Wednesday 3 August 2016

Amanah tuntut Dun Terengganu dibubar segera

Ahmad Razif Abd Rahman
SHAH ALAM – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menggesa Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman agar membubarkan Dun Terengganu segera.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, ia berikutan pentadbiran kerajaan beliau yang lemah dan tidak stabil ketika ini.

“Gesaan ini selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu dan menteri besar sewajarnya bertindak cepat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Lebih memburukkan keadaan apabila istana sendiri seolah-olah tidak mengiktiraf beliau apabila menarik semula gelaran kebesaran yang telah dikurniakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

April lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama.

Kataya lagi, pihaknya bersedia berunding dengan semua pihak untuk memastikan Umno tidak kembali sebagai pemerintah di negeri tersebut.

“Walau keadaan mungkin sukar buat pembangkang memandangkan Pas sendiri seolah-olah tiada keazaman untuk menggantikan Umno sebagai kerajaan, kami sedia berunding dengan kelompok-kelompok anak muda,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...