Saturday 27 August 2016

Yakin rakyat Pahang tetap sokong Najib


CAMERON HIGHLANDS - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yakin rakyat Pahang akan tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap perdana menteri.

Beliau berkata penduduk Pahang bijak menilai dan menghargai sebarang usaha kerajaan dan perdana menteri untuk membantu dan membangunkan rakyat seperti mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan sebagainya.

"Saya yakin rakyat Pahang akan terus menyokong dan mempercayai Umno serta Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan pimpinan parti itu sahajalah yang mampu memberi masa depan lebih berjaya kepada mereka," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian persidangan perwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands di sini, hari ini yang disempurnakan Najib.

Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang yakin Umno Bahagian Cameron Highlands dibawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mampu merampas semula kerusi Dun Tanah Rata daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sementara itu, Umno Bahagian Kuala Pilah hari ini turut melafazkan ikrar taat setia kepada Najib dan pucuk pimpinan parti.

Ketuanya Datuk Ismail Lasim berkata hanya kesetiaan dan kesepaduan oleh seluruh anggota parti dapat mempertahankan institusi politik dan presiden parti.

"Pemimpin silih berganti dan semua pemimpin negara mempunyai cabaran dan ujiannya yang tersendiri begitu juga presiden kita (Najib).

"Pun begitu, yakinlah bahawa Umno Kuala Pilah tidak akan terjejas dengan apa juga isu yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu," katanya dalam ucapan alu-aluan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini yang dirasmikan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin dalam ucapannya menggesa ahli Umno terus merapatkan barisan bagi memastikan Umno terus kuat dan menjadi parti pilihan rakyat. –Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...