengan menyerahkan sijil cuti sakit palsu.

Kedua-dua tertuduh berkenaan ialah Zainuddin Deraman, 40, merupakan seorang guru manakala Saiful Rizal Mohd. Haris, 27, merupakan seorang kerani. Mereka ialah kakita­ngan Sekolah Kebangsaan Subang Bestari (2) di sini.

Mereka didakwa secara berasingan dengan Zainuddin didakwa di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohkta­ruddin manakala Saiful Rizal di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan ke atas mereka.

Zainuddin dan Saiful Rizal didakwa menipu guru besar SK Subang Bestari (2), Sapiah Jaffar, sehingga wanita berkenaan percaya bahawa dua sijil cuti sakit palsu yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh kepadanya adalah tulen.

Friday, 28 April 2017

Israel serang kawasan ketenteraan Syria

RAKAMAN imej daripada sebuah video menunjukkan letupan dan api marak tercetus akibat serangan rejim Zionis di Damsyik, Syria.

DAMSYIK - Media tempatan Syria melaporkan serangan misil rejim Zionis telah menyebabkan letupan besar dan kebakaran di kawasan ketenteraan berdekatan lapangan kapal terbang antarabangsa Damsyik.

Agensi berita Sana melaporkan, sebuah tangki minyak dan beberapa gudang musnah dalam kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, sumber pemberontak Syria berkata, depot senjata itu dikendalikan oleh pergerakan Hezbollah Lebanon yang kini bertempur di Syria sebagai sekutu rejim kerajaan Bashar al-Assad.


Rejim Zionis berkata, serangan itu berlaku berikutan polisi mereka yang mahu menghalang Iran daripada membekalkan senjata kepada pergerakan Hezbollah.

Israel menganggap Hezbollah dan sekutu utamanya, Iran sebagai ancaman terbesar kepada mereka. - AGENSI

Thursday, 27 April 2017

Pengarah kanan Yapeim ditahan

ANGGOTA SPRM mengiringi Wan Johan (tengah) keluar dari Mahkamah Majistret Putrajaya semalam selepas dikenakan perintah tahanan reman selama lima hari.

PUTRAJAYA – Seorang pengarah kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Wan Johan Wan Ismail (gambar kecil) ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga 30 April ini bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah berjumlah RM233,000.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman di Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman Wan Johan bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah ama­nah dan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri.

Lelaki berusia 47 tahun itu yang masih berkhidmat dengan yayasan berkaitan kerajaan berke­naan ditahan selepas dia selesai memberi ketera­ngan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Menurut sumber SPRM, siasatan berhubung kes tersebut turut membabitkan seorang bekas Timbalan Pre­siden Yapeim berkaitan penyelewe­ngan wang dana yayasan berjumlah RM223,000 yang kononnya diperuntukkan untuk sebuah program sumbangan kepada golongan miskin di daerah Rompin, Pahang pada tahun 2015.

Wednesday, 26 April 2017

Rasuah penjawat awam serius

Ismail memberitahu sesuatu kepada Shamsun (kiri) pada seminar Kelestarian Integriti 2017 di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam berada pada tahap serius apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan seramai 1,088 orang atau 46 peratus daripada kakitangan kerajaan ditahan dalam tempoh dua tahun sejak 2014.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil berkata, angka tangkapan penjawat awam pada 2014 hingga 2016 sangat membimbangkan apabila hampir mencecah 50 peratus daripada tangkapan keseluruhan dalam tempoh tersebut iaitu 2,329 individu.

“Lebih menyedihkan, 58 peratus daripada 1,088 penjawat awam yang ditangkap kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan mereka yang berumur di bawah 40 tahun,” kata beliau.

Shamsun berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel pada seminar Kelestarian Integrasi (SKI) 2017 bertajuk Cabaran Integriti: Semai Benih, Tumbuhnya Lalang.

Seminar tersebut dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Wisma Tani di sini semalam.

Tuesday, 25 April 2017

China terpaksa campur tangan

KAPAL pengangkutan pesawat perang, USS Carl Vinson (kiri) mengadakan latihan ketenteraan di timur Semenanjung Korea, baru-baru ini, yang mengundang kemarahan Korea Utara.

BEIJING - Presiden China, Xi Jinping sekali lagi terpaksa campur tangan dalam meredakan konflik di Semenanjung Korea apabila menggesa semua pihak yang terlibat khususnya Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) supaya ‘mengawal diri’ ma­sing-masing.

Gesaan tersebut dinyatakannya semasa satu perbualan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump hari ini me­ngenai ketegangan di rantau berkenaan susulan isu berkaitan program persenja­ta­an nuklear Pyongyang.

Permintaan Beijing itu dibuat selepas Korea Selatan dan Jepun dijangka menyertai latihan ketenteraan bersama dengan armada perang Tentera Laut AS yang dijangka tiba di perairan Semenanjung Korea dalam tempoh beberapa hari lagi.

Korea Utara yang berang dengan langkah itu mendakwa sudah bersedia menenggelamkan kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson yang diarahkan Trump supaya berada di per­airan tersebut sebagai amaran kepada Pyongyang.

Monday, 24 April 2017

Tentera rejim Zionis serang kem tentera Syria

GAMBAR fail menunjukkan kereta kebal Israel menakluk Bukit Golan berhampiran sempadan gencatan senjata antara Israel dan Syria.
DAMSYIK – Serangan tentera Israel terhadap kem tentera Syria menyebabkan tiga anggota tentera terbunuh dan dua lagi ce­dera dekat Bukit Golan, hari ini.

