Wednesday 3 August 2016

Wabak antraks kembali selepas 75 tahun

Akibat penyakit Antraks.

MOSCOW – Seorang budak lelaki berumur 12 tahun mati akibat wabak antraks di pedalaman utara Rusia, manakala berpuluh-puluh pesakit dirawat di hospital kerana disyaki dijangkiti bakteria itu, kata gabenor wilayah berkenaan kelmarin.

Wilayah Yamalo-Nenetsky, sekitar 2,000 kilometer ke timur laut Moscow dikuarantin selama seminggu selepas kuman maut itu menjangkiti sekurang-kurangnya sembilan penternak rusa kutub dan ternakan mereka.

“Saya diberitahu tentang kematian seorang budak lelaki di hospital kami. Saya tiada kata-kata untuk meluahkan perasaan ini,” kata Gabenor Dmitry Kobylkin.

Jangkitan tersebut merupakan wabak antraks pertama di wilayah berpenduduk tidak ramai itu sejak tahun 1941. Pihak berkuasa berkata, wabak itu dipercayai berpunca daripada bangkai se­ekor rusa kutub yang terdedah selepas lapisan ais mencair akibat gelombang haba di wilayah itu.

“Jangkitan ini menunjukkan kuman ini licik. Ia kembali selepas 75 tahun dan mengambil nyawa seorang kanak-kanak,” kata Kobylkin.

Menurutnya, sejumlah 72 orang dengan 41 daripada mereka kanak-kanak, dimasukkan ke hospital kerana disyaki dijangkiti antraks di bandar Salekhard.

Setakat ini, seramai lima orang didapati positif penyakit itu termasuk mangsa yang meninggal dunia, kata pihak berkuasa tempatan kelmarin.

“Sejumlah 2,300 ekor rusa kutub telah dihapuskan sejak wabak antraks menular di Yamalo-Ne­netsky yang merupakan habitat kepada 250,000 haiwan itu,” kata pihak berkuasa.

Jangkitan antraks itu dikenal pasti pada 25 Jun lalu selepas banyak rusa kutub mati.

Antraks tidak merebak secara langsung daripada manusia atau haiwan tetapi menular melalui spora. Manusia boleh dijangkiti antraks daripada menyentuh haiwan yang dijangkiti atau memakan da­gingnya. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...