Wednesday, 31 August 2016

Pelajar lebih pandai jika miliki guru menarik


CARSON CITY, Nevada – Guru yang memiliki rupa paras menarik akan menghasilkan keputusan peperiksaan lebih baik, demikian menurut satu kajian baharu seperti laporan akhbar The Mirror kelmarin.

Pasukan penyelidik Universiti Nevada di Amerika Syarikat yang melakukan kajian itu berkata, keputusan peperiksaan meningkat jika guru yang mengajar memiliki rupa paras menawan.

Dalam kajian itu, pasukan saintis berkenaan me­minta seramai 131 pelajar kolej mendengar satu kuliah audio.

Semasa mendengar kuliah sama, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberikan gambar guru yang menawan dan kumpulan lain mempunyai gambar guru berwajah kurang menarik.

Mereka kemudian mengambil satu ujian. Kumpulan pelajar yang menyangka guru mereka mempunyai rupa paras menawan mendapat keputusan lebih baik berbanding kumpulan sebaliknya.

“Kajian mendapati rupa paras (guru) memainkan peranan dalam pembelajaran yang sebelum ini terlepas daripada perhatian,” kata seorang saintis berkenaan, Profesor Murray Miller.

Para pelajar berkenaan katanya, mendapati guru yang menarik menjadikan mereka lebih bermotivasi dan mudah memahami apa yang disampaikan. – Agensi

Tuesday, 30 August 2016

Penduduk Johor paling berisiko

Rakyat Malaysia digesa tidak mengunjungi Singapura ekoran peningkatan wabak Zika yang setakat ini mencatat 41 kes di republik itu.
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia disaran mengelak daripada mengunjungi Si­ngapura ketika ini ekoran negara jiran itu sedang dilanda wabak Zika dengan 41 orang sudah di­sahkan dijangkiti virus tersebut.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Salam Senawang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad (gambar kecil), bukan sahaja rakyat Malaysia dinasihatkan tidak pergi ke negara tersebut, malah penduduk republik itu juga tidak digalakkan memasuki negara ini secara terlalu kerap.

Beliau berkata, Zika yang me­ngancam banyak negara di dunia kini tidak mustahil akan melanda Malaysia kerana virus berbahaya itu sangat mudah berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes, hubungan seks, ibu mengandung dan juga pemindahan darah.

“Seseorang selalunya tidak sedar dia telah digigit nyamuk pembawa virus tersebut kerana proses pengeraman hanya akan berlaku dalam tempoh seminggu selepas dia dijangkiti.

“Ini bermakna rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara lain dan pulang semula ke negara ini dalam tempoh seminggu akan terlepas daripada saringan virus Zika di pintu masuk negara seterusnya menyebabkan penyakit itu mampu menular di negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Monday, 29 August 2016

Ikan miliki hidung khinzir

MCCABE dan rakannya bergambar dengan ikan pelik yang ditemui di Sungai Fraser baru-baru ini.
BRITISH COLUMBIA, Kanada – Seorang remaja di sini terkejut besar selepas menemui seekor ikan aneh sepanjang tiga meter yang memiliki hidung seperti khinzir baru-baru ini.

Nick McCabe, 19, berjaya menangkap ikan seberat 294 kilogram (kg) itu ketika memancing di Sungai Fraser dalam wilayah British Columbia.

“Saya mengambil masa selama dua jam untuk menarik ikan itu naik ke darat. Namun, saya terkejut apabila melihat hidungnya seperti khinzir,” katanya.

Difahamkan tiada sesiapa yang mengetahui asal-usul ikan itu, namun ia dipercayai berusia lebih 80 tahun ekoran saiznya yang terlalu besar dan panjang.

Sementara itu, seorang kakitangan daripada syarikat pelancongan memancing, Jeff Grimolfon menyifatkan ikan berkenaan memiliki hidung seperti khinzir kerana pernah mengalami kecederaan kira-kira 40 tahun lalu. – Agensi


Sunday, 28 August 2016

Dr Khir Toyo dilapor kahwin lagi


KUALA LUMPUR - Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dilaporkan melangsungkan perkahwinan kedua bersama pasangannya, seorang penjawat awam, Christine Zanitrah Abdullah.

Difahamkan Dr Mohamad Khir, 51, dan pasangannya Christine Zanitrah atau nama asalnya Christine Tan, 39, yang memeluk agama Islam pada April lepas, melangsungkan perkahwinan mereka di satu majlis dalam negara.

"Perkahwinan kedua Dr Mohamad Khir itu berlangsung di dalam negara, Christine Zanitrah merupakan penjawat awam di Putrajaya," kata sumber terdekat dengan Dr Mohamad Khir kepada Bernama.

Sumber tersebut turut mengirim beberapa keping gambar Christine Zanitrah pada majlis itu, yang memakai busana pengantin rekaan pereka terkenal Datuk Radzuan Radziwill.

Perkahwinan pertama Dr Mohamad Khir bersama Zaharah Kechik pada 1990 dan mereka dikurniakan tiga orang anak. - Bernama

Saturday, 27 August 2016

Kemalangan maut: Penduduk berang bakar lori

Waris mangsa yang sebak ketika hadir di lokasi kejadian.
SUNGAI BULOH - Sebuah lori dibakar penduduk yang berang selepas berlaku kemalangan maut di Puncak Alam Saujana Utama di sini, hari ini.

Dalam insiden itu, pembonceng motosikal tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Dr Abdul Aziz Awang berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam.

"Sejurus itu, pegawai penyiasat menuju ke lokasi bersama pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Shah Alam dan dapati ia berlaku di kawasan tapak pembinaan Puncak Bestari 2.

"Difahamkan, penduduk kampung hadir dan membakar lori berkenaan serta memecahkan cermin lori yang berada kawasan berhampiran," katanya.

Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan.

Yakin rakyat Pahang tetap sokong Najib


CAMERON HIGHLANDS - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yakin rakyat Pahang akan tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap perdana menteri.

Beliau berkata penduduk Pahang bijak menilai dan menghargai sebarang usaha kerajaan dan perdana menteri untuk membantu dan membangunkan rakyat seperti mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan sebagainya.

"Saya yakin rakyat Pahang akan terus menyokong dan mempercayai Umno serta Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan pimpinan parti itu sahajalah yang mampu memberi masa depan lebih berjaya kepada mereka," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian persidangan perwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands di sini, hari ini yang disempurnakan Najib.

Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang yakin Umno Bahagian Cameron Highlands dibawah pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mampu merampas semula kerusi Dun Tanah Rata daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Sementara itu, Umno Bahagian Kuala Pilah hari ini turut melafazkan ikrar taat setia kepada Najib dan pucuk pimpinan parti.

Ketuanya Datuk Ismail Lasim berkata hanya kesetiaan dan kesepaduan oleh seluruh anggota parti dapat mempertahankan institusi politik dan presiden parti.