Menurut seorang pegawai tentera Syria kepada AFP, serangan itu disasarkan ke atas kem Al-Fawwar dekat Quneitra di barat daya negara ini namun masih belum dipastikan sama ada kemusnahan itu disebabkan serangan udara atau sebaliknya.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, serangan itu menyasarkan ‘gudang senjata’ dalam kem berkenaan.

Tentera Israel enggan memberi sebarang ulasan terhadap sera­ngan tersebut.

Pada Jumaat lalu, tentera Israel memberitahu, pihaknya me­nyasarkan kedudukan di Syria sebagai serang balas terhadap serangan mortar di utara bukit berkenaan.

Agensi berita rasmi Syria, SANA memaklumkan, serangan tentera Israel mengenai kedudukan tentera di wilayah Quneitra dan menyebabkan kerosakan.

Kerajaan Syria menyifatkan kumpulan penentang sebagai pengganas dan menuduh Israel menyokong kumpulan tersebut.

Israel merampas 1,200 kilometer persegi kawasan Bukit Golan dari Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudian bertindak memperluaskan pencerobohan dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Kira-kira 510 kilometer persegi kawasan berkenaan adalah di bawah kawalan Syria. – AFP

Sunday, 23 April 2017

Tegas tangani tunggakan hutang bil hospital warga asing

TAHUN lalu sebanyak 1.36 juta pesakit warga asing mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dan jumlah kos rawatan pula mencecah RM269.89 juta. Sehingga kini sebanyak 23,595 warga asing masih lagi berhutang dengan hospital kerajaan.

PERANGKAAN terbaharu berhubung tunggakan bil rawatan perkhidmatan kesihatan warga asing di hospital-hospital kerajaan yang sudah mencapai RM50.5 juta agak mengejutkan. Angka tersebut adalah jumlah terkumpul sejak 2012. Pada tahun lalu sahaja sejumlah 1.36 juta pesakit dalam kalangan warga asing mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan. Jumlah kos rawatan pula mencecah RM269.89 juta. Sehingga kini sejumlah 23,595 warga asing masih lagi berhutang dengan hospital kerajaan.

Hospital atau klinik kesihatan kerajaan seringkali menjadi tumpuan warga asing kerana caj dikenakan jauh lebih murah dibandingkan dengan hospital atau klinik swasta. Selain itu ra­watan dan ubat-ubatannya juga bermutu tinggi. Para pekerja asing sektor kotor, sukar dan bahaya sebagai contoh seboleh-bolehnya mahu meminimumkan kos perubatan masing-masing apatah lagi jika mereka masuk ke negara ini secara tidak sah atau sudah tinggal melebihi tempoh masa. Mungkin kerana mahu berjimat-cermat mereka tidak kisah beratur panjang di hospital kerajaan asalkan tidak perlu mengeluarkan belanja besar.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, kebanyakan yang mengelak daripada membayar bil ini ialah kumpulan warga asing yang masuk secara tidak sah ke negara ini. Warga asing yang sah, biasanya dilindungi insurans atau dibiayai oleh majikan. Ada juga sebahagian majikan lepas tangan dan sengaja tidak mahu membayar kos rawatan perubatan pekerja, mereka dihantar ke klinik atau hospital kerajaan sahaja.

Walaupun kerajaan sedang melakukan pelbagai usaha untuk menjejaki warga asing menerusi alamat tempat tinggal dan majikan masing-masing, usaha masih tidak berjaya. Sebahagian mungkin sudah kembali ke tanah air masing-masing setelah sihat walafiat. Sebahagian lagi walaupun masih berada di Malaysia tidak ambil peduli tentang tunggakan bil rawatan di hospital kerajaan apatah lagi jika jumlah­nya mencecah ribuan ringgit.

Apa yang dialami oleh hospital-hospital kerajaan ini tidak ubah seperti apa yang pernah dan sedang dialami oleh beberapa agensi penguatkuasaan se­perti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam isu saman atau kompaun tertunggak kesalahan lalu lintas yang dilakukan rakyat dari sebuah negara jiran. Sehingga sekarang isu tersebut masih tidak dapat diatasi walaupun pelbagai cara dan pendekatan sudah diperkenalkan. Jumlah saman atau kompaun yang tidak dibayar juga mencecah jutaan ringgit.

Dengan jumlah hutang tertunggak terus naik setiap tahun, isu ini kelihatan seperti sukar untuk diselesaikan walaupun beberapa mekanisme telah diper­kenalkan. Tindakan terbaharu yang diambil oleh Kementerian Kesihatan mengenakan deposit lebih tinggi bagi rawatan hospital dilihat sebagai salah satu cara bagi mengurangkan kes-kes bil tertunggak.

Langkah ini sebagai salah satu ikatan atau jaminan agar pesakit menjelaskan segala kos rawatan yang dikenakan sebelum me­ninggalkan hospital . Sebelum ini pesakit warga asing ini boleh hilang secara diam-diam atau curi-curi tanpa perlu membayar caj. Dalam hal ini kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dan perlu tegas. Sekiranya mereka tidak mampu menyediakan sejumlah wang deposit yang ditetapkan, mereka tidak boleh mendapatkan rawatan. Pergilah ke hospital atau klinik swasta sebagai satu pilihan lain. Kadar caj yang dikenakan sudah pasti berlipat kali ganda.

