Sunday, 14 August 2016

Gesa kerajaan tambah baik skim perjawatan


PUTRAJAYA - Persatuan Pegawai Kanan Kastam memohon kepada kerajaan untuk menambah baik skim perjawatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaras dengan kepentingan fungsinya sebagai jabatan pengutip hasil negara.

Presidennya, Mohd Noor Yusoff berkata permohonan tersebut adalah sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengiktiraf JKDM sebagai wira ekonomi negara melalui pelaksanaan tahun pertama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Inilah masanya kecemerlangan JKDM diiktiraf oleh kerajaan dengan menambah baik skim jabatan ini," katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Pegawai Kanan Kastam di sini hari ini.

Antara perkara yang diminta persatuan itu untuk ditambah baik ialah tambahan kepada kekuatan logistik, sistem pengauditan dan kadar bayaran kerja lebih masa.

"Sebagai sesebuah organisasi yang mengutip hasil yang banyak kepada negara kita perlukan logistik yang mencukupi kerana kenderaan JKDM kali terakhir dibeli adalah pada 2006," katanya.

Mohd Noor berkata, tanpa sistem pengauditan yang baik, jabatan itu tidak akan dapat melakukan pengauditan GST ke atas semua syarikat secara cekap dan menyeluruh.

Mengenai kadar bayaran kerja lebih masa yang ditetapkan kepada pegawai kastam gred WK41 dan ke atas yang dihadkan RM600 sebulan katanya telah memberi kesukaran kepada JKDM membuat pembahagian tugas.

"Had RM600 bayaran kerja lebih masa dalam 10 hari bekerja sudah habis kerana JKDM terlibat dengan aktiviti penguatkuasaan, oleh itu kita minta agar kadar bayaran ini dikaji semula," katanya.

Katanya, JKDM juga menyambut baik cadangan perdana menteri sebelum ini yang mahu agar jabatan itu dikorporatkan sebagai langkah untuk meningkatkan kecemerlangan penguatkuasaan dan pungutan hasil negara.

"Warga kastam sudah pun buat kajian (berkenaan cadangan pengkorporatan) dan selesaikan beberapa isu dan kini telah sedia untuk dikorporatkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar kerajaan melantik Ketua Pengarah Kastam dari kalangan pegawai kastam sendiri.

 "Sudah sampai masanya JKDM diketuai mereka dalam kalangan kastam sendiri, kerana hanya kastam yang faham budaya kerja dan teknikaliti jabatan ini lebih-lebih lagi apabila sistem baharu yang akan dilancar Januari tahun depan, sistem U-Customs adalah sangat teknikal," katanya.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad difahamkan  akan menamatkan perkhidmatannya pada September ini.

Khazali sebelum ini merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) di JKDM. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...