Friday 26 August 2016

JPJ saman anggota sendiri guna telefon bimbit semasa memandu


KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyaman seorang anggotanya yang didapati menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan jabatan itu.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, JPJ memberitahu, saman itu dikeluarkan sendiri oleh Pengarah Penguat Kuasa jabatan itu selepas gambar anggota berkenaan memandu sambil menggunakan telefon bimbit tersebar di laman media sosial sejak semalam.

“Siasatan mengenai perkara itu dengan segera dibuat dan jabatan mengesahkan kebenaran maklumat tersebut.

“Anggota itu juga sudah ditukarkan ke bahagian lain serta dirujuk kepada lembaga tatatertib kerana mencemarkan imej jabatan untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan terbabit, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam kes kesalahan undang-undang jalan raya.

“Jabatan sentiasa mengingatkan anggotanya supaya sentiasa menghormati undang-undang jalan raya dan menjadi contoh kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...