Kerajaan selama ini terlalu baik dan cukup berperikemanusiaan dalam bab-bab kebajikan insan tanpa mengenal warna kulit dan asal keturunan termasuk dalam aspek rawatan kesihatan. Pesakit warga asing menikmati faedah rawatan kesihatan dan perubatan yang lebih kurang setaraf dengan apa yang dinikmati oleh warga tempatan.

Bagaimanapun dalam kea­daan sedemikian ramai juga yang mahu mengambil kesempatan. Meskipun mampu membayar kos rawatan yang dikira amat berpatutan itu, masih banyak yang culas berbuat sedemikian. Kebanjiran mereka di hospital-hospital kerajaan selama ini pun tidak begitu menyenangkan. Rakyat tempatan banyak kali merungut kerana terpaksa bersesak-sesak dengan kumpulan pendatang asing ini setiap kali ke hospital atau klinik kerajaan.

Sebenarnya warga asing termasuk yang bekerja secara tidak sah di negara ini mampu membiayai kos rawatan kesihatan masing-masing. Mereka tekun bekerja dan memperoleh upah setimpal. Setiap bulan mereka berupaya mengirim wang ke kampung halaman masing-masing. Kalau mereka boleh mengirim beribu-ribu ringgit sebulan ke negara asal, maknanya mereka juga ada wang untuk persediaan sakit demam masing-masing. Peraturan ini mesti dikuatkuasakan tanpa sebarang tolak ansur lagi.

Saturday, 22 April 2017

Muda-muda dah hutang RM60 juta

ZULHELMI (kanan) dan rakannya menceritakan kisah hitam yang menimpa mereka kepada wartawan Kosmo! dalam temu bual di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Impian tiga anak muda untuk bergelar usahawan online bukan sahaja musnah, malah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka kini menanggung hutang sehingga RM60 juta selepas ditipu sekumpulan sindiket.

Peristiwa hitam dalam hidup mereka itu berlaku selepas terjebak sebagai ejen produk online yang ditawarkan sindiket telefon bimbit.

Modus operandi sindiket itu sangat mudah apabila menawarkan kepada mana-mana individu untuk menjadi ejen dengan menjual barangan pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Ejen pula membuat promosi dan menjual produk berkenaan di laman sosial masing-masing seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Menurut seorang ejen serta mangsa penipuan online, Muhammad Zulhelmi Mohd. Yusof, 20, dia dan dua rakannya kini berhutang hampir RM60 juta selepas duit pelanggan yang menempah telefon pintar iPhone lesap dilarikan sindiket.

Friday, 21 April 2017

Dua polis terdesak samun buruh

TIGA suspek yang menyamun seorang buruh di sebuah hotel di Jalan Cemerlang, Kota Bharu dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mendapat perintah reman semalam.

KOTA BHARU – Dua anggota polis ma­sing-masing berpangkat koperal dan lans koperal serta seorang lelaki diberkas selepas menyamun seorang buruh yang bermalam di sebuah hotel di Jalan Sri Cemerlang di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang berusia 23 tahun telah disamun oleh ketiga-tiga suspek yang melarikan wang tunai berjumlah RM2,000 termasuk sebuah telefon bimbit.

Ketua Cawangan Khas Kelantan, Asisten Komisioner Abdul Basir Ahmad berkata, anggota polis dari Balai Polis Badang di sini yang berusia 30-an bersama seorang lagi suspek telah menyerbu ke bilik mangsa dan membawanya ke suatu lokasi tidak jauh dari hotel.

“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup hotel tersebut, kedua-dua anggota polis berkenaan telah membuat pemeriksaan di hotel tersebut sebelum membawa mangsa keluar dari bilik.

“Selepas mereka menyamun, suspek telah menghantar semula mangsa ke hotel terbabit. Mangsa yang bingung selain tidak puas hati dengan tindakan polis tersebut telah membuat laporan polis sehari selepas kejadian berkenaan,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kelantan antara Senior Asisten Komisioner, Ahmad Fadzillah Moha­med dengan Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar.

Fadzillah ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dengan menyandang jawatan yang sama berkuat kuasa 3 Mei depan.

Wednesday, 19 April 2017

Bunuh rakan sebab masak tak sedap

DI rumah pekerja ladang inilah Davadas mati dibunuh oleh rakannya di Ladang Belenggu Hall, Mentakab, Temerloh kelmarin.

KUANTAN – Hanya disebabkan makanan yang dimasak tidak sedap, seorang pekerja ladang berusia 59 tahun mati dibelasah menggunakan kayu dan parang oleh rakannya dalam kejadian pukul 10 malam di Ladang Belenggu Hall, Mentakab, Temerloh kelmarin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Ko­misioner Zundin Mahmood ber­kata, mang­sa, R. Davadas dijum­pai mati tertiarap di hadapan pintu bilik rumah sewa de­ngan kesan lu­ka parah pada kepala, dada dan tangan kiri.

“Hasil siasatan awal mendapati, pembunuhan itu berlaku apabila mangsa dan rakan serumahnya bergaduh selepas suspek tidak berpuas hati dengan makanan yang dimasak oleh mangsa.

“Kerana tidak berpuas hati, suspek yang berusia 35 tahun kemudian menumbuk, menendang dan memukul mangsa dengan kayu dan parang,” kata beliau.