"Pemimpin silih berganti dan semua pemimpin negara mempunyai cabaran dan ujiannya yang tersendiri begitu juga presiden kita (Najib).

"Pun begitu, yakinlah bahawa Umno Kuala Pilah tidak akan terjejas dengan apa juga isu yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu," katanya dalam ucapan alu-aluan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini yang dirasmikan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin dalam ucapannya menggesa ahli Umno terus merapatkan barisan bagi memastikan Umno terus kuat dan menjadi parti pilihan rakyat. –Bernama

Lelaki mengaku ‘Nabi Isa’ ugut bunuh Najib

PLAT  Kia Sportage yang dipandu lelaki mengaku ‘Nabi Isa’
ketika ditahan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa dirinya ‘Nabi Isa’ ketika ditahan polis trafik selepas kenderaan dipandunya didapati menggunakan plat tertera perkataan pelik di Jalan Tun Razak di sini kelmarin.

Lelaki berusia 43 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sportage bersama isteri serta seorang anak perempuannya ditahan pada pukul 4.30 petang selepas pihak polis mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang di naiki mereka memaparkan ‘WWE 3621 Kerajaan Empayar Langkasuka Nusantara Tuanku Raja Merongmahawangsa II Sultan Kedah Asal Imam Almahdi’.

Satu sumber berkata, suspek bertindak mengeluarkan kata-kata provokasi terhadap anggota polis sebaik mereka ditahan.

Katanya, ketika pihak polis cuba mendapatkan penjelasan berhubung nombor pendaftaran yang tidak mengikut undang-undang itu, lelaki yang berasal dari Kedah itu bertindak melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Ketua Polis Negara serta Raja-Raja Melayu selain mendakwa dirinya Nabi Isa.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nazri Hussain ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan suspek lelaki berkenaan.

Katanya, kes itu kini diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan isteri dan anak suspek yang berada di dalam kenderaan itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Friday, 26 August 2016

JPJ saman anggota sendiri guna telefon bimbit semasa memandu


KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyaman seorang anggotanya yang didapati menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan jabatan itu.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, JPJ memberitahu, saman itu dikeluarkan sendiri oleh Pengarah Penguat Kuasa jabatan itu selepas gambar anggota berkenaan memandu sambil menggunakan telefon bimbit tersebar di laman media sosial sejak semalam.

“Siasatan mengenai perkara itu dengan segera dibuat dan jabatan mengesahkan kebenaran maklumat tersebut.

“Anggota itu juga sudah ditukarkan ke bahagian lain serta dirujuk kepada lembaga tatatertib kerana mencemarkan imej jabatan untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan terbabit, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam kes kesalahan undang-undang jalan raya.

“Jabatan sentiasa mengingatkan anggotanya supaya sentiasa menghormati undang-undang jalan raya dan menjadi contoh kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Thursday, 25 August 2016

FORMULA UNTUK HINDAR MASALAH


Assalamualaikum sahabat sekalian. Kan seronok kalau hidup ni tak de masalah. Nak tu dapat nak ni pun dapat.

Tapi hakikatnya tak macam tu wahai sahabatku. Realiti dalam kehidupan ni memang tak boleh lari dari masalah.

MASALAH

Bagi orang yang positif, dengan masalah boleh mencipta peluang baru untuk dia. Tapi orang yang negatif akan menganggap masalah ni tetap sebagai penghalang dan bebanan.

Sahabat yang di cintai, kalau Allah sayangkan kita, Allah pasti akan bagi ujian. Insan yang paling banyak diuji dalam dunia ni adalah Baginda Rasulullah SAW. 

Macam pelik pulakkan, Baginda adalah kekasih Allah tapi Baginda lah yang paling banyak menerima ujian yang berat-berat; kematian ibu bapa masa kecil, dituduh gila, dilemparkan batu, hendak dibunuh & disihir.

FORMULA UNTUK HINDAR MASALAH

Saya nak bagi 1 formula kat saudara macam mana nak elak dari masalah. Dengar betul-betul ni. Ni pesan tok guru saya.

"Kalau anda nak cari tempat yang tak de masalah, ini bermakna anda sedang mencari masalah yang amat berat. Sebab anda tak akan jumpa tempat tu."

Wahai sahabatku, masalah, ujian & dugaan semua tu adalah untuk nak naikkan kedudukan kita di sisi Allah. Senyumlah selalu :)

Ust. Abu Hanifa
Guru Bahasa Arab
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, (UTHM)

Pak Din tempur komunis seorang diri


USIA Muhammad Nordin Tuah yang kini mencecah 76 tahun digolongkan sebagai warga emas. Kadang-kadang, individu yang menjangkau usia itu tidak mampu lagi mengingati banyak peristiwa lama.

Namun, detik-detik cemas berdepan pengganas komunis sering menerjah ingatan Muhammad Nordin. Peristiwa itu terpahat kukuh dalam mindanya setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara.

“Peluru datang bersimpang siur. Apa yang saya ingat, lima melekat di tubuh dan berbelas-belas lagi mencalar serta mengoyakkan kulit badan saya. Masa itu, saya hanya fikir Allah, matilah aku lepas ini,” kata bekas Sarjan Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi hari Jumaat, 8 Mac 1979 itu menjadi kenangan sepanjang hidupnya. Ini kerana, satu daripada peluru tembakan itu masih kekal terbenam pada paha kirinya.

Dia yang mesra dipanggil Pak Din lebih rela membiarkan peluru itu daripada menjalani pembedahan yang berisiko untuk lumpuh.

Menceritakan kembali detik berdepan serangan komunis itu, Pak Din yang ketika itu berusia 39 tahun ditugaskan berkonvoi tiga buah kenderaan dari Pekan Kroh (kini Pengkalan Hulu, Perak) menuju ke sebuah markas tentera berhampiran sempadan Malaysia-Thailand antara Air Panas dengan Betong untuk menghantar bekalan makanan.

Jarak Pekan Kroh dengan lokasi kejadian dianggarkan lima kilometer.

Getir

Malangnya, di satu selekoh berhampiran satu kawasan tanaman getah di Batu 135 Jalan Kroh-Betong, kenderaan yang dinaiki Pak Din bersama empat lagi anggota telah diserang hendap oleh pengganas komunis dari arah sisi kenderaan.

Sewaktu itu, konvoi tiga kenderaan tersebut terpaksa melalui jalan sempit yang kanan dan kirinya adalah berlereng tinggi. Hanya kereta perisai yang dinaiki Pak Din telah memasuki kawasan pengganas manakala dua buah kenderaan lagi terselamat kerana berada kira-kira 100 meter ke belakang.

Bagaimanapun, sudah terlewat untuk memberi amaran kepada mereka yang lain.

