Wednesday, 18 October 2017

Serangan peribadi satu taktik jijik dan kotor

Tan Sri Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Ke­tua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyifatkan serangan peribadi terhadapnya yang dibuat oleh beberapa pihak dalam media sosial sejak kebelakangan ini merupakan perbuatan jijik dan kotor.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan ini dilihat satu lagi usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk mencemarkan imejnya bahkan untuk melemahkan semangat para kakitangan SPRM dalam melaksanakan tugas me­merangi rasuah.

“Saya percaya usaha-usaha menerusi tohmahan serta fitnah yang dibuat ini berikutan tindakan agresif pihak SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Serangan ini merupakan satu taktik jijik dan kotor serta cuba melemahkan usaha yang dilakukan oleh SPRM sejak ke­belakangan ini,” katanya sebagai memetik laporan berita di Buletin Utama TV3.

Dzulkifli berkata demikian sebagai mengulas penyebaran vi­deo skandal melibatkan pegawai kanan agensi itu yang dikatakan mempunyai hubungan sulit de­ngan isteri orang sejak beberapa hari lalu.

Begitupun tegas beliau, pi­haknya tidak akan tunduk dengan ugutan fitnah yang dilemparkan dan bertekad untuk membersihkan negara dari sebarang salah laku serta penyelewengan di negara ini.

“Saya dan rakan-rakan dalam SPRM tidak sesekali gentar de­ngan ugutan seperti ini bahkan tindakan agresif akan terus dilakukan bagi memerangi rasuah,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi membolehkan sebarang tindakan dilakukan terhadap mereka yang melakukan fitnah tersebut di media sosial.

Terdahulu, Mohamad Fuzi dalam sidang akhbar hari ini memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan berhubung laporan seorang pegawai kanan SPRM mempunyai hubungan sulit de­ngan isteri orang.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...