Jenis makanan yang dimasak mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Tuesday, 18 April 2017

Ramai pelajar berhibur di Danok

Pesta Songkran antara aktiviti yang menjadi daya tarikan pelancong dari Malaysia.


BUKIT KAYU HITAM – Trend remaja termasuk penuntut instituti pengajian tinggi membawa dadah sintetik dipercayai untuk berhibur di pekan kecil Danok, Selatan Thailand semakin membimbangkan.

Komander Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah, Abdul Latif Abd. Rahman berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan pihaknya mendapati 99 peratus kes rampasan berkaitan dadah membabitkan remaja seawal usia 19 hingga 30 tahun.

“Kebanyakan mereka ditahan ketika cuba membawa masuk dadah sintetik seperti syabu dan eramin 5 ke Danok dan kita percaya ia digunakan oleh mereka sendiri atau dibekalkan untuk rakan-rakan mereka yang me­nunggu di sana,” katanya di sini semalam.

Monday, 17 April 2017

Lelaki cuba bakar imam kerana solat lama

Gambar hiasan.


Nablus: Seorang lelaki ditangkap selepas dia cuba membakar imam sebuah masjid di barat bandar ini.

Agensi berita Palestin, Maan, memetik satu sumber keselamatan sebagai berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengawal di sebuah bangunan di bandar Nablus membawa sebotol minyak tanah dan melemparkannya pada imam yang masih berada di dalam masjid itu selepas solat Subuh dan menyalakan api dalam usaha membakar imam itu.

Kebakaran berlaku tetapi berjaya dipadamkan oleh beberapa jemaah.

Imam itu terselamat manakala masjid itu mengalami kerosakan kecil.

Polis yang tiba di tempat kejadian menahan lelaki berusia 50 tahun itu, menurut laporan berkenaan.

Menurut sumber, lelaki itu sebelum ini sudah berulang kali memberi amaran kepada imam berkenaan supaya tidak memanjangkan solat.

“Imam itu tidak mengendahkan amaran supaya memendekkan solat. Ia menyebabkan lelaki itu berang dan mendorong dia bertindak membakar imam terbabit,” kata sumber itu.

Lelaki itu bukan sahaja berdepan tuduhan cuba membunuh, tetapi juga akan didakwa atas tuduhan menyerang tempat ibadah, membakar dan menyebabkan kerosakan. - Agensi

Sunday, 16 April 2017

Filipina umum rancangan wujudkan unit tentera beragama Islam

Anggota tentera Filipina daripada Unit Kor Marin sedang menjalani latihan.

MANILA - Tentera Filipina mengumumkan rancangan mewujudkan unit tempur khas yang dianggotai penduduk Islam hari ini sebagai sebahagian daripada usaha menangani pemberontakan dalam kalangan penduduk minoriti itu.

Jurucakap tentera, Kolonel Edgard Arevalo berkata, di bawah arahan baharu itu, sebanyak lima peratus daripada semua permohonan menyertai pasukan tentera akan diperuntukkan kepada penduduk Islam dengan matlamat mewujudkan satu briged atau bahagian untuk dikerah ke wilayah bergolak di selatan Filipina.

“Kebanyakan saudara beragama Islam menganggap pengambilan hampir 100 peratus tentera Kristian dalam komuniti mereka sebelum ini sebagai satu pencerobohan,” katanya yang memberitahu bahawa umat Islam lebih sedar terhadap sensitiviti agama atau budaya.

Kenyataan Arevalo itu bagaimanapun tidak memperincikan jumlah anggota beragama Islam dalam pasukan tentera Filipina ketika ini. - AFP

Saturday, 15 April 2017

Konflik Korea Utara cuma tunggu masa

MENTERI Luar China, Wang Yi bersama dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Marc Ayrault.
BEIJING: Konflik berhubung Korea Utara boleh tercetus pada bila-bila masa, kata Menteri Luar China, Wang Yi, ketika ketegangan semakin memuncak dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau memberi amaran, tiada pihak akan mencapai kemenangan jika berlaku perang. Amaran itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump berkata, 'masalah' Korea Utara 'akan diselesaikan', ketika spekulasi menyatakan negara terpencil itu bersiap sedia melancarkan ujian terbaru nuklear atau peluru berpandu. 

"Kebelakangan ini, ketegangan memuncak di AS dan Korea Selatan pada satu pihak, dan Korea Utara pada pihak satu lagi, dan berasakan konflik boleh tercetus pada bila-bila masa. "Jika perang meletus, semua pihak akan kalah dan tiada pemenang," kata Wang ketika sidang akhbar bersama dengan rakan senegaranya dari Perancis, Jean-Marc Ayrault. 

Wang berkata, mana-mana pihak yang memulakan konflik 'perlu bertanggungjawab dan membayar harga mahal.' Penasihat dasar luar Rumah Putih, semalam berkata AS menilai tindakan ketenteraan sebagai reaksi kepada program senjata Korea Utara, berkata satu lagi ujian provokatif adalah mengenai persoalan 'bila', bukannya 'jika.' "Dialog adalah satu-satunya pilihan yang ada," kata Wang. - AFP

Friday, 14 April 2017

Kos rawat penagih RM778 juta

RAWATAN bagi memulihkan penagih dadah yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan sebanyak RM778.5 juta sejak 2011.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung sebanyak RM778.5 juta untuk kos merawat penagih dadah di 57 buah pusat pemulihan seluruh negara dari tahun 2011 hingga 2016.

