SHAH ALAM - Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil menegaskan, Piagam (Perlembagaan) Madinah adalah bersesuaian untuk menjadi model dalam membina gagasan bangsa Malaysia di negara kita.
Siddiq berkata, Piagam Madinah menyebut tentang konsep ummah (bangsa) yang meliputi semua aspek kehidupan, yang mana ia boleh digunapakai untuk mengaplikasikan dalam konteks membentuk kerangka tersebut.
"Apakah boleh kita membina bangsa Malaysia dengan menggunakan acuan Piagam Madinah, menurut saya boleh, jadi jangan sampai ada anggapan Islam tidak punya konsep tentang pembinaan bangsa, saya akan sangat marah orang berkata begitu.
"Perlu diingat pembinaan bangsa Malaysia boleh menggunakan acuan Piagam Madinah melalui konsep ummah (bangsa).
"Iaitu yang didasari dengan persamaan hak dan tanggungjawab, mereka mendapat apa yang kita dapat dan mereka menanggung apa yang kita tanggung jadi prinsip kesaksamaan ini boleh diguna pakai," katanya ketika menjadi panel dalam Wacana Kenegaraan yang membincangkan mengenai Pembinaan Bangsa Malaysia: Aspirasi dan Realiti di Dewan Gemilang, Hotel Carlton, Shah Alam semalam.
Oleh itu, katanya pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Piagam Madinah sudah tidak sesuai digunakan pada zaman moden ini, adalah pandangan yang tidak berasas.
"Ada orang kata jangan pakai Piagam Madinah. Itu pandangan yang terlalu mudah, bagi saya yang harus kita cari dalam Piagam ini bukan rincian tetapi prinsip-prinsip untuk membina bangsa, kerana sudah ada garis panduan dalam Piagam tersebut," katanya.
Katanya lagi, dalam Piagam Madinah tiada paksaan untuk mereka meleburkan identiti mereka, dimana konsep ini dilihat sesuai dengan suasana Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
"Tiada peruntukkan Piagam Madinah untuk membuang identiti mereka, tetapi mereka semua itu berada dalam bingkai kesatuan prinsip-prinsip kesamaan dan hak dalam Madinah.
"Kerana itu kita tidak perlu memaksa orang masuk Melayu, tidak perlu memaksa mereka menukar jati dirinya, jadi orang Cina boleh meneruskan budaya hidupnya,India juga begitu, Melayu pun begitu, cuma ia disatukan dengan satu bingkai komitmen kebersamaan," katanya.
Katanya, dalam konteks pembinaan Bangsa Malaysia, kita boleh meniru Piagam Madinah dengan menggunakan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
"Untuk menjayakan impian Bangsa Malaysia, yang mana saya yakin Islam harus mampu menyumbangkan ke arah gagasan ini.
"Kita menggunakan Piagam Madinah, untuk itu kita perlukan kejujuran membuang dan meninggalkan unsur-unsur yang mempertajamkan perkauman atau melukai kaum-kaum lain, termasuk yang kita warisi daripada Datuk nenek kita dahulu," katanya.
Piagam Madinah telah dibuat oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...