Sunday, 7 August 2016

Kepala botak akibat tekanan peperiksaan


“BETULLAH kata orang, tekanan yang melampau boleh menyebabkan rambut menjadi gugur sehingga botak dan kini ia berlaku kepada saya,” ujar Katie-Anna Moore, seorang pelajar dari Universiti Bournemouth, Britain itu dengan nada sedih.

Gadis berusia 20 tahun itu kehilangan semua rambutnya dan kini botak selepas disahkan menghidap satu keadaan pelik yang dipanggil Alopecia.

Tiada lagi rambut tebal berwarna perang di kepalanya selepas rambut Moore gugur dengan banyaknya setiap hari selama dua bulan.

“Siapa sangka rambut saya yang dahulunya lebat dan sering dicemburui rakan-rakan itu gugur semuanya hanya kerana saya terlalu tertekan.

“Di universiti, saya sering mengikat rambut saya dengan ikatan ekor kuda dan setiap kali berjalan, ia akan beralun ke kiri dan kanan dan rakan-rakan amat cemburukan rambut saya yang sihat itu.

“Kini yang tinggal hanyalah kulit kepala dan saya amat sedih,” dedah Moore tentang masalah keguguran yang dialaminya.

Terus botak

Doktor mengesahkan Moore menghidap satu keadaan yang dipanggil Alopecia iaitu satu masalah keguguran rambut yang teruk.

Ia boleh menyerang sesiapa sahaja sama ada lelaki, wanita mahu pun kanak-kanak.

Menurut pakar, ia terjadi akibat tekanan yang melampau selain masalah pada sistem imunisasi badan.

Gadis cantik itu berkata, mimpi ngerinya bermula sekitar bulan Mac yang lalu apabila dia menyedari bahawa rambutnya gugur dengan amat banyak.

“Semasa saya sedang mandi dan meletakkan syampu di kepala, sejumlah rambut begitu banyak melekat pada tangan saya dan ia benar-benar membuatkan saya terkejut.

“Selepas itu, saya mula sedar rambut saya sering gugur semasa saya tidur dan katil saya dipenuhi rambut setiap hari,” ujarnya.

Begitu pun, gadis itu masih bertenang dan menyangka keguguran rambut itu adalah normal memandangkan dia gemar meluruskan rambut dengan pelurus rambut elektronik.

Oleh itu, Moore enggan berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan kepastian tentang masalah keguguran rambut tersebut.

Beberapa minggu kemudian, Moore yang risaukan peperiksaan musim panasnya yang bakal menjelang itu mula mengulang kaji pelajaran di rumah bapanya, Danny, 45.

Selepas dua hari, bapanya mula perasan yang Moore telah kehilangan banyak rambut.

“Bapa menegur saya dan berkata mempunyai ‘tompokan botak’ yang sangat banyak di kepala. Saya terus menangis selepas sedar saya telah kehilangan hampir 70 peratus rambut asal saya.

“Saya benar-benar hilang keyakinan diri dan tidak mahu keluar rumah langsung selama sebulan kerana terlalu malu,” ujarnya.

Alopecia Arata

Moore mula berjumpa dengan doktor dan selepas menjalani pemeriksaan, dia disahkan menghidap Alopecia Arata yang merupakan satu penyakit autoimun.

Penyakit itu berlaku apabila sistem imunisasi badan terjejas dan mengurangkan kebolehannya untuk melawan penyakit.

Doktor mengesahkan rambutnya akan terus gugur sehingga dia botak kerana penyakit tersebut dan menyarankan agar dia memotong rambut atau membotakkan kepalanya terus.

Moore mengambil keputusan untuk membotakkan kepalanya dan menunggu sehingga rambut baharu tumbuh.

“Saya kelihatan seperti seorang pak cik tua walhal saya hanyalah seorang gadis muda. Saya akui saya tertekan, namun rakan-rakan dan ibu bapa saya sering meyakinkan saya bahawa saya masih cantik dan akan kelihatan cantik semula seperti dahulu.

“Saya hanya perlu terus bersabar,” ujarnya menutup bicara. 

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...