Pegawai Perhubungan Awam Agensi Antidadah Kebangsaan, Salehuddin Klewan berkata, kos yang tinggi itu adalah di­sebabkan perbelanjaan rawatan yang semakin me­ningkat setiap tahun.

“Pada 2016, perbelanjaan untuk memulihkan penagih dadah di semua pusat pemulihan mencecah sehingga RM144 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM134.7 juta.

“Perbelanjaan itu me­rangkumi gaji pegawai dan kakitangan, bayaran utiliti, sewaan bangunan serta peralatan, pembe­lian bahan makanan termasuk kos minuman serta bayaran perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Wednesday, 12 April 2017

'Ciuman' maut

Lelaki tersebut kelihatan bersahaja walaupun ular tedung mematuk pelipisnya ketika sesi bergambar.

Jodhpur, India: Seorang lelaki maut selepas dipatuk seekor ular tedung ketika mahu bergambar dengan haiwan berbisa berkenaan dalam satu pertunjukan di sini baru-baru ini.

Lebih malang lagi, lelaki itu tidak sedar dia dipatuk ular berkenaan dan meninggal dunia tidak sampai sejam selepas itu.

Satu rakaman video menunjukkan lelaki itu berdiri dan seorang penjinak ular meletakkan seekor ular berwarna hitam di leher mangsa untuk bergambar.

Secara tiba-tiba ular itu terus mematuk bahagian pelipis mangsa.

Lelaki itu tidak sedar dia dipatuk haiwan berbisa berkenaan dan terus bergambar di hadapan kamera.

Tuesday, 11 April 2017

Budaya Melayu semakin terhakis

Tan Sri Dr. Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim melahirkan kebimbangan me­ngenai keruntuhan budaya dalam kala­ngan masyarakat Melayu hari ini yang tidak lagi mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Katanya, keruntuhan budaya hidup orang Melayu zaman ini boleh dilihat melalui pelbagai aspek sama ada dari segi bahasa, gaya hidup, kepedulian terhadap alam sekitar, sikap hormat-menghormati, adat resam sehinggalah kepentingan menjaga kebersihan.

Beliau menjelaskan, gejala tandas kotor di surau, masjid dan sekolah merupakan salah satu cerminan keruntuhan budaya kerana ia melambangkan gaya hidup rakyat Malaysia terutamanya orang Me­layu dalam mengendalikan kehidupan mereka.

“Saya bersama rakan-rakan telah membuat tinjauan di lebih 100 buah surau, masjid dan sekolah di sekitar Selangor, Ne­geri Sembilan dan Pahang. Rata-rata tandas di premis itu kotor dan tidak diurus dengan baik.

“Tandas yang kotor mencerminkan keruntuhan budaya. Budaya bukan setakat joget, ronggeng ataupun muzik tetapi merangkumi cara kita mengendalikan kehidupan seharian dengan penuh nilai-nilai murni.

“Pada zaman ini, anak-anak kita tidak dibenarkan untuk mencuci tandas kononnya ia melanggar hak asasi manusia. Itu panda­ngan siapa? Sedangkan di Jepun orang di sana mengasuh anak dengan cara tersebut,” katanya dalam satu wawancara khas dengan Kosmo! menjelang Kongres Budaya 2017 di pejabatnya di Plaza Sentral di sini semalam.

Monday, 10 April 2017

'Suntik' sebelum samun

YUSOF Sarmidi, menunjukkan tempat suntikan cecair misteri di badan isterinya Zabaidah Aspan, sebelum warga tua itu 'khayal' dan barang kemasnya dilarikan dua wanita menyamar jururawat di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, Johor.

Batu Pahat: Seorang suri rumah kerugian RM25,000 selepas barang kemasnya dilarikan dua wanita yang menyamar sebagai jururawat dalam kejadian di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku apabila penjenayah didakwa menyuntik mangsa dengan cecair misteri yang menyebabkan dia khayal.

Kejadian berkenaan tular di Facebook (FB) sejak semalam selepas seorang anak mangsa berkongsi kisah menimpa Zabaidah Aspan, 63.

Ketika kejadian, suami mangsa, Yusof Sarmidi, 68, keluar menunaikan solat Jumaat dan mangsa mendakwa didatangi dua wanita yang mengaku sebagai jururawat dari Klinik Kesihatan Batu Pahat yang ingin membuat pemeriksaan berikutan penyakit kencing manis dihadapinya.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana seorang wanita itu memakai pakaian seragam jururawat dan mendakwa pemeriksaan kesihatan ke rumah dibuat bagi kemudahan warga emas supaya tidak perlu beratur atau menunggu lama.

"Selepas menerima suntikan, saya dalam keadaan separuh sedar melihat mereka meninggalkan rumah.

"Walau dalam keadaan separuh sedar, saya masih sempat memeriksa laci kerana curiga dan mendapati semua barang kemas sudah lesap termasuk seutas rantai emas bersama loket, tiga utas gelang tangan dan tiga cincin emas bernilai RM25,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Trump hilang sabar

USS Carl Vinson belayar di Laut Filipina dengan diiringi lima kapal perang AS.

WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kelmarin menghantar sebuah armada gempur diketuai kapal induk berkuasa nuklear, USS Carl Vinson ke Semenanjung Korea bagi menangani ancaman program senjata nuklear Korea Utara.

