Saturday, 13 August 2016

PROTON lancar Persona versi baharu 23 Ogos ini

SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd (PROTON) akan melancarkan Proton Persona serba baharu pada 23 Ogos ini, kereta sedan yang bakal memberikan impak positif kepada prestasi pengeluar kereta nasional. 

Ditawarkan dengan lima varian, Persona yang didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik itu dijangka dibuka untuk tempahan mulai Isnin ini. Sarat dengan penambahbaikan berbanding model terdahulu, Persona serba baharu dijangka mendapat sambutan hangat dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap jenama Proton. 

Menggunakan enjin 1.6 Liter VVT untuk semua varian, Persona yang menerima pengiktirafan 5-bintang daripada ASEAN NCAP, mampu memecut 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 10.9 saat, prestasi lebih baik berbanding 12 saat untuk model terdahulu. 

‎Dari segi keselamatan, ia didatangkan dengan enam beg udara bagi varian Premium dan dua beg udara bagi varian lain, serta ciri lain termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Brek (BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD). 

Lebih menarik, ruang but juga dipertingkatkan dengan kapasiti 510 liter berbanding 430 liter bagi model terdahulu, selain penjimatan bahan api yang mengagumkan iaitu kurang 13 peratus bagi transmisi manual dan 10 peratus (automatik) berbanding Persona yang dilancarkan pada 2007.

Tidak hanya sistem keselamatan dipertingkatkan, PROTON juga menerapkan inovasi terkininya untuk struktur badan dengan menggunakan teknologi Hot Press Forming, yang mana kekuatannya lima kali ganda dari besi biasa. 

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Persona baharu menawarkan produk yang bakal mencetuskan kebangkitan pengeluar kereta nasional itu. "Apa yang penting, walaupun sarat dengan pelbagai fungsi dan keselamatan terkini, kami dapat memberikan bayangan bahawa model segmen B ini amat kompetitif," katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung harga jualan Persona serba baharu itu. 

Beliau berkata demikian ketika majlis preview dan pandu uji media bagi model Persona di sini, hari ini. Kebanyakan media tempatan menjangkakan Persona serba baharu bakal dijual bermula daripada harga di bawah RM50,000. 

Info: Proton Persona

* Generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2007 mengantikan Wira 
* Model itu digantikan dengan Preve pada 2012

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...