Noorashima mencuci enjin motosikal di bengkel bapanya di Pekan Dong. |
Raub: “Sejak kecil lagi memang hobi saya membaiki motosikal. Ayah (Harun Mat Sah, 50) yang mengusahakan bengkel membaiki motosikal di pekan Dong sejak 20 tahun lalu juga menjadi pencetus kepada minat saya.
“Minyak hitam, spanar, palam pencucuh dan karburator sudah tidak asing bagi saya. Setiap hari, saya memegang dan membeleknya tanpa rasa jijik malah bangga dapat membantu ayah,” katanya Noorashima Harun, 21 yang tinggal di Taman Lechar, dekat sini.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis itu, selepas menamatkan persekolahan tiga tahun lalu, dia terus membantu ayah mengusahakan bengkel motosikal tanpa sekelumit perasaan malu dan sesal.
Katanya, walaupun setiap hari tangannya kotor terkena minyak, dia puas dan berbangga dapat membantu ayah dan menjadi antara segelintir wanita di Pahang mempunyai kemahiran membaiki pelbagai jenis motosikal.
“Keadaan kesihatan ayah yang tidak menentu disebabkan lelah menambahkan lagi kesungguhan saya untuk membantunya di bengkel.
“Ilmu dan kemahiran belajar dalam jurusan teknologi automotif selama dua tahun di SMV Sultan Haji Ahmad Shah saya manfaatkan sepenuhnya.
“Minat bersama kemahiran yang ada menjadi kelebihan kepada saya untuk terus berkhidmat sebagai ‘pomen’ membaiki motosikal.
“Malah, saya amat berbangga dapat membantu ayah menyara keluarga walaupun pendapatan tidak seberapa, ” kata ketika ditemui di bengkel motosikal ayahnya di Taman Lechar dekat sini, baru-baru ini.
Noorashima atau lebih terkenal dengan panggilan Adik dalam keluarga dan penduduk kampung berkata, pada peringkat awal, ramai yang berpendapat tugas berkenaan tidak sesuai dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.
Namun menurutnya, disebabkan terlalu minat dengan kerja berkenaan, dia tidak pernah mempedulikan cakap-cakap orag kerana yang penting hatinya puas dapat membantu ayah membaiki motosikal.
Menurutnya, cabaran utama pada awal pembabitannya sebagai pomen motosikal adalah apabila terdapat pelanggan yang seolah-olah tidak yakin dengan kebolehannya membaiki kenderaan mereka walaupun hanya untuk menukar minyak hitam.
“Membaiki motosikal empat lejang lebih mudah berbanding motosikal dua lejang terutama membabitkan skuter. Ketelitian, tumpuan dan kesabaran perlu ada ketika membaiki bagi memastikan punca rosak dapat dikesan.
“Selain membaiki kerosakan kecil dan menukar peralatan, saya juga melakukan kerja mencuci karburator dan membaiki enjin beberapa jenis motosikal seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki,” katanya yang turut mengusahakan warung burger berhampiran rumahnya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia kini sudah membuka kedai alat ganti motosikal di pekan Dong dengan nama “Atan Motor Garage” sebagai kesinambungan bengkel ayahnya yang kini beroperasi di Taman Lechar.
“Saya ingin buktikan kepada masyarakat jantina bukan penghalang kepadanya berjaya dalam bidang perniagaan membabitkan motosikal,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...