“Markas Pasifik AS mengerah­kan Pasukan Gempur USS Carl Vinson belayar ke utara (Semenanjung Korea) sebagai langkah untuk mengekalkan kesiapsiagaan di Pasifik Barat.

“Ancaman nombor satu di rantau berkenaan masih lagi Korea Utara berikutan program ujian peluru berpandu dan cita-cita Pyongyang untuk membangunkan senjata nuklear secara melulu, tidak bertanggungjawab dan mengancam keamanan,” kata jurucakap Markas Pasifik AS, Komander Dave Benham.

Menurutnya, pasukan gempur diketuai kapal induk USS Carl Vinson itu sepatutnya belayar ke Australia dari Singapura tetapi mengubah haluan ke Semenanjung Korea.

USS Carl Vinson yang ditauliahkan pada 1983 boleh membawa sebanyak 90 jet pejuang dan helikopter bersama 6,062 kru.

Kerahan tersebut dijangka me­ningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan dibuat selepas serangan peluru berpandu AS di Syria. Serangan itu turut dilihat sebagai amaran terhadap Korea Utara yang terus berdegil untuk meneruskan program senjata nuklearnya.

Kerahan armada kapal induk itu juga dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam akan mengambil tindakan unilateral ke atas Korea Utara.

Ancaman beliau tidak lagi dipandang remeh selepas Washington melancarkan 60 peluru berpandu ke Syria pada Khamis lalu.

Korea Utara mengutuk sera­ngan misil AS itu sebagai kekerasan yang tidak boleh diterima. Tindakan Washington, kata Pyongyang, merupakan justifikasi untuk Korea Utara meneruskan program nuklearnya sebagai senjata pencegahan.

Pyongyang sedang membina peluru berpandu jarak jauh keupayaan nuklear yang mampu mengenai ta­nah besar AS. Korea Utara juga me­ngadakan lima ujian nuklear setakat ini, dua daripadanya tahun lalu.

Sementara itu, pakar-pakar ber­kata, rejim Kim Jong-un sedang me­lakukan persiapan untuk mengadakan ujian nuklear keenam, malah kata mereka, Korea Utara akan dapat membina senjata nuklear yang mampu sampai ke AS dalam masa tidak sampai dua tahun.

Pada Rabu lepas, Korea Utara membedil sebuah peluru berpandu balistik jarak sederhana ke Laut Jepun menjelang sidang kemuncak antara Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping.

Pada Februari lalu pula, Pyongyang melancarkan empat peluru berpandu balistik serentak dari pantai timur negara itu. Tiga misil tersebut mendarat dekat perairan Jepun.

Pyongyang menyifatkan pelancaran itu sebagai latihan untuk menyerang pangkalan AS di rantau Asia. – AFP

Sunday, 9 April 2017

Rusia-AS di ambang peperangan



MOSCOW – Rusia memberi amaran bahawa tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tentera udara Syria bakal membawa kesan buruk terhadap hubungan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev berkata, serangan itu meletakkan AS kini hanya berada ‘selangkah’ sahaja lagi untuk berperang dengan tentera negaranya.

“Bertentangan dengan ke­nyataan mengenai pepera­ngan bersama menentang musuh terbesar, Islamic State (IS), pentadbiran Presiden AS, Donald Trump telah membuktikan negara itu akan menentang pemerintah sah Syria.

“Sebagai cara untuk melaksanakan matlamat itu, AS kini bertindak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan tanpa kebenaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan melancarkan serangan itu,” katanya menerusi akaun Facebooknya kelmarin.

Saturday, 8 April 2017

7 tips nak tengok perangai sebenar seseorang

7 tips nak tengok perangai sebenar.


1. Tengok dia cerita benda baik atau buruk.

Kalau dia selalu puji dan cerita baik pasal orang, dia ok. Tapi kalau dia sentiasa kutuk parent dia, guru dia atau members dia, ketahuilah bahawa dia jugak kutuk anda belakang anda.

2. Tengok ATTITUDE dia waktu marah.

Kalau nak tengok akhlak seseorang calon tu, tengoklah perangai dia waktu dia marah. Cara dia layan orang yang dia benci.

Jangan tengok cara dia layan best friend, famili atau orang yang dia sayang. Hitler pun layan elok orang yang dia sayang.

Nabi s.a.w pesan bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang paling pandai bertumbuk tapi orang yang paling penyabar.

Kalau dia nampak alim pun, kalau bahasanya kesat dan hina bila dia marah, hati-hatilah.

Sebabnya dia akan guna bahasa jenis tu ke atas anda bila dia marah kat anda.

3. Tanya orang yang musafir dengannya.

Zaman Saidina Umar dulu, seorang laki ni nak jadi penjamin. Saidina Umar tanya bakal penjamin tu samada dia kenal betul orang yang nak dijamin. Rupanya, tak kenal sangat.

Saidina Umar tanya samada pernah travel bersama pasal ini membolehkan kita kenal dia. Pun tak pernah.

Rupanya, bakal penjamin tu sanggup jadi penjamin pasal orang yang nak dijaminnya tu nampak alim dan kaki masjid.

Saidina Umar suruh orang tu balik dan jangan jadi penjamin pasal sebenarnya orang tu tak kenal pun orang yang nak dijaminnya.

4. Pastikan orang tu takde ciri munafik.

Orang munafik ni bila dia janji kat orang, dia khianat.

Bila bercakap, dia menipu.