“Saya lihat dua rakan saya di belakang terbujur kaku terkena tembakan di kepala dan badan manakala pemandu parah terkena tembakan pada perut serta paha. Seorang lagi cedera teruk. Kemudiannya, saya terdengar sayup mereka (pengganas) bersorak kemenangan,” katanya.

Walaupun rasa geram, dia menunggu sehingga pihak musuh kehabisan peluru sebelum bertindak melompat keluar dari kenderaan itu bagi menuntut bela.

“Bila senjata automatik musuh berhenti (mungkin kerana kehabisan peluru), saya terus melompat keluar dan berlindung di sebalik kereta untuk berbalas tembakan menggunakan senjata Colt M16. Masa itu, rakan saya yang cedera parah berlari ke arah saya untuk membantu tetapi saya arahkan dia meniarap dan cari perlindungan,” katanya.

Pak Din berkata, 15 minit waktu getir itu bagaikan suatu masa yang dirasakan terlalu lama.

“Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan pengganas komunis mahu berhenti menembak ke arah kenderaan kami. Apabila saya mula melepaskan tembakan, selang beberapa minit kemudian saya terdengar sayup-sayup satu perkataan chow chow chow menyuruh pengganas lain berundur.

“Waktu itu, saya juga terbayang wajah isteri yang sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat di rumah emaknya,” kata Pak Din.

Tindakan nekad berbalas tembakan itu secara tidak langsung mengejutkan pengganas komunis dan memaksa mereka meninggalkan tempat kejadian.

Sebaik berasa yakin komunis masuk semula ke hutan, Pak Din yang mengalami kecederaan menggagahkan diri berjalan kira-kira 100 meter ke arah kereta perisai kedua untuk meminta bantuan. Kereta perisai kedua itu berhenti di belakang selepas mendengar tembakan.

Sebuah helikopter tiba selepas 45 minit daripada kejadian tembakan itu bagi menerbangkan Pak Din dan dua lagi yang cedera ke Hospital Pulau Pinang.

Dia terlantar beberapa hari di hospital bagi mengeluarkan peluru dan sehingga kini masih terdapat sebutir peluru terbenam pada pahanya.

“Saya meminta doktor mengeluarkan peluru ini tetapi mereka memberitahu mengenai risiko yang boleh mengakibatkan saya lumpuh kerana paha merupakan kawasan urat dan pembuluh darah,” katanya.

Menurutnya, sewaktu terlantar di hospital, dia meminta pegawai atasan agar tidak memberitahu isterinya, Fatimah Abd Rahman yang ketika itu berusia 36 tahun bagi mengelakkan kerisauan, namun bahagian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ipoh telah memberitahunya.

Terharu

“Isteri saya yang baru 10 hari berpantang sanggup datang bersama emaknya ke Pulau Pinang dengan menyewa teksi. Dia menangis apabila nampak saya. Saya terharu kerana dia dan keluarga sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melawat saya,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Kejadian serangan komunis di Kroh itu mendapat liputan media dan terpampang di beberapa dada akhbar tempatan apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh yang juga Pengarah Gerakan Negeri (MKN) melakukan lawatan ke daerah kecil itu sehari selepas kejadian tersebut.

Pak Din menyertai askar pada Oktober 1960 dan bersara pada Oktober 1984 sebagai Pegawai Waran II di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaya (UM).

“Tidak lama lepas kejadian itu, saya bertugas sebagai jurulatih pegawai kadet Maktab Tentera Sungai Besi dan dua tahun sebelum pencen, saya menjadi jurulatih Pegawai Kadet Palapes UM,” katanya yang kini mempunyai 10 cucu.

Dalam tempoh perkhidmatan selama 24 tahun, dia pernah ditugaskan ke Congo untuk menjalani misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Januari 1962 hingga April 1963.

Selepas pencen, beliau bersama isterinya berpindah ke Teluk Intan dan membina rumah di atas tanah milik keluarganya berhampiran Taman Padang Tembak, Perak. – Bernama

Wednesday, 24 August 2016

Pengsan selepas gaduh mulut 8 jam

Dua wanita pengsan selepas bertengkar selama 8 jam.
SHAANXI - CHINA. Akibat bertengkar selama 8 jam tanpa henti bawah cuaca panas terik, dua orang wanita pengsan di tepi jalan di bandar Angkang.

Menurut laporan Dailymail, kedua-dua wanita separuh abad tersebut bertengkar tentang hutang bermula pada jam 2 petang waktu tempatan.

Seorang saksi memberitahu mulut salah seorang wanita terbabit berbuih.

Kedua-dua wanita berkenaan juga dilaporkan tidak menjamah sebarang makanan atau meminum air sepanjang pertengkaran tersebut.

Mangsa telah dibawa ke hospital dan dirawat namun keadaan terkini mangsa gagal diketahui.

Tuesday, 23 August 2016

Proton Persona 2016 secara rasminya dilancarkan – 1.6L VVT, empat varian, harga bermula RM47k


Akhirnya, sedan yang dipertaruhkan dalam menentukan jatuh-bangun Proton selepas ini – Proton Persona 2016 – dilancarkan secara rasmi sebentar tadi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan diiringi CEO Proton Datuk Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed.

Proton Persona sedan yang baharu ini diasaskan dari model hatchback Proton Iriz. Ia ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard Manual, Standard CVT, Executive CVT dan Premium CVT.

Untuk membezakan Persona dengan Iriz, ia dilengkapi dengan sepasang lampu dan gril hadapan yang lebih tirus. ‘Proton Wing’ pada Persona menampilkan palang krom yang lebih nipis dan menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah. Bampar Persona pula menempatkan gril bahagian bawah yang besar berbentuk trapezoid, dan diapit lampu kabus bulat dengan perumah dengan rekaan seperti disikat ketas. Berbanding Iriz, Persona tidak menerima lampu hadapan projektor (hanya mentol biasa) dan lampu nyalaan siang.

Lampu belakang Persona juga hanya menerima sepasang lampu dengan mentol biasa (berbanding lampu belakang LED pada Iriz), dimana kedua-duanya dihubungkan dengan bar krom yang tebal. Kemasan hitam dipadankan pada bahagian bawah bampar belakang, yang turut menempatkan sepasang reflektor serta lampu kabus tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah.


Pada bahagian sisi, tiang-C Persona ditarik panjang kebelakang (menjadikan bahagian butnya kelihatan pendek), mewujudkan garisan badan berasingan diatas ruang roda belakang serta mengekalkan rekaan ‘bilah sisi’ dari Iriz. Kesemua varian diberikan roda aloi berdimeter 15-inci yang sama corak serta tayar yang sama saiz, tetapi berbeza kemasan serta jenis tayar (kemasan kelabu untuk dan varian standard, kemasan perak untuk varian Executive keatas. Manakala varian standard dan Executive diberikan tayar Silverstone Kruizer dan varian Premium diberikan tayar Goodyear Assurance).

