Wednesday, 3 August 2016

SPRM siasat 22 kakitangan agensi kerajaan

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri kini sedang menjalankan siasatan terhadap 22 kakitangan daripada dua agensi kerajaan berhubung tuntutan elaun perjalanan dan lebih masa disyaki palsu membabitkan jumlah keseluruhan mencecah RM146,000.

Pengarah SPRM negeri Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap berkata, seramai 14 pegawai dan kakitangan dari sebuah jabatan di bandar raya ini disiasat selepas dipercayai memalsukan tuntutan elaun lebih masa manakala lapan kakitangan jabatan lain membabitkan tuntutan elaun lebih masa disyaki palsu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan masa dan lokasi tangkapan semua kakitangan kerajaan terbabit.

"Siasatan mendapati, kes elaun perjalanan membabitkan tuntutan bil hotel yang dibeli dengan harga antara RM10 hingga RM20 yang kemudiannya digunakan dalam tuntutan perjalanan pegawai dan kakitangan itu menggunakan kadar kelayakan masing-masing.

"Jumlah tuntutan membabitkan nilai hampir mencecah RM20,000," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu dalam satu lagi kes, Shaharom berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung tuntutan elaun lebih masa disyaki telah dilakukan lapan kakitangan sebuah jabatan membabitkan jumlah tuntutan sekitar RM126,000.

"Kakitangan ini membuat tuntutan lebih masa disyaki palsu berkaitan tugas 'on call' pada tahun ini sedangkan tugas itu tidak dilakukan.

"Penjawat awam berkenaan dipercayai meniru tandatangan beberapa pegawai atasan mereka dan memasuk rekod lama dalam tuntutan tugas elaun lebih masa mereka," katanya.

Menurut Shaharom, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...