Bila bergaduh, dia berlebih-lebihan.

5. Tengok cara dia handle power.

Tengok perangai dan kelaku dia bila dia diberi kuasa. Kalau dia sibuk jatuhkan orang, buat duit atau aniaya orang, itulah wajah sebenar dia.

6. Tengok circle kawan-kawan dia.

Tengok siapa members dia. Dia luang masa dengan siapa. Kalau kawan dia jenis yang positif dan konstruktif, dia pun gitu. Kalau kawan kawan dia jenis perasan maksum dan mengamuk bila ditegur, dia pun gitu.

7. Bahasa.

Tengok jenis bahasa dan ayat yang dipilih. Kalau dia jenis yang lembut, positif dan friendly, kita akan nampak daripada bahasa dia.

Kita rasa seronok berbual dengan dia. Kalau dia jenis bahasa teruk, orang sanggup tukar jalan dari bertembung dengan dia.

Satu tips last...

Jangan sesekali judge seseorang based on kecantikan fizikal dia semata-mata.

The truth is, everyone is beautiful. It just takes the right person to see it.

Kredit: Yazid Zul

Friday, 7 April 2017

Tan Sri merayu tidak direman

Balakrishnan (kanan) diiringi anggota SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman semalam.

PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden MIC, Tan Sri S. Ba­lakrishnan merayu kepada Mahkamah Majistret di sini semalam supaya tidak dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM13 juta bagi kerja-kerja pemulihan Sungai Melaka yang dilaksanakan Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) kerana menghidap sakit jantung.

Rayuan sama turut dibuat oleh seorang jurutera dan bekas pengarah JPS yang mendakwa mereka turut menghidap penyakit jantung dan darah tinggi di hadapan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho.

Bagaimanapun, A. Akhi­ruddin menolak rayuan tersebut dan memutuskan enam individu yang dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit direman enam hari bermula semalam hingga 11 April ini.

Mereka tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga serta tangan bergari.

Balakrishnan, 60, pernah memegang jawatan Naib Presiden MIC pada 2013 hingga 2015 ditahan di rumahnya di Johor kelmarin.

Empat lagi yang ditahan bagi membantu siasatan kes sama ialah tiga jurutera JPS dan seorang bekas pengarah bahagian projek khas jabatan tersebut.

Thursday, 6 April 2017

Pengetua diarah bela diri salah guna kuasa

Norliza ketika hadir ke mahkamah hari ini.

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Klang membela diri terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan barangan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65, tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap tertuduh Norliza Mat Radzi, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Norliza didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengetua sekolah tersebut dengan memilih syarikat miliknya sendiri iaitu Orean Collection, sebagai pembekal bagi bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091.65 pada 12, 17 dan 19 Februari 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa turut menggunakan jawatannya dengan memilih Orean Collection membabitkan pembekalan tuala kecil untuk program Selamatkan Bumi Kita berjumlah RM500 pada 30 Mac lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan yang sama membabitkan pembekalan lima pakej hamper, set alat tulis serta medal bagi program perkhemahan berjumlah RM4,000 pada 30 Mac dan 13 April lalu.

Kesemua kesalahan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Tajuddin Abdul Razak.

Mahkamah menetapkan 8 Mei ini bagi tertuduh membela diri terhadap tiga pertuduhan berkenaan.

Wednesday, 5 April 2017

KSN cadang agensi kerajaan tidak sedia makanan berlebihan ketika anjur aktiviti

Tan Sri Ali Hamsa


PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mencadangkan agar agensi kerajaan tidak lagi menyediakan makanan secara berlebihan kepada kakitangan ketika menganjurkan sebarang aktiviti, majlis atau program.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat berikutan terdapat banyak pembaziran makanan berlaku terutama ketika hidangan ala bufet disajikan pada majlis yang dianjurkan.

"Saya ingat kalau majlis itu diadakan selepas waktu makan tengah hari, beri mereka air mineral sudah memadai tetapi elok juga sekiranya ada makanan yang disediakan.

"Jika ingin menyediakan makanan juga, elakkan hidangan ala bufet supaya tidak membazir. Mungkin boleh sediakan nasi campur (yang sudah dipek),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen MySaveFood untuk Penjawat Awam di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Jelasnya, rakyat Malaysia membazir kira-kira 15,000 tan makanan sehari di mana 3,000 tan daripada jumlah itu adalah terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan.

8 universiti terima swaakreditasi MQA

Idris Jusoh (tujuh dari kanan) bergambar bersama penerima sijil swaakreditasi MQA pada Majlis Pengumuman Swaakreditasi dan Penyampaian Sijil Swaakreditasi MQA di Dewan Zaba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya, baru-baru ini.


Putrajaya: Sebanyak lapan universiti telah mendapat Perakuan Status Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hari ini.

Universiti-universiti itu termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), International Medical University (IMU) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Status swaakreditasi (akreditasi sendiri) itu turut diberikan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, status swaakreditasi merupakan satu perakuan dikeluarkan oleh MQA ke atas universiti yang terbukti mempunyai sistem jaminan kualiti dalaman kukuh dan mantap.

Katanya, perkara itu dipastikan melalui audit institusi yang dilaksanakan oleh MQA.

“Dengan status swaakreditasi ini, senat universiti terbabit diberikan kepercayaan oleh MQA untuk mengakreditasi sendiri program pengajian melalui sistem kualiti dalaman mereka berpandukan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan oleh MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi dari semasa ke semasa.