Persona hanya hadir dengan enjin 1.6 liter VVT petrol – untuk memisahkan segmentasinya dengan Saga (Saga selepas ini hanya akan hadir dengan enjin 1.3 liter). Dengan teknologi injap bervariasi (Variable Valve Timing atau VVT), penggunaan bahan api pada enjin ini didakwa mampu memberikan penjimatan sekitar 10% bagi versi transmisi automatik dan 13% bagi versi transmisi manual (dengan purata kelajuan pemanduan 90 km/j), jika dibandingkan dengan Persona generasi terdahulu yang dilengkapi enjin 1.6 liter Campro IAFM.

Enjin yang digunakan secara mekanikalnya sama dengan enjin 1.6 liter pada Proton Iriz berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Angka kuasa mungkin kelihatan sama, tetapi menurut Proton ia telah ditala agar sesuai bagi penggunaan sebuah sedan. Begitu juga dengan kotak gear CVT, walaupun ia diambil terus dari Iriz, tetapi ia telah ditala semula agar lebih lancar dan linear ketika memecut.

Oleh itu, penggunaan bahan Persona 2016 dicatatkan pada 5.6 liter bagi setiap 100 km untuk versi manual dan 6.1 liter bagi setiap 100 km untuk transmisi CVT. Untuk prestasi Persona, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat.


Walaupun enjin dan transmisi pada Persona diambil dari Iriz, enjin VVT ini diletakkan pada perut Persona dengan menggunakan hanya tiga cagak (mounting) enjin berbanding Iriz yang menggunakan empat cagak. Ini dilakukan untuk mengurangkan getaran dan bunyi enjin dari dipindahkan ke badan, seterusnya memberikan kadar NVH yang lebih rendah dan kadar kebisingan dapat diturunkan lagi sebanyak 6 desibel.

Untuk kembali berhenti pada kedudukan pegun dari 100km/j pula, Persona baharu ini hanya mengambil jarak 41.4 meter berbanding 44.6 meter pada model generasi sebelum ini. Walaupun hanya meggunakan brek dram pada bahagian belakang berbanding brek cakera sebelum ini, jarak berkenaan dapat dipendekkan kerana ia dilengkapi pelbagai bantuan elektronik seperti ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA).

Persona baharu ini mungkin kelihatan kecil, tetapi but belakang sedan ini mencatatkan kapasiti 510 liter, berbanding generasi sebelum ini yang hanya mempunyai but berkapasiti 470 liter. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang yang lebih untuk mengangkat barang.


         

Untuk sistem keselamatan, kesemua varian Persona dilengkapi dengan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HHA), cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, selain dari ABS, EBD serta BA yang telah dinyatakan tadi. Varian Standard dan Executive dilengkapi dengan dua beg udara manakala varian Premium menerima enam beg udara. Dengan kesemua ciri ini, kesemua varian Proton Persona 2016 menerima penarafan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) lima bintang.

Bagi susunan dalam barisan model, varian Standard diletakkan pada kedudukan paling asas – tidak mempunyai lampu kabus dan cermin sisi berwarna hitam. Varian Executive pula dilengkapi unit pemain audio 2-DIN biasa, tiang-B diwarnakan dengan warna badan. Untuk varian Premium, ia didatangkan dengan upholsteri balutan kulit pada tempat duduk dan roda stereng, skrin sesentuh unit infotaimen dengan sistem navigasi, kamera undur serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Kesemua ciri yang ada pada varian Premium diterapkan terus pada varian Premium SE tetapi ditambah dengan kit badan penuh dua ton termasuk spoiler pada but belakang.

Secara ringkas dan lengkap, ciri-ciri dan harga untuk kesemua varian dirangkumkan seperti berikut:



Proton Persona 1.6 2016 Standard MT/CVT

Varian ini datang dengan dua versi transmisi yang boleh dipilih iaitu manual lima-kelajuan dan CVT automatik. 

Kedua-dua versi ini hadir dengan ciri-ciri yang sama.

Ciri-ciri

  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras)
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir depan dan belakang
  • Rim 15-inci kelabu (dengan tayar Silverstone Kruizer)
  • Cermin sisi dan pemegang pintu tidak dicat
  • Cermin sisi elektrik
  • Tiang-B warna badan
  • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
  • Unit audio 1DIN & Bluetooth
  • Tempat duduk fabrik
  • Tempat duduk boleh dinaikkan
  • Kapasiti but belakag 510 liter
  • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
  • 2 beg udara
  • ABS dengan EBD dan BA
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Hill-hold assist
  • Brek cakera depan, brek dram belakang
Harga

  • 1.6 Standard Manual – RM46,800.00
  • 1.6 Standard CVT Automatik – RM49,800.00
Proton Persona 2016 1.6 Executive CVT

Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

Ciri-ciri

  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik
  • Lampu kabus hadapan
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir depan dan belakang
  • Rim 15-inci perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
  • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
  • Cermin sisi elektrik
  • Tiang-B warna badan
  • Penghidup enjin kunci dengan kunci kawalan jauh
  • Unit audio 2-DIN & Bluetooth
  • Konsol tengah warna kelabu berkilat
  • Port mengecaj USB
  • 60:40 lipatan kerusi belakang
  • Trim pintu fabrik
  • Tempat duduk fabrik
  • Tempat duduk boleh dinaikkan
  • Kapasiti but belakag 510 liter
  • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
  • 2 beg udara
  • ABS dengan EBD dan BA
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Hill-hold assist
  • Brek cakera depan, brek dram belakang
  • Spoiler but belakang
Harga

  • 1.6 Executive CVT Automatik – RM55,800.00
Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

Varian ini hanya hadir dengan kotak gear CVT sahaja.

Ciri-ciri

  • Ecodrive Assist
  • Lampu utama reflektor halogen (tinggi boleh laras) dengan fungsi automatik dan follow me home
  • Lampu kabus hadapan
  • Lampu kabus belakang
  • Penderia parkir depan dan belakang
  • Rim 15 inci warna perak (dengan tayar Goodyear Assurance)
  • Cermin sisi dan pemegang pintu warna badan
  • Cermin sisi berkuasa dan boleh lipat
  • Tiang-B hitam
  • Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin
  • Unit skrin sesentuh (Android) dengan Bluetooth dan kamera undur
  • Konsol tengah warna kelabu berkilat
  • Port mengecaj USB
  • 60:40 lipatan kerusi belakang
  • Trim pintu kulit
  • Tempat duduk dan stereng kulit
  • Tempat duduk boleh dinaikkan
  • Kapasiti but belakag 510 liter
  • Cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak
  • 6 beg udara
  • ABS dengan EBD dan BA
  • Vehicle Stability Control (VSC)
  • Hill-hold assist
  • Brek cakera depan, brek dram belakang
  • Spoiler but belakang
Harga

  • 1.6 Premium CVT Automatik – RM59,800.00
Kesemua harga yang ditawarkan adalah harga atas jalan dengan insuran. Setiap pembelian Proton Persona turut dilindungi dengan waranti selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Istimewa untuk pembeli yang menempah Persona sebelum 30 September ini, Proton juga menawarkan servis percuma selama tiga tahun (termasuk alat ganti dan upah). Khas untuk pembeli varian Premium, anda boleh memadankan kit badan sepenuhnya dua ton terdiri dari lips hadapan, skirt sisi dan lips belakang dengan bayaran tambahan RM1,000.

Sumber: paultan.org

Trend wanita bujang Malaysia bela haiwan aneh

Kamarudin (kiri) dan Pengarah JKDM II Perlis, Raja Badri Shah Raja Azman menunjukkan sebahagian haiwan eksotik yang dirampas dalam Kereta Api Ekspres Bangkok-Padang Besar di Pejabat Kastam cawangan Padang Besar di Kangar semalam.
PADANG BESAR – Trend rakyat Malaysia terutama wanita bujang untuk memiliki haiwan eksotik sebagai peliharaan mendorong penyeludupan masuk pelbagai spesies haiwan dari Thailand untuk dijual kepada peminat-peminatnya di negara ini.

Semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas sebanyak 248 ekor haiwan eksotik pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM70,000 diseludup dengan menaiki Kereta Api Eks­pres Bangkok-Padang Besar untuk masuk ke negara ini.

Pengarahnya, Kamaruddin Jaafar berkata, di dalam beg yang dirampas itu mengandungi 181 ekor ular, tupai glider (enam), kura-kura (10), biawak dhab (28), iguana (dua), tupai (10) dan arnab (11).

Beliau berkata lagi, haiwan-haiwan itu dipercayai untuk dijual di dalam pasaran tempatan kerana ia kini mendapat permintaan tinggi sebagai binatang peliharaan masyarakat masa kini terutamanya di kalangan wanita bujang negara ini.

Monday, 22 August 2016

120kg emas untuk sulaman ayat al-Quran kelambu kaabah


WAKTU sejurus selepas Subuh setiap 9 Zulhijah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam terutama di kota penuh sejarah ini untuk menyaksikan upacara menukar Kiswah atau kelambu Kaabah baharu.

Menurut catatan sejarah upacara pemasangan Kiswah telah berlaku sejak sebelum kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW lagi.

Namun ramai yang tidak mengetahui bagaimana Kiswah dihasilkan.

Petugas media Lembaga Tabung Haji (TH) yang berkesempatan melawat Kilang Kiswah Kaabah yang dibina pada 1977 oleh Bapa Pembangunan Arab Saudi, Al Malek Abdul Aziz bin Abdul Rahman, dimaklumkan pekerja memerlukan masa hingga enam bulan untuk menyiapkan sebuah Kiswah.

Jelas sekali, keindahan dan kehalusan seni sulaman Kiswah dengan ayat-ayat suci al-Quran tiada tandingan.

Ia dihasilkan dengan menggunakan benang emas dan perak menerusi sentuhan kira-kira hampir 100 penyulam pakar.

Pengurus Besar kilang berkenaan, Muhammad Abdullah Bajawda dalam taklimatnya memaklumkan bagi menghasilkan sulaman berkenaan, pihaknya menggunakan emas seberat 120 kilogram dan 120 kilogram perak yang disadur pada benang khas yang kesemuanya diimport dari Jerman.

"Seberat 670 kilogram benang sutera yang diimport dari Itali pula digunakan

dalam menghasilkan pemidang Kiswah ini," katanya menerusi penterjemah.

Muhammad berkata tinggi Kiswah yang dihasilkan adalah lebih kurang 14 meter, ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian dua rukun (sudut) ialah 10.78 meter, ukuran lebar daripada bahagian Multazam ialah 12.50 meter.

"Manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Hajar Aswad ialah 10.50 meter manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Bab Ibrahim ialah 13 meter," katanya.

Penghasilan setiap Kiswah membabitkan kos kira-kira RM24 juta.

Beliau berkata proses penghasilan Kiswah bermula ketika mencelup warna dan dimasukkan ke dalam makmal bagi proses penegangan benang, daya tahan dan pergeseran benang-benang sutera bagi memastikan ia mengikut spesifikasi.

"Kemudian mesin berteknologi tinggi digunakan untuk menghasilkan pemidang kain Kiswah.

"Setelah siap, kain berkenaan akan dicop ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan 'silk screen' dengan dakwat warna putih dan kuning  termasuk lambang-lambang dan syiar yang berlainan ukuran," katanya.

Proses berikutnya paling penting, iaitu menyulam benang emas dan perak pada huruf-huruf yang sudah dibentuk.

Seterusnya petugas akan menjahit kepingan-kepingan kain untuk dijadikan Kiswah lengkap.

Kiswah yang telah siap dengan sempurna akan diserahkan kepada pihak pengurusan Masjidil Haram kira-kira sembilan hari sebelum dipasang menggantikan yang lama pada binaan Kaabah. - Bernama

Sunday, 21 August 2016

Tarikan gaji lumayan

KENANGAN bersama rakan sekerja.
Sekali pandang, gambar ini bagaikan dirakam di hospital Malaysia kerana jururawatnya berwajah Melayu - kecuali seorang mek salih.

Sebenarnya ini pemandangan biasa di Security Forces Hospital, Riyadh, Arab Saudi yang mengupah jururawat dari 31 negara untuk berkhidmat di hospital berkenaan.


Tawaran gaji lumayan, peluang mengembara di negara orang dan pada masa sama dapat meningkatkan kepakaran sebagai jururawat menjadi tarikan kepada mereka bertugas di Arab Saudi walaupun terpaksa berjauhan dengan orang tersayang.

Minggu ini penulis cuba membawa pembaca untuk menyelami kisah suka duka tiga jururawat dari Malaysia yang berkhidmat di negara Teluk itu.

Antarini Karimun


ANTARINI bersama rakan sekerja
ketika menyambut Aidilfitri di perantauan.
Semuanya bermula 10 tahun lalu apabila Antarini, 56, yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di Malaysia mendapat tawaran bekerja di Security Forces Hospital, Riyadh.

“Gaji yang ditawarkan agak lumayan iaitu lebih tiga kali ganda berbanding di tanah air.

“Selepas berbincang dengan suami serta mengambil kira kebaikan dan keburukan, akhirnya saya memutuskan ke Arab Saudi. Selain dapat meningkatkan ekonomi keluarga, saya juga berpeluang menambah ilmu dan kepakaran sebagai jururawat bilik bedah,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya, penyakit berada di mana saja tidak kira negara manakala rawatan yang disediakan pula tidak jauh berbeza.

“Justeru, tidaklah sesukar mana bertugas di sini kecuali peralatan yang digunakan lebih canggih dan jururawat perlu mahir dalam bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Menurutnya, gaji jururawat di Arab Saudi berdasarkan gred yang bermula daripada gred satu sebanyak RM14,000 sebulan, gred dua (RM10,000) dan gred tiga (RM8,000).

Katanya, semua jururawat dari Malaysia diberi gred satu atau dua, manakala gred tiga biasanya untuk jururawat dari Filipina, India dan beberapa negara lain.

Bagi yang bernasib baik, katanya, mereka boleh mendapat gred khas yang gajinya mencecah RM25,000 sebulan.

Antarini berkata, persediaan mental dan fizikal perlu dititikberatkan bagi menyesuaikan diri bertugas di negara orang.

“Antara cabaran dihadapi jururawat luar negara di Arab Saudi ialah terlalu rindukan kampung halaman atau kejutan budaya.

“Kami bekerja bersama jururawat dari 31 negara berlainan, jadi budaya serta ideologi masing-masing pasti berbeza,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan di Riyadh, Antarini berkongsi sebuah vila yang selesa bersama tiga jururawat lain dengan bil air dan elektrik percuma.

“Saya boleh menabung dan meminimumkan perbelanjaan kerana rumah sewa (vila) lengkap dengan perabot manakala pengangkutan untuk ke tempat kerja juga percuma.

“Pada waktu cuti atau masa lapang, saya dan rakan senegara akan menghabiskan masa menyediakan masakan Malaysia. Malah, kami beberapa kali berpeluang melakukan ibadah umrah bersama,” katanya.

Mengenai budaya masyarakat Arab, beliau berkata tidak semua mereka bersikap kasar seperti didakwa.

“Perangai dan tingkah laku kasar tidak mengira bangsa dan warna kulit. Ia berdasarkan individu, bukan keturunan. Saya boleh katakan majoriti orang Arab di sini bertimbang rasa,” katanya

Shahnaz Mohamed


SHAHNAZ mendukung pesakit kanak-kanak
 semasa bertugas di Riyadh.
Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Arab Saudi, Shahnaz, 34, cukup sayu kerana terlalu merindui dua anaknya yang masih kecil.

Apa tidaknya, ketika itu anak sulungnya baru berusia dua tahun, manakala anak kedua pula setahun. Ibu mana yang mampu berpisah dengan keluarga tersayang, namun dia menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.

Menurut bekas jururawat itu yang pernah bertugas selama lapan tahun di King Abdul Aziz Medical City, Riyadh, walaupun perit, beliau perlu menggagah diri selepas melihat peluang yang terbentang di depan mata.

Beliau mengakui tawaran gaji lumayan menjadi sebab ramai jururawat dari pelbagai negara mahu mendapat tempat bekerja di Arab Saudi.

“Walaupun jururawat di Arab Saudi dari pelbagai negara, jururawat Malaysia mendapat keutamaan kerana selain boleh berbahasa Inggeris, kami juga mahir dalam tugas kejururawatan,” katanya.

Beliau yang ditempatkan di Klinik Kardiologi (Jantung) Pediatrik berkata, beberapa tugas perlu digalas bukan saja membantu pesakit, malah melancarkan tugas doktor.

“Selain menjalankan ekokardiogram iaitu prosedur mengimbas jantung bayi bagi mengesan punca penyakit, saya juga ditugaskan memberi ubat pelali kepada pesakit.

“Disebabkan pesakit adalah bayi dan kanak-kanak, penjagaan mereka perlu lebih rapi. Setiap lima minit, jururawat perlu memantau pesakit,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman menguruskan pesakit yang majoriti berbangsa Arab, Shahnaz berkata, batasan komunikasi antara cabaran yang perlu dihadapi.

“Rata-rata orang Arab Saudi boleh bertutur bahasa Inggeris tapi ada sesetengah daripada mereka terutama dari pedalaman hanya boleh berbahasa Arab.

“Selepas beberapa tahun di sana, saya mula mahir berbahasa Arab kerana dibantu doktor dan jururawat lain yang boleh berbahasa Arab,” katanya.

Berpeluang menyelami dan mempelajari perbezaan budaya dan karakter dari pelbagai negara menjadikan Shahnaz lebih menghargai asal usulnya.

“Hanya saya seorang warga Malaysia bertugas di unit berkenaan. Rakan sekerja lain dari Australia, Arab Saudi, Filipina dan United Kingdom.

“Saya berkesempatan mempelajari budaya orang menyebabkan saya lebih kenal dan faham mengapa karakter dan tingkah laku mereka berbeza dengan kita, namun tidak pula saya terikut budaya mereka,” katanya.

Katanya, sesetengah orang Arab mungkin kasar, namun sifat itu segera berubah apabila beliau memberi penerangan dengan sopan dan lemah lembut.

“Biasanya orang Arab dari pedalaman lebih kasar tapi golongan terpelajar dan sudah terbiasa dengan budaya orang luar lebih sopan.

“Ada ibu bapa enggan memberi ubat kepada anak mereka selepas disuruh jururawat tapi saya enggan berbalah, sebaliknya merujuk kepada doktor. Kebanyakan doktor orang Arab, jadi lebih mudah untuk mereka faham,” katanya.

Shahnaz turut mengakui teknologi perubatan di Arab Saudi lebih canggih berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kenangan paling manis dalam hidupnya ketika bertugas di Arab Saudi ialah dapat mengerjakan umrah selama beberapa kali.

“Sangat mudah untuk pergi mengerjakan umrah kerana jarak Riyadh dengan Tanah Suci Makkah dan Madinah tidak terlalu jauh.

“Dalam setahun saya dapat mengunjungi Tanah Suci beberapa kali dan belanjanya jauh lebih rendah berbanding melalui tanah air,” katanya.

Nordinahwati Udin


NORDINAHWATI (hadapan tiga dari kanan) bersama rakan sekerja
yang terdiri daripada Jururawat dari pelbagai negara.
Walaupun cuma tiga tahun, bagi Nordinahwati, 38, pengalaman bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi sukar dilupakan.

Bertugas di Unit Rawatan Jantung di Saad Specialist Hospital di Al Khobar, Dammam dari tahun 2006 hingga 2009, beliau mempunyai kisah sendiri sebelum ke negara itu.

“Secara jujurnya sewaktu permohonan saya untuk bekerja di Arab Saudi diluluskan, saya cukup teruja kerana sudah lama menyimpan hasrat ke sana.

“Sebelum itu memang saya berhasrat bertugas di sana tapi ibu tak izinkan menyebabkan saya terpaksa akur.

“Tetapi pada 2006, apabila ibu beri kebenaran, saya tidak lepaskan peluang itu. Saya tidak nafikan rindu kepada keluarga terutama ibu, namun tidaklah sampai ‘home sick’ kerana bertugas di hospital itu memang seronok.

Niat untuk menambah pengalaman di negara orang, Nordinahwati yang kini masih bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Lembah Klang berkata, gaji ditawarkan turut menjadi daya penariknya ke Arab Saudi.

“Gaji yang ditawarkan berbeza mengikut unit dan pengalaman. Ketika di sana saya ditawarkan gaji RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Selain menghantar sebahagian gaji kepada keluarga, saya dapat berbelanja dan membeli-belah kerana perbelanjaan harian kebanyakannya ditanggung pihak hospital.

“Tempat tinggal walaupun di luar hospital diberikan percuma termasuk pengangkutan,” katanya.

Nordinahwati bagaimanapun membuat keputusan pulang ke Malaysia selepas ibunya sakit, namun pengalaman di negara orang banyak merubah dirinya.

“Selepas bekerja di negara orang saya jadi lebih rasional dan matang kerana melihat dan belajar perbezaaan budaya menjadikan kita menerima kepelbagaian manusia.

“Kita lihat orang Arab kasar tapi pada mereka itu biasa kerana ia budaya mereka. Jadi apabila dapat memahaminya, tugas kita jadi mudah.

“Sebab itu saya lebih banyak mendengar daripada menyuarakan pendapat secara lantang. Apabila memahami kenapa seseorang bersikap begitu, lebih mudah kita bertolak ansur dan membuka minda.

“Kalau jururawat Malaysia ingin mengumpul pengalaman terutama mereka yang masih muda, jangan ragu-ragu ke Arab Saudi tapi pastikan bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Serah kerajaan dalam keadaan kuat


TUMPAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan kerajaan dan parti kepada bakal penggantinya apabila bersara kelak dalam keadaan yang kuat serta terbaik.

Najib yang juga Presi­den UMNO berkata, beliau juga akan berpesan kepada penggantinya nanti agar membawa negara serta parti ke arah yang lebih cemerlang dari­pada apa yang dilakukannya.

“Perkara ini merupakan kesinambungan perjuangan UMNO yang diperturunkan daripada kepimpinan terdahulu. Apakah perjuangan UMNO selesai selepas zaman saya?

“Tentu tidak, apabila bersara nanti, saya akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan terbaik kerana parti ini bukan milik sesiapa, parti adalah warisan harta pusaka kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang di sini semalam.

Sunday, 14 August 2016

Gesa kerajaan tambah baik skim perjawatan


PUTRAJAYA - Persatuan Pegawai Kanan Kastam memohon kepada kerajaan untuk menambah baik skim perjawatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaras dengan kepentingan fungsinya sebagai jabatan pengutip hasil negara.

Presidennya, Mohd Noor Yusoff berkata permohonan tersebut adalah sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengiktiraf JKDM sebagai wira ekonomi negara melalui pelaksanaan tahun pertama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Inilah masanya kecemerlangan JKDM diiktiraf oleh kerajaan dengan menambah baik skim jabatan ini," katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Pegawai Kanan Kastam di sini hari ini.

Antara perkara yang diminta persatuan itu untuk ditambah baik ialah tambahan kepada kekuatan logistik, sistem pengauditan dan kadar bayaran kerja lebih masa.

"Sebagai sesebuah organisasi yang mengutip hasil yang banyak kepada negara kita perlukan logistik yang mencukupi kerana kenderaan JKDM kali terakhir dibeli adalah pada 2006," katanya.

Mohd Noor berkata, tanpa sistem pengauditan yang baik, jabatan itu tidak akan dapat melakukan pengauditan GST ke atas semua syarikat secara cekap dan menyeluruh.

Mengenai kadar bayaran kerja lebih masa yang ditetapkan kepada pegawai kastam gred WK41 dan ke atas yang dihadkan RM600 sebulan katanya telah memberi kesukaran kepada JKDM membuat pembahagian tugas.

"Had RM600 bayaran kerja lebih masa dalam 10 hari bekerja sudah habis kerana JKDM terlibat dengan aktiviti penguatkuasaan, oleh itu kita minta agar kadar bayaran ini dikaji semula," katanya.

Katanya, JKDM juga menyambut baik cadangan perdana menteri sebelum ini yang mahu agar jabatan itu dikorporatkan sebagai langkah untuk meningkatkan kecemerlangan penguatkuasaan dan pungutan hasil negara.

"Warga kastam sudah pun buat kajian (berkenaan cadangan pengkorporatan) dan selesaikan beberapa isu dan kini telah sedia untuk dikorporatkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar kerajaan melantik Ketua Pengarah Kastam dari kalangan pegawai kastam sendiri.

 "Sudah sampai masanya JKDM diketuai mereka dalam kalangan kastam sendiri, kerana hanya kastam yang faham budaya kerja dan teknikaliti jabatan ini lebih-lebih lagi apabila sistem baharu yang akan dilancar Januari tahun depan, sistem U-Customs adalah sangat teknikal," katanya.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad difahamkan  akan menamatkan perkhidmatannya pada September ini.

Khazali sebelum ini merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) di JKDM. - Bernama

Saturday, 13 August 2016

PROTON lancar Persona versi baharu 23 Ogos ini

SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd (PROTON) akan melancarkan Proton Persona serba baharu pada 23 Ogos ini, kereta sedan yang bakal memberikan impak positif kepada prestasi pengeluar kereta nasional. 

Ditawarkan dengan lima varian, Persona yang didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik itu dijangka dibuka untuk tempahan mulai Isnin ini. Sarat dengan penambahbaikan berbanding model terdahulu, Persona serba baharu dijangka mendapat sambutan hangat dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap jenama Proton. 

Menggunakan enjin 1.6 Liter VVT untuk semua varian, Persona yang menerima pengiktirafan 5-bintang daripada ASEAN NCAP, mampu memecut 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 10.9 saat, prestasi lebih baik berbanding 12 saat untuk model terdahulu. 

‎Dari segi keselamatan, ia didatangkan dengan enam beg udara bagi varian Premium dan dua beg udara bagi varian lain, serta ciri lain termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Brek (BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD). 

Lebih menarik, ruang but juga dipertingkatkan dengan kapasiti 510 liter berbanding 430 liter bagi model terdahulu, selain penjimatan bahan api yang mengagumkan iaitu kurang 13 peratus bagi transmisi manual dan 10 peratus (automatik) berbanding Persona yang dilancarkan pada 2007.

Tidak hanya sistem keselamatan dipertingkatkan, PROTON juga menerapkan inovasi terkininya untuk struktur badan dengan menggunakan teknologi Hot Press Forming, yang mana kekuatannya lima kali ganda dari besi biasa. 

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Persona baharu menawarkan produk yang bakal mencetuskan kebangkitan pengeluar kereta nasional itu. "Apa yang penting, walaupun sarat dengan pelbagai fungsi dan keselamatan terkini, kami dapat memberikan bayangan bahawa model segmen B ini amat kompetitif," katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung harga jualan Persona serba baharu itu. 

Beliau berkata demikian ketika majlis preview dan pandu uji media bagi model Persona di sini, hari ini. Kebanyakan media tempatan menjangkakan Persona serba baharu bakal dijual bermula daripada harga di bawah RM50,000. 

Info: Proton Persona

* Generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2007 mengantikan Wira 
* Model itu digantikan dengan Preve pada 2012

Friday, 12 August 2016

KJ jadi pengutip sampah pula

Foto yang dimuatnaik KJ di laman Facebooknya.
SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menunjukan bakat lakonannya dan kali ini, menteri itu memainkan watak sebagai pengutip sampah dalam satu filem pendek.

Bakal tampil dengan filem pendek berdurasi 5 minit itu, Khairy melalui laman sosial Facebook miliknya berkata, filem pendek itu adalah bagi meningkatkan kesedaran para belia terhadap pengurusan sisa pepejal, kitar semula dan menjaga alam sekitar.

Katanya, dia membawakan watak sebagai Ahmad Khairy dengan menjadi pekerja Alam Flora untuk membawa mesej yang penting kepada para belia.

"Respek kepada abang-abang Alam Flora dan pengurusan sisa ini. Bila dah 'pakai kasut' mereka barulah kita tahu kerja yang sangat penting ini," tulisnya.

Tinjauan di laman sosial miliknya itu, foto KJ memakai seragam pekerja pembersihan, memengang penyapu di sebelah lori sampah mendapat 679 perkongsian dengan 6200 like sejak dimuatnaik semalam.

Sementara itu, memetik The Malay Mail Online, pegawai Khairy meminta orang ramai menunggu video yang akan dikeluarkan nanti.

Penggambaran yang dilakukan di Kuala Lumpur tengah hari semalam dibuat untuk persidangan antarabangsa Persatuan Wanita Asia Tenggara dan Pan Pasifik (PPSEAWA).

Persidangan tujuh hari itu, yang bermula 22 Ogos, membincangkan tajuk “Hormati Alam Sekitar Demi Masa Depan Aman dan Mapan”

Ibu Khairy, Rahmah Abdul Hamid mengetuai PPSEAWA Malaysia.

Ditangkap Kerana Cuba Memasuki Kem Tentera Untuk Mencari POKEMON

Lee Kan Seng ditahan oleh anggota tentera ketika cuba memasuki Kem Majidee, Batu Pahat.
Hasil siasatan mendapati punca sebenar untuk masuk kem tersebut ialah mencari pokemon..padah akibat taksub bermain Pokemon GO.

Assalamualaikum YBhg Dato'.

*Laporan awal tangkapan orang Awam berpakaian lengkap tentera untuk memasuki kem Tentera.*

1. Pasukan: 10 RAMD Kem Majidee, Batu Pahat.

2. Tarikh penangkapan: pada *10 Ogos 16.*

3. Lokasi penangkapan: Balai Pengawal Hadapan 10 RAMD Kem Majidee, Batu Pahat.

4. Ringkasan Tangkapan: Pada 10 1155H Ogos 2016. 1 x orang Awam berpakaian lengkap Tentera Darat Malaysia dengan menaiki motosikal Yamaha LC 135, warna merah No pendaftaran JMR 3251 telah Cuba memasuki kem melalui balai pengawal utama kem. Ketua Pengawal bertugas iaitu 1143500 Kpl Mohamad Rafidi bin Che Man telah menahan anggota tersebut dan mengarahkannya memperkenalkan diri. Anggota tersebut gagal memperkenalkan diri kerana tidak membawa My Kad bersamanya Dan memaklumkan tujuan hendak masuk kem adalah untuk belajar tentera. Anggota seterusnya telah ditahan untuk soal siasat.

5. Butiran penangkapan adalah seperti berikut:

a. Nama : Lee Kan Seng.
b. No My Kad : 990712-01-5119
c. Alamat : 1151 SP/5 Taman Sri Panchor, Japan Kluang Batu Pahat.
d. Umur : 17 Tahun.
e. Warganegara : Malaysia.
f. Bangsa : Cina.

6. Perkara telah dimaklumkan kepada DKM Kluang dan MIO Batu Pahat untuk siasatan selanjutnya.

Sekian untuk maklumat YBhg Dato'. Terima Kasih.

Sumber: Grup Gerak Khas

Thursday, 11 August 2016

Warisi harta RM48.7 bilion

Gerald Cavendish Grosvenor
Hugh Grosvenor



LONDON – Bilionair dan salah seorang manusia terkaya di dunia, Gerald Cavendish Grosvenor yang memakai gelaran Duke of Westminster Keenam, meninggal dunia pada usia 64 tahun kelmarin.

Menurut kenyataan syarikatnya, Grosvenor Estate, beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Preston, barat daya England selepas jatuh sakit secara tiba-tiba di kediamannya di Abbeystead Estate.

Anak lelakinya, Hugh Grosvenor, 25, yang merupakan bapa pembaptisan kepada Putera George akan mewarisi gelaran Duke of Westminster dan syarikat Grosvenor Estate yang merangkumi 121 hektar kawasan mewah di London.

Beliau juga akan mewarisi kekayaan bapanya berjumlah sekitar £9.35 bilion (RM48.7 bilion).

Keluarga Grosvenor berasal daripada bangsa Norman yang menyerang England pada tahun 1066. Puak Norman berasal dari rantau Normandy di Perancis.

Moyang duke berkenaan, Sir Thomas Grosvenor mengahwini seorang pewaris harta, Mary Davies dan memperoleh tanah paya yang luas pada 1677.

Sejak beberapa generasi, keluarganya membangunkan tanah itu menjadi dua kejiranan paling berprestij dan mewah di London iaitu Mayfair dan Belgravia.

Portfolio keluarga Grosvenor termasuk tanah di seluruh Britain selain memiliki kawasan perumahan, pejabat dan hartanah untuk disewa di seluruh dunia.

Sejak sekian lama, senarai akhbar Sunday Times Rich List meletakkan Grosvenor sebagai lelaki terkaya di Britain, namun sejak beberapa tahun lalu, beliau kehilangan gelaran itu kepada beberapa bilionair paling kaya yang menetap di negara itu.

Pada tahun ini, Sunday Times menganggarkan duke berkenaan mempunyai kekayaan berjumlah £9.35 bilion.

Ratu Elizabeth II menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Buckingham turut menyampaikan mesej takziah kepada keluarga Grosvenor. Pada masa sama, Pejabat Putera Charles memberitahu beliau dan isterinya, Camilla terkejut dan berasa sedih dengan berita kematian Grosvenor.

Duke berkenaan meninggalkan seorang balu, Natalia, anak lelakinya, Hugh dan tiga anak perempuan. – AP