“Ini termasuk pengakreditan ke atas sejumlah 1,050 program yang pada ketika ini dipantau secara langsung oleh MQA dan begitu juga program yang ditawarkan oleh universiti terbabit pada masa akan datang.

“Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk program profesional yang masih perlu melalui akreditasi badan profesional,” katanya.

Mengulas lanjut Idris berkata, melalui pelaksanaan audit yang sama, MQA juga mengekalkan Perakuan Status Swaakreditasi ke atas empat universiti awam dan empat kampus cawangan universiti luar negara yang diberikan pada 2010.

Institusi-institusi berkenaan kata beliau adalah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Monash University Malaysia, University of Nottingham Malaysia, Curtin University Sarawak dan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak.

“Perakuan status swaakreditasi ini menepati dasar Kementerian Pendidikan Tinggi yang berusaha memberi lebih ruang autonomi akademik berdasarkan rekod prestasi yang memberangsangkan sesebuah universiti,” katanya.

Idris berkata, MQA juga menyasarkan lebih 10 universiti lain akan menerima perakuan berkenaan tahun depan jika berjaya menepati kriteria yang ditetapkan.

Katanya, antara kriteria yang ditetapkan ialah universiti itu ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis serta beroperasi sekurang-kurangnya 10 tahun sebagai universiti.

Tuesday, 4 April 2017

Ibu bapa degil bakal dipenjara

WAN AHMAD NAJMUDDIN memperkatakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak, Muaz Tumilan sambil diperhatikan Musalma (tengah) ketika melawat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU
– Ibu bapa yang masih berdegil membiarkan anak-anak mereka keluar berbasikal sehingga larut malam bakal dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, tiada lagi amaran sekiranya polis mendapati ibu bapa kanak-kanak terutama yang pernah ditahan sebelum ini masih tidak ambil peduli mengenai perbuatan zuriat mereka.

Kesalahan membiarkan anak-anak tanpa pengawasan membolehkan ibu bapa didakwa mengikut Seksyen 33 akta tersebut yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 jika didapati bersalah.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan drastik dengan meng­hukum ibu bapa. Bagaimanapun sekiranya perkara ini berleluasa, saya akan arahkan semua ketua polis daerah untuk mengambil tindakan.

“Tindakan yang akan diambil termasuk menuduh mereka (ibu bapa) di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Kita ada peruntukan itu dan ia akan diambil sekiranya kesalahan ibu bapa berulang dengan membiarkan anak mereka keluar sehingga larut malam,” katanya.

Monday, 3 April 2017

Pakai tangkal pun tidak selamat

Sulaiman (dua dari kiri) menunjukkan ‘baju kebal’ yang dirampas daripada seorang lelaki yang aktif melakukan kegiatan ragut dan samun pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Ke­giatan jahat seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis semasa melakukan jenayah ragut dan samun selain memakai baju tangkal kononnya sebagai pelindung daripada ditangkap terbongkar apabila dia diberkas di rumahnya di Flat Larkin Idaman di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 4 pagi itu, selain lelaki berusia 32 tahun itu ditahan, polis turut merampas ‘baju kebal’ yang berupa vest hitam dengan terdapat cop tulisan emas jawi yang dipercayai menjadi tangkalnya berserta pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk menya­mar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ber­kata, kegiatan lelaki itu terbongkar selepas polis menahan tiga wanita yang dipercayai orang yang melupuskan bukti dengan menjual barangan samun dan ragut dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini.

Sunday, 2 April 2017

GST: Kastam belum puas hati

T. Subromaniam

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih belum berpuas hati dengan tahap pematuhan syarikat terhadap cukai barang dan perkhidmatan (GST) biarpun selepas dua tahun cukai tersebut dilaksanakan di negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T. Subromaniam berkata, sejak cukai tersebut dilaksanakan, pihaknya menganggarkan sebanyak 70,000 syarikat terlibat dalam perbuatan 'kurang ikrar' (under declaration).

“Bagi menangani isu ini, JKDM melaksanakan Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) yang bercirikan program pendidikan agar peniaga dapat mematuhi undang-undang GST secara sukarela. 

“Hanya peniaga yang dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang GST selepas lawatan mesra dilakukan sahaja yang akan diambil tindakan tegas termasuk dibawa ke mahkamah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Subromaniam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahun kedua pelaksanaan GST hari ini selepas diperkenalkan pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan per­khidmatan (SST).

Mengulas lebih lanjut, Subromaniam berharap peniaga mengambil peluang yang ditawarkan JKDM untuk mengikrar semula pengikraran yang tidak betul.

Katanya, pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan kemungkinan remisi atau tidak mengenakan penalti tambahan jika mereka secara sukarela membayar cukai yang 'kurang ikrar'.

Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertindak melaksanakan GST demi masa depan negara.

Subromaniam berkata, sekiranya langkah tersebut telah diambil sejak 30 tahun lalu, negara tidak perlu lagi risau memikirkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ekoran turun naik harga minyak mentah.

Saturday, 1 April 2017

Kerajaan tidak tutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang



KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan menutup Kedutaan Malaysia di Korea Utara meskipun selepas kes pembunuhan warga negara itu, Kim Jong-nam telah berakhir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut berharap tindakan yang sama akan diambil oleh Korea Utara.

"Kerajaan tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara, maka status itu